Oleh : Abu Hurra

Perubahan yang besar dan mendasar salah satu cabangnya adalah melalui politik. Lihat sahaja lah GST itu dipersembahkan kepada rakyat melalui orang politik, tol-tol jua diperkenankan oleh orang politik untuk ditimpakan kepada masyarakat.

Kenaikan yuran pendidikan tinggi juga berpunca dari pemotongan bajet universiti yang dilakukan jua oleh orang politik.
Bahkan penghapusan tol yang membelenggu masyarakat juga dihapuskan oleh orang politik di Terengganu. Penajaan pendidikan yang besar yakni mengambil 1/3 dari bajet memerintah juga dilakukan oleh orang politik di Kelantan.

Ketenteraman dan kesejahteraan hidup rakyat terbanyak serta kesengsaraan dan kederitaan hidup rakyat terbanyak datangnya daripada orang politik. Kan?
Bahkan setiap tindakan dan keputusan orang politik ini akan memberi kesan secara langsung secara mendasar merapati segenap lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, bahasa, agama, umur dan siapapun anda. Pasti akan ada kesannya.

Maka, keadaan ini memperlihatkan kepada kita, kuasa politik itu suatu senjata yang bisa membunuh rakyat ataupun membangunkan rakyat. Ia punca kuasa kepada masyarakat dan negara.

Tanpa menafikan pendidikan, seni, agama, dan lain-lain sektor mempengaruhi tahap pembangunan Negara. Namun, semua ini memperlukan jalan yang panjang jika tiadanya kehendak politik “political will” dari orang politik.


Maka, tatkala itu negara yang sejahtera sudah pasti memerlukan orang politik yang punya kehendak untuk mensejahterakan negara, mendamaikan, dan memajukan negara untuk dinikmati oleh rakyatnya.
Jalan yang ada adalah:

1) Kita menjadi orang politik
2) Kita menjadi orang yang boleh mempengaruhi orang politik
3) Kita menjadi orang yang mendesak orang politik

Ramai anak muda memilih untuk menjadi yang ketiga, sedangkan ianya tiada memberikan kesan kepada orang politik bahkan tiada membawa apa-apa perubahan kepada rakyat tatkala orang politik berada dalam kekuasaan yang mutlak atau stabil.
Pilihan yang ketiga akan berjaya tatkala orang politik dalam keadaan terdesak dan tersesak sahaja.

Sepatutnya anak muda dan mahasiswa yang punya jiwa kemanusiaan dan terjebak dengan aktiviti kemanusiaan memenuhi ruangan sebagai orang politik yang akan membina dan membangunkan dasar dan polisi negara. Kita yang membentuk political will sebagai orang politik.

Ya, menjadi orang politik. Bukan sekadar menjadi orang yang sembang soal politik.
Betul, politik itu luas, tidak semestinya untuk terlibat dengan politik kena menjadi orang politik ataupun partisan.

Soalnya apakah kita bisa membangunkan polisi dan dasar negara tanpa menjadi orang politik, air liur dan tanda tangan kita mampu merubah perlembagaan negarakah tanpa menjadi orang politik?

Mungkin kita bisa menjadi raja third force, syed volunteer, ataupun dr pencerahan minda. Namun, ianya tidak membawa suatu perubahan yang berbentuk mendasar dan mencangkumi seluruh umat Malaysia. Kekuatan dan kehendak kita terbatas.

Tanpa menafikan peranan mereka yang membangunkan negara melalui civil society yang amat penting bagi sesebuah negara demokrasi. Soalnya apakah perubahan mendasar bisa dilakukan. Atau kita terpaksa berlaga lutut pula dengan orang politik mendesak, “merayu”, “memohon” kepada mereka untuk memenuhi kehendak kita?

Jika ya, lebih baik kita yang punya jiwa merakyat ini menjadi orang politik dan menyisihkan orang politik yang punyai jiwa diktaktor serta kapitalis.

Bayangkan, yang memenuhi kerusi orang politik adalah mereka yang terlibat dengan aktivisme dan idealisme mahasiswa. Kerusi orang-orang politik dikuasai oleh mereka yang menghayati denyut nadi rakyat miskin, kerusi itu jua menunduk patuh kepada orang politik yang mahu mensejahterakan rakyat terbanyak.

Aku, kau dan kita perlu menjadi orang politik untuk menyingkirkan politikus-politikus tolol dan bacul demi kesejahteraan rakyat. Ini bukan lagi soal aku dan kau, tapi soal rakyat terbanyak.

 

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply