Ini merupakan email yang aku hantar kepada Naib Canselor UMK berkenaan pelawaan untuk berjumpa.
Jemput kawan-kawan baca, kerana aku yakin ini adalah isi perjuangan kita.
Pelawaan ini membuktikan usaha-usaha kalian bersolidariti semakin membuahkan hasil.
***
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Saya berharap ketika email ini menemui Datuk, mudah-mudahan Datuk dalam keadaan yang sihat hendakNya. Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah atas pelantikan sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan.
Beberapa hari lepas saya dihubungi oleh Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UMK. Dia memberitahu Datuk ingin mengadakan pertemuan dengan saya dan beberapa orang rakan yang menuntut yuran latihan industri dikurangkan.
Saya ingin memaklumkan saya bersedia untuk bertemu dan melontarkan idea, namun ada beberapa perkara yang saya perlu tegaskan.
Jika pertemuan ini tidak menghasilkan keputusan untuk menurukan yuran, maka saya fikir tidak perlulah saya membazir wang dan tenaga untuk ke Kelantan. Saya berharap sebelum bertolak ke Kelantan, keputusan untuk menurunkan yuran sudah wujud.
Sekali lagi, jika hanya akan berakhir seperti perjumpaan dengan MPP sidang lepas, ditutup dengan mewujudkan BKPLI, bagi saya ia satu helah. Saya tidak selembut MPP sidang lepas yang akan menerima keputusan seperti itu, bagi saya yuran harus diturunkan secara menyeluruh.
Saya tidak pasti apa agenda dan filosofi yang ingin dibawa oleh Datuk, mudah-mudahan menurunkan yuran UMK merupakan salah satu agenda terpenting Datuk. Orang sedang menjadikan kita jenaka kerana mengenakan yuran yang tinggi dan memberikan Ipad yang tidak pernah relevan.
Maka tiadalah gesaan-gesaan yang kami lakukan bertujuan untuk mencalar imej UMK, melainkan ingin membawa semula UMK ke landasan “rasional” seperti yang terkandung dalam slogan “Unik, Relevan dan Berbeza”.
Pertemuan pengurusan-mahasiswa sudah banyak kali berlaku, malangnya pertemuan-pertemuan seperti sering tidak mengubah pokok masalah di UMK, iaitu yuran kita terlalu mahal berbanding universiti awam yang lain.
Peningkatan yuran daripada sesi akademik 2013/14 ke 2014/15 adalah terlalu mendadak dan sukar untuk diterima bagi sesiapa yang memiliki akal yang sihat.
Oleh itu, saya ingin menegaskan jika perjumpaan ini benar-benar ingin membincangkan penurunan yuran atau yuran latihan industri, maka besarlah kegembiraan di dalam hati saya untuk bertandang ke Kelantan.
Sekiranya pertemuan ini adalah untuk memarahi atau memberi ugutan supaya usaha menuntut yuran latihan industri diturunkan, demi Allah maka tiadalah sedikit pun ketakutan pada jiwa saya. Bahkan, jika itu berlaku maka saya berjanji akan bekerja lebih keras untuk mendesak yuran ini diturunkan.
Saya yakin Datuk telah mendengar bermacam-macam cerita tentang saya. Saya ingin menyimpulkan pelbagai cerita itu. Saya bukanlah “alat politik” seperti yang sering cerita yang sering didagangkan, secara jujur saya tidak kisah siapa yang memerintah, ia umpama menyalin baju sahaja.
Hakikatnya jasadnya tetap sama. Kedua, jika saya radikal dengan tidak rasional, maka tiadalah email ini saya tulis kepada Datuk.
Selagi kerbau jantan tidak melahirkan anak, selagi itu agenda saya tetap sama, yakni menuntut supaya yuran/yuran latihan industri Universiti Malaysia Kelantan diturunkan.
Setakat ini dahulu yang saya boleh sampaikan. Jika ada yang terlebih bahasa mohon dimaafkan, moga Datuk berbahagia di samping keluarga tercinta.