Oleh: Abu Hurra
Di negara-negara Eropah termasuk di Amerika Syarikat telah muncul satu kelompok yang dikenali sebagai Anti-SJW (Social Justice Warriors). Anti-SJW ini sangat anti dan menyampah dengan kelompok SJW di negara masing-masing.
SJW adalah kelompok anak muda yang berusia dalam lingkungan 30an ke atas yang berada dalam parti politik. Manakala Anti-SJW pula adalah anak muda dalam lingkungan usia 20an yang menyampah dengan tindak tanduk SJW.
Ianya seperti pertembungan antara adik dan abang. Abang yang terlalu liberal dalam pandang negara dan suka memaksa bertembung dengan adik yang menyampah dengan sikap dan pendekatan si abang kerana banyak memberi kesan pada kehidupan negara.
Sehinggakan disebut satu slogan atau pepatah dinegara barat, “Setiap kali SJW bersuara, undi akan makin berkurang”.
Baik, kini di Malaysia timbul pula anak-anak muda awal 20an yang menyampah dan mual dengan politik negara. Manakala kelompok 30an pula kelompok yang gemar berpolitik dan suka melakukan aksi-aksi politik. Ini yang selalu digembar gemburkan.
Namun, penulis melihat ada satu lagi kelompok anak muda yang mula menyampah dengan satu kelompok yang lain. Mereka mual dan menyampah dengan kelompok yang menyentuh soal fundamental sensetif dalam Malaysia iaitu perihal agama, bangsa dan raja.
Tiga soal fundamental atau asas dalam negara yang sangat sensitif bagi rakyat negara kita. Cuma, persoalan agama itu kini kelihatannya menjadi faktor dominasi kebangkitan kelompok anak muda ini.
Perlecehan dan pembantaian agama Islam oleh kelompok liberalis sangat memberikan kesan dan satu pandang yang sangat sampah kepada anak muda. Ya, mereka menyampah dengan kelompok liberalis agama.
Apatah lagi media-media massa menjadikan persoalan tentang agama Islam sebagai bahan untuk melariskan kunjungan penonton dengan pelbagai spekulasi dan kekeliruan. Ditambah pula kelantangan pihak-pihak liberal menonjolkan diri di permukaan media negara kita.
Suatu suasana kepenyampahan yang besar timbul dari kalangan anak muda terhadap golongan Liberal ini yang menyentuh perihal fundamental dalam negara kita. Malangnya, kelompok Liberal ini banyak berada dalam kumpulan Pakatan Pembangkang iaitu PH.
Barangkali, mungkin akan muncul suatu perpatah, “ Setiap kali geng liberal bersuara, undi anak muda kepada PH akan berkurang “.
Kelompok anak muda ini, banyak memunculkan diri mereka dalam perhimpunan yang dilihat mempunyai tujuan untuk melawan kelompok Liberal dan penodaan terhadap agama Islam. Seperti Himpunan RUU 355 yang mencatatkan kehadiran 300 000 orang lebih dan separuh daripadanya adalah kalangan anak muda.
Begitu juga dalam perhimpunan FASTAQIM yang menyaksikan kehadiran 200 000 orang dan disebutkan oleh penganjur 70%-80% adalah dari kalangan anak muda yang hadir. Ini suatu petanda bahawa ada kelompok anak muda Anti-GLI (Geng Liberalisme Islam) telah membentuk suatu gerombolan protes terhadap kelompok liberalis agama di negara ini.
Maka, semakin kuat media menjadikan Islam sebagai asakan propaganda dan menonjolkan idea liberalisme agama serta memuatkan soal kekeliruan yang dicipta berkaitan agama Islam, semakin kuatlah anak muda Anti-GLI akan melawan hingga puak liberal ini tertawan.
Bahkan, situasi pada hari ini kelihatannya anak muda terus menerus memberikan sokongan kepada usaha-usaha yang dijalankan oleh badan atau organisasi yang menonjol Islam. Ini boleh dilihat sokongan anak muda terhadap Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), bahkan Ketua Unit Tindakan Khasnya tidak segan mengenakan serban di kepala sebagai satu simbol (syiar) Islam.
Sekiranya PH, mahukan undi anak muda Anti-Liberal ini, sudah pasti PH perlu memastikan mereka menjauhkan diri daripada kelompok Liberal tanpa ada sebarang hubungan pun. Bahkan, lebih kuat parti menentang agenda Liberalisme Agama ini maka, lagi meningkat sokongan anak muda kepada mereka. Ini kesimpulan awal setakat ini.
Sebelum ini ada politikus dan pengkaji politik mengatakan PRU 14 nanti akan berlaku Tsunami Melayu. Penulis fikir Tsunami yang sebenar akan muncul adalah Tsunami Anak Muda Anti-GLI, iaitu Tsunami Islam.