Mahasiswa sudah lama mampus dibunuh oleh mahasiswa
Sebelum saya menulis tulisan ini, saya telah membaca beberapa artikel daripada Rahman, Suhail dan kekasih saya, Izzah. Tulisan-tulisan yang berusaha terlalu keras untuk membentuk polemik, seperti Rahman seorang lelaki straight tetapi berusaha untuk mendapatkan pancutan klimaks dengan menatap wajah Suhail. Hakikatnya ia hanya perkara yang cuba diada-adakan, susah untuk saya mencari dimana titik perbezaan diantara mereka, dan akhirnya membawa mahasiswa ke arah yang sama, loji taik.
Mereka ini merupakan ciri-ciri mahasiswa yang rajin, mempunyai semangat dan tenaga tetapi gagalis. Mereka mengunakan perkataan dan meletakkan diri mereka pada satu kelompok yang rare (istimewa), mempunyai kesedaran dengan kata mahasiswa yang sebaliknya atau tidak bersama dengan mereka adalah jahil (lawan kepada kesedaran), pasif (makna kepada manusia yang tidak berkembang maju) dan seseorang yang asing. Lihatlah tulisan-tulisan mereka lebih mengfokuskan kepada ‘kita-kita’ ini perlu buat ini dan itu bukan membincangkan tentang mahasiswa (yang teramai) itu sendiri perlu ini dan itu.
Jika beginilah kaca mata mereka memandang mahasiswa, tidak perlu kita membawa persoalan yang lebih kompleks iaitu apa manfaat kepada masyarakat yang terbanyak, manfaat kepada mahasiswa terbanyak pun tidak dibincangkan secara serius, akhirnya hanya untuk ‘kita-kita’.
Mahasiswa perlu mula menyentuh material
Mari kita membayangkan dihadapan kita hari ini terdapat infrastruktur universiti seperti bilik kuliah, pejabat, asrama, terdapat pelajar mahasiswa daripada pelbagai jurusan, terdapat tenaga pengajar, staf universiti dan peruntukan wang daripada wang cukai rakyat. Seorang yang materialisme perlu memikirkan bagaimana sumber-sumber ini perlu diuruskan untuk membina atau menghasilkan struktur sosial yang lagi baik dan memberi manfaat kepada yang terbanyak.
Namun hari ini apa yang dibincangkan adalah patut atau tidak sosok Fahmi Reza yang membentangkan soal sejarah gerakan mahasiswa, romantisme atau tidak pembawaan sejarah itu oleh Fahmi Reza dan unsur romantisme dalam sejarah itu sendiri perlu atau tidak. Jika kita mahu memikirkan tentang nasib gerakan mahasiswa, persoalan seperti ini langsung tidak memberi manfaat kepada gerakan mahasiswa dan berakhir dengan sia-sia (seperti polemik yang cuba diadakan). Kita mungkin dapat menambah pengetahuan untuk ‘kita-kita’ sahaja, bukan mahasiswa dan orang teramai.
Bagi seorang yang melihat fakta sejarah (bukan hanya sebagai alat propaganda) ini penting untuk gerakan-gerakan mahasiswa, mereka akan membincangkan atau mendesak cara untuk sejarah ini diangkat menjadi sejarah rasmi atau diajar di sekolah-sekolah harian. Cuba bayangkan dengan idea ini, hampir separuh beban gerakan mahasiswa dapat diselesaikan apabila pelajar-pelajar yang merupakan bakal mahasiswa sudah mempunyai gambaran awal tentang gerakan mahasiswa.
Maka perbincangan untuk ‘kita-kita’ ini dapat memberi manfaat kepada banyak gerakan-gerakan mahasiswa yang tidak tercapai oleh ‘kita-kita’ ini. Bukanlah menghabiskan masa membincangkan terma-terma yang subjektif dan tidak jelas susunan material seperti demokrasi, romantisme, kebebasan bersuara, kebebasan akademik yang akhirnya seperti cuba mempersoalkan rukun islam.
Mahasiswa yang tiada arah
Jika membaca pada tulisan Suhail dan Rahman tentang matlamat serta program-program yang dijalankan oleh Mortar Movement ini, saya tidak meletakkan apa-apa harapan lagi kepada pertubuhan ini kerana masih mentah dan tidak jelas arah tujunya. Namun saya skeptik dengan persoalan yang diulang-ulang banyak kali untuk melihat ‘gabungan’ gerakan-gerakan mahasiswa yang baru. Untuk apa?
