KELABU
Syahdan Hamzah

Bercerita mengenai raya ini, lagi-lagi apabila dikaitkan dengan fitrah, maka aku suka untuk bercerita mengenai Kelabu. Sebuah warna yang berada di antara Hitam dan Putih. Warna campuran antara dua warna yang sangat jauh sifatnya. Ibarat cahaya dan kegelapan. Ibarat 1 dan 0. Ibarat minyak dan air.

Kita acapakali didoktrin dengan dua sifat ini. Aku adalah kebenaran, maka segala kebaikan adalah berada denganku. Kau adalah kebatilan, maka segala kejahatan berada denganmu. Suka untuk membezakan antara satu sama dengan yang lain.

Selamat-Hari-Raya

Konsep pemikiran binari hanya wujud pada robot-robot dan program ciptaan manusia sahaja. Oleh itu, kebanyakan kepintaran tiruan sukar meniru ciptaan Tuhan yang paling indah, iaitu kita sendiri, Manusia. Kerana setiap kita punyai sebuah konsep pemikiran yang kompleks sehinggakan Muhammad s.a.w punyai cara yang pelbagai dalam mendekati sahabat-sahabatnya.

Sebuah konsep 1 dan 0, yang melalui pagar binari iaitu ‘And’, ‘Or’, ‘Not’ untuk menghasilkan sebuah aktiviti atau keputusan. Itu sebabnya robot dan program komputer hanya sesuai dalam menimbang logika dalam keputusan, tetapi secara moralnya. mereka kalah. Kita sebagai manusia punyai emosi untuk membantu kita adakah keputusan itu secara moralnya salah meskipun ianya adalah logik.

Tuhan berkali-kali menyatakan di dalam KalamNya, bahawa hidup ini punyai sifat berlawanannya sendiri. Siang lawannya malam, cahaya lawannya gelap, baik lawannya jahat. Kedua-dua sifat ini saling memerlukan antara satu sama lain. Malah, tidak terlampau jika aku katakan, jika seluruh dunia ini tiada kejahatan, maka kebaikan juga tidak wujud. Maka tugas kita adalah menimbang setiap perkara yang akan kita lakukan itu sama ada terbaik atau terburuk.

Itulah sebabnya Tuhan hanya mengatakan kepada hamba-hambaNya yang melampaui batas supaya kembali. Bukan mengatakan bahawa mereka jahat, tetapi mereka ini telah melampaui batasan mereka sebnagai manusia yang punyai Tuan (Tuhan) nya.

2280

Ada sebab Tuhan wujudkan pelangi yang punyai pelbagai spektrum warna di sebalik cahaya. Hitam dan gelap adalah kerana ketiadaan sumber cahaya untuk menerangi kawasan yang mampu dilihat oleh mata kita.

Bulan Ramadhan sepatutnya mendidik kita bagaimana untuk mengawal setiap perkara yang mampu kita kawal dan berada di sekeliling kita. Akal dan emosi harus berada seiring dalam menjalani hidup sebagai makhluk yang terbaik diciptakan Tuhan. Tapi kebanyakan dari kita, kalah dengan emosi dan nafsu. Tanpa ada sifat untuk muhasabah, hatta satu detik pun. Merasakan bahawa orang sekelilingnya semuanya salah, dan dia sahaja yang betul, telah memberikan makanan ruji kepada Ego. Sebuah kebanggaan yang tidak terkalahkan melainkan insan itu sendiri membuat penilaian semula atas semua perlakuannya.

Nafsu dan emosi kita tidak akan kalah dalam masa satu hari. Itulah sebabnya Tuhan menyuruh kita muhasabah diri selama sebulan, dan menyambut kemenangan muhasabah itu dengan kembali kepada fitrah yang membuatkan akal dan emosi bekerja seiring. Dengan itu tahap moraliti dan mentaliti akan berada di kelas yang pertama, sehingga tiada siapa mampu menggugah pendirian kita.

Membeli makanan yang banyak di bazar ramadhan tetapi tidak makan sesama sungkei, lalu diletakkan di dalam peti sejuk sehingga reput akibat sudah basi. Suka memarahi manusia sekeliling, sehingga menjadikan lapar sebagai alasan untuk mengatakan bahawa penat menjalani kehidupan seharian. Memotong barisan ketika membeli makanan dengan menggunakan alasan hendak cepat bersungkei. Memberikan terlampau banyak makanan kepada asnaf kononnya ingin mengamalkan sedekah jariah, tetapi tidak melakukan kajian terlebih dahulu. Ini adalah sebahagian dari contoh sifat-sifat yang kalah dengan emosi, kerana ingin memuaskan nafsu sendiri.

Laksa-Johor-e1404352880871

Melabel manusia lain sebagai kafir, munafik, liberal, sekular dan sebagainya. Menghukum manusia yang tidak sependapat dengannya. Menolak segala kajian sains dengan alasan sains itu adalah sebuah manifestasi jahat orang-orang yang tidak bertuhan. Mengatakan bahawa kita sepatutnya mengikut sains secara sepenuhnya kerana sains membuktikan semua perkara tanpa ada campur tangan Tuhan. Ini adalah sebahagian dari contoh sifat-sifat yang kalah dengan akal, dengan mengutamakan akal daripada segalanya.

Akal itu perlu digunakan untuk memastikan apa yang kita lalui ini mempunyai sebab dan tanggungjawabnya tersendiri. Emosi itu juga perlu dalam memastikan bahawa batas-batas akal tidak dilanggar sewenang-wenangnya. Gabungan kedua-dua perkara ini akan menghasilkan insan yang bukan sahaja punyai mentaliti yang terbaik, malah punyai juga moraliti yang tinggi dalam menjalani kehidupannya sebagai manusia.

Ingat, kita adalah manusia. Sekiranya kita kalah dengan emosi, maka kita lebih teruk dari binatang. Jika kita kalah dengan akal, maka tidak lebih daripada robot. Kita diciptakan untuk menimbang dua perkara yang berbeza dan memastikan pilihan itu adalah pilihan yang terbaik untuk kedua-duanya.

 

Sekian. Selamat Hari Raya Fitrah.

By Editor

Leave a Reply