RINGKASAN KISAH AKU DIGANTUNG SETELAH 2 TAHUN AKU SERTAI #TANGKAPMO1

Ramai yang meminta aku untuk menulis satu kenyataan rasmi untuk mereka memahami apa yang berlaku. Semua yang berlaku ini adalah akibat daripada keterlibatan aku dalam perhimpunan #TangkapMO1 yang berlangsung di hadapan Dataran Merdeka pada 27 Ogos 2016 kerana aku tidak berpuas hati dengan kerajaan yang dipimpin oleh seorang Perdana Menteri Najib Razak yang bermandikan najis rasuah.

Selepas itu pada 29 September 2016, UKM meminta aku memberi surat tunjuk sebab untuk menjelaskan keterlibatan aku dalam demo tersebut. Setelah aku beri tunjuk sebab (selalunya surat ini adalah lakonan semata mata), seperti yang dijangkakan pada 20 Oktober 2016 aku menerima surat memanggil aku untuk satu prosiding tatatertib pada 15 November 2016. Sebelum hari prosiding, pasukan peguam aku Berjaya memfailkan injuksi di mahkamah dan Yang Arif Tuan S. Nantha Balan telah menetapkan 1 Disember 2016 untuk mendengar permohonan injuksi tersebut.

Pada hari prosiding, aku pergi dan aku serahkan sendiri surat daripada peguam aku beserta affidavit yang dimeterai mahkamah meminta UKM menghantar peguam pada 1 Disember 2016 untuk pendengaran injuksi tersebut. Tapi, memandangkan aku ni musuh utama Datuk Aziah, TNC HEPA UKM yang juga mempengerusikan prosiding tersebut enggan menangguhkan prosiding tersebut sehingga tarikh 1/12/2016.

Prosiding dimulakan dan aku mengaku tidak bersalah dan aku minta dibicarakan. Dalam perbicaraan tersebut, sumpah aku katakan bahawa tiada satu pun hujah aku diterima oleh Datuk Aziah, lebih teruk lagi dia sendiri berhujah untuk menangkis pembelaan aku. Alasan paling bodoh yang aku terima ketika prosiding ialah, aku telah menyalahi AKTA PERHIMPUNAN AMAN dan ini disokong dengan surat yang dihantar oleh PDRM dan Kementerian untuk mendesak UKM mengambil tindakan ke atas aku.

Kaedah 3 (b) Kaedah Tatatertib UKM juga memperuntukkan bahawa aku tidak boleh mencabuli mana mana undang undang bertulis di dalam atau di luar kampus. Aku berhujah bahawa HANYA MAHKAMAH YANG BOLEH MENENTUKAN SAMA ADA AKU TELAH MENCABULI AKTA PERHIMPUNAN AMAN dan selagi tiada sebarang dakwaan di mahkamah (memang tiada sehingga kini), universiti tidak boleh menghukum aku untuk kesalahan tersebut. Tetapi Profesor undang-undang bergelar Datuk itu tidak langsung mengendahkan hujah aku dan memutuskan aku bersalah dan digantung pengajian serta merta selama satu semester.

SELEPAS 3 MINGGU DIGANTUNG , pada 1 Disember 2016, aku dipanggil semula untuk sambung belajar sementara menunggu rayuan aku terhadap keputusan tatatertib didengar. Sementara menunggu rayuan itu, aku menfailkan saman di mahkamah untuk mencabar hukuman gantung tersebut.

Pada 11 Januari 2017, rayuan aku kononnya telah didengar (tanpa aku diberitahu mengenainya) dan pihak jawatankuasa rayuan yang diketuai oleh Tan Sri Ibrahim Saad ( CEO UKM dan juga bekas menteri kabinet ) memutuskan bahawa aku akan digantung selama sebulan dan didenda RM 200 tetapi mereka juga mengambil keputusan untuk menangguhkan hukuman itu sehingga kes mahkamah selesai.

Aku failkan kes di mahkamah tinggi. Aku mintak Mahkamah declare bahawa universiti tiada hak menghukum mahasiswa yang menghadiri perhimpunan aman, hanya mahkamah punya kuasa itu.

Pada 19 April 2017, UKM cuba bermain kotor dengan memfailkan permohonan meminta mahkamah arahkan aku bayar kos sekuriti RM 50 000 sebagai cagaran sehingga kes tamat tetapi Alhamdulillah, mahkamah tidak membenarkan permohonan itu.

Pada 27 Ogos 2017, setelah mendengar kes aku, mahkamah tinggi membuat keputusan untuk menidakkan permintaan aku dan seterusnya pada 22 Februari 2018, mahkamah rayuan juga telah membuat keputusan yang sama.

Ada yang tanya, kenapa kes UMANY dan kes UM8 boleh Berjaya di mahkamah sedangkan aku tidak Berjaya. Jawapannya adalah kerana kes kes tersebut adalah judicial review yang hanya bertujuan menyemak semula prosedur tatatertib yang dijalankan oleh universiti tetapi apa yang aku failkan adalah saman pemula yang mencabar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) itu sendiri dimana mahkamah agak sukar untuk memberi keputusan menyebelahi mahasiswa. Bukan mudah untuk lawan AUKU.

Dan kemuncaknya, dua hari yang lalu aku telah menerima surat yang mengatakan bahawa memandangkan kes mahkamah sudah selesai, penggantungan aku yang ditangguhkan akan dilaksanakan dan aku akan digantung semula mulai hari ini selama sebulan.

Aku dah cuba sedaya aku untuk ringkaskan apa yang berlaku sejak 2 tahun yang lalu dan benda ini tidak akan berhenti di sini. Aku yakin bahawa mahasiswa bersama aku untuk melawan kezaliman AUKU habis habisan dan sehingga itu, kami tidak akan berputus asa.

Terima Kasih

Asheeq Ali Bin Sethi Alivi

By Editor

Leave a Reply