Susah bagi seorang mahasiswa yang walaupun secara idealnya melihat mahasiswa perlu memberi manfaat di lapangan masyarakat tetapi praktiknya dan platform yang cuba dibina tetap hanya mengambarkan atau menjadikan gerakan mahasiswa seperti gerakan parti-parti politik, ada pembangkang, ada pemerintah (sistem dua parti) dan hanya tersempit pada isu-isu politik. Bacalah gerakan-gerakan mahasiswa yang mahu disetubuhkan oleh Suhail itu dibawah satu sistem, semuanya gerakan yang tidak mesra kepada parti pemerintah.
Persoalan dia bagaimana pula bagi mahasiswa yang tidak berminat kepada isu-isu politik? Seperti persatuan alam sekitar, persatuan panjat gunung, persatuan sukarelawan, persatuan keluarga angkat dan persatuan yang berdaftar yang lain? Adakah tujuan akhirnya tidak memberi manfaat kepada lapangan masyarakat seperti ‘End Goal’ yang Suhail percaya itu? Adakah seorang mahasiswa jurusan perubatan yang tercerah perlu turun ke masyarakat berkempen Tangkap MO1 atau berdemonstrasi seperti ‘kita-kita’?
Disinilah wujudnya stigma yang merasakan diri itu rare, tercerah, perlu memimpin (bukan bersama) mahasiswa seperti nabi memimpin umat dan hasilnya terperangkap membincangkan isu-isu yang lagi tak memberi manfaat kepada masyarakat terbanyak. Mampus mahasiswa dibunuh mahasiswa.
Kembali menjadi mahasiswa
‘Mimpi saya yang terbesar, yang ingin saya laksanakan adalah, agar mahasiswa Indonesia berkembang menjadi “manusia-manusia yang biasa”. Menjadi pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi yang bertingkah laku sebagai seorang manusia yang normal, sebagai seorang manusia yang tidak mengingkari eksistensi hidupnya sebagai seorang mahasiswa, sebagai seorang pemuda dan sebagai seorang manusia.’ – Soe Hok Gie
Saya mengenali juga gerakan mahasiswa dan aktivisme di Indonesia hasil beberapa kali lawatan ke sana. Saya juga pernah ditempatkan di Universiti Padjadjaran, Bandung selama tiga bulan untuk bersama mahasiswa mereka menjalankan kerja-kerja komuniti. Hasil pengalaman singkat saya ini, saya tidak fikir mereka mempunyai masalah untuk mengekalkan momentum jika matlamatnya menabur khidmat di lapangan masyarakat. Kerana usaha dan kerja mereka tidak mati apabila mereka dipimpin oleh pensyarah-pensyarah mereka. Setiap mahasiswa memainkan peranan di lapangan masyarakat berdasarkan bidang pengajian masing-masing.
Mahasiswa datang dan pergi, pensyarah akan kekal di gedung ilmu ini. Itulah kekuatan sebenar aktivis mahasiswa Indonesia walaupun tanpa biaya dan nasihat parti politik. Tidak seperti sejarah penubuhan Kesatuan yang menyepak keluar Dr. Mohammad Alinor kerana bimbang menjadi perisik, mereka lebih senang berkongsi dan bertanya kepada ahli-ahli politik daripada guru sebenar mahasiswa itu sendiri.
Kepada Rahman, Suhail dan Izzah, kembalilah menjadi mahasiswa dan manusia. Lihatlah peranan gerakan mahasiswa itu lebih luas daripada kisah perjuangan Syed Hamid Ali dan Khong Kom Hoong. Menyalahkan keadaan persekitaran bukanlah menunjukkan mahasiswa yang cerdik, saya memberi contoh mudah apabila pengiat seni filem Malaysia yang menyalahkan autoriti kerana terlalu banyak tapisan menyebabkan filem-filem dihasilkan tidak berkualiti, sedangkan di Iran dengan kawalan lebih ketat namun mereka tetap diiktiraf dunia sebagai 10 negara terbaik menghasilkan filem-filem berkualiti.
Bergitu juga ‘kita-kita’ ini, sebenarnya AUKU bukanlah menjadi punca matinya gerakan mahasiswa, tetapi yang membunuh mahasiswa adalah mahasiswa itu sendiri.
Sekian,
Jefry Musa,
Mahasiswa dekan 2017/18.