Baru – baru ini UMS digemparkan dengan satu kejadian kes cubaan merogol yang melibatkan anggota keselamatan dan seorang mangsa siswi UMS. Perkara ini telah melalui perbicaraan di bawah Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang boleh membawa hukuman Penjara selama 15 tahun dan sebat dan kes akan dibicarakan semula pada hujung bulan ini.
Namun, apa yang menjadi pertikaian, tindakan Pihak Pentadbiran UMS dalam mengendalikan isu ini seolah olah bersifat menidakkan daripada disebar luaskan demi menjaga nama baik dan reputasi universiti. Adakah semata mata untuk menjaga nama baik atau wujud konspirasi dalaman untuk menyelamatkan pelaku yang mempunyai kepentingan dan hubungan orang dalam berbanding menuntut keadilan untuk membela nasib dan maruah mangsa.
Selaku salah sebuah gerakan dakwah kampus, Kelab Rakan Masjid UMS (KRMUMS) berharap tindakan pihak pentadbiran berkenaan isu ini, perlu mengangkat konsep keadilan dan yang salah tetap bersalah. Sekiranya tuduhan berjaya dibuktikan, jangan ada lagi campur tangan daripada pihak yang cuba memanipulasi atas kepentingan peribadi. Allah SWT berfirman:
“Tiap tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya” (Al Muddaththir : 38)
Kami, mahasiswa tidak akan berdiam diri melihat kemungkaran yang nyata berlaku di depan mata tanpa berbuat apa apa. Rasulullah S.A.W pernah bersabda :
“Sesungguhhnya pada hari kiamat nanti, Allah SWT akan bertanya kepada hambanya sehingga Allah SWT berfirman:”Apakah yang menghalang kamu dari menafikan kemungkaran apabila kamu melihatnya?” Apabila Allah SWT selesai mengajar si hamba hujahnya, si hamba lalu berkata: “Ya tuhanku, Aku mengharapkan-Mu dan aku menjauhi manusia. (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah daripada Abu Sa’id al – Khudri)
Buat pihak pentadbiran, langkah susulan perlu digubal dan diambil untuk merangka satu bentuk polisi keselamatan baharu untuk mengelakkan perkara sedemikian akan berulang di masa akan datang. Buat mahasiswi khususnya, utamakan keselamatan dan maruah diri serta elakkan daripada melakukan perkara yang dapat mengundang kepada perkara yang tidak diingini.
Islam mengajarkan kita untuk menjaga tingkah laku dan kehormatan diri mengikut syariat bertepatan firman Allah :
“Dan laki-laki yang menjaga kemaluan mereka dan wanita yang menjaga kemaluan mereka, dan berdzikir kepada Allah Ta’ala, Allah menjanjikan pengampunan dan pahala yang besar” (Al-Ahzab : 35).
Justeru, kami menyeru kepada semua warga UMS, meneliti perkara ini dengan mata hati yang luhur, bersama sama cakna dan mendoakan agar keadilan berpihak kepada pihak yang benar.
Kita tidak ingin lagi, isu sebegini menjadi cerminan buruk kepada universiti tercinta dan dalam masa yang sama langsung tidak mengendahkan kebajikan mahasiswa.