Great theatre is about challenging how we think and encouraging us to fantasize about a world we aspire to. – Willem Dafoe.
Plato pernah menjelaskan teater merupakan tempat pertunjukan di mana drama diadakan, manakala tempat drama itu dimainkan atau dipersembahkan dinamakan pentas atau panggung. Teater menggunakan manusia sebagai alat dan penggerak utama bagi menyampaikan mesej yang terkandung dalam skrip. Penguasaan ilmu teater bukanlah sesuatu yang patut dipandang rendah.
Perasaan dan ingatan yang mantap penting bagi mencapai kesempurnaan dalam mempersembahkan sesebuah lakonan. Latihan pernafasan, penguasaan vokal yang berterusan juga salah satu elemen penting dalam penguasaan jasmani dan rohani.
Teater merupakan satu seni dan budaya. Di sinilah seniman dan budayawan tercipta. Bukan semua orang boleh berlakon dalam teater. Tanpa minat yang mendalam dan sifat kesabaran yang tinggi, seseorang tersebut sukar untuk melakonkan watak yang diberi.
Penghayatan watak bukanlah juga perkara yang senang. Apabila berlakon, seseorang itu bukan lagi dirinya dalam dunia nyata tetapi watak di dalam skrip tersebut.
Sebuah teater mampu menyampaikan sejuta mesej kepada penontonnya. Menjelang PRU-14 yang lalu, dilihat sekumpulan anak muda yang dikenali sebagai Teater Jalanan Malaysia Muda (TJMM) menyebarkan mesej mengenai isu semasa negara melalui lakonan. Mereka dilihat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai fakta sebenar menerusi lakonan mereka.
Isu-isu yang diangkat adalah seperti mahasiswa dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan ( GST ). Ia boleh dikatakan suatu perkara yang perlu diberi perhatian kerana menerusi saluran teater, mesej kepada rakyat disampaikan dengan jelas dan mudah. Perjuangan mereka juga merupakan salah satu perjuangan dalam menjatuhkan rejim Barisan Nasional.
Apabila bercakap mengenai budaya dan seni teater dan mahasiswa, saya teringat akan Safdar Hashmi, seorang pelopor teater politik di India yang dijalankan dalam bentuk teater jalanan. Beliau juga merupakan pengarang skrip persembahan, penulis lirik, pelakon dan pengarah. Pada masa yang sama, beliau berideologikan komunisme. Sewaktu masih bergelar mahasiswa di Kolej St. Stephen’s, Universiti Delhi, Safdar terlibat di dalam Indian People’s Theatre Association ( IPTA ).
Hashmi mengasaskan Jana Natya Manch ( JANAM ) pada tahun 1973. JANAM berkembang daripada IPTA dan dikaitkan dengan Parti Komunis India di mana beliau terlibat secara aktif pada tahun 1970-an. Beliau telah menulis puisi , skrip dan mengarah filem pendek untuk televisyen, dan menulis mengenai budaya dan teater untuk akhbar nasional dan jurnal SFI Student Struggle.
JANAM merupakan kumpulan teater jalanan yang paling terkenal di India. JANAM telah memperlihatkan lebih daripada 8,000 pertunjukan dipentaskan di hampir 100 jalan oleh sekumpulan anak muda termasuk Safdar. Permulaan Safdar dalam teater jalanan muncul ketika Perdana Menteri pada waktu itu, Indira Gandhi, dituduh melakukan penipuan dalam pilihan raya namun menolak untuk meletakkan jawatan. Namun perjuangan beliau hanya sehingga beliau berumur 34 tahun.
Pada petang 1 Januari 1989, kumpulan JANAM sedang mengadakan pertunjukan – Halla Bol di Sahibabad, Delhi. Orang ramai menumpukan perhatian dalam penyampaian mesej dalam pertunjukan di mana ia mengenai pekerja kilang di Sahibabad yang sedang berprotes untuk melawan majikan dan kerajaan mereka. Dalam kalangan orang ramai tersebut, terdapat penyokong golongan elit yang memerintah yang disasarkan dalam pertunjukan teater jalanan. Mereka menyeret keluar Safdar dan memukulnya di depan orang ramai. Mereka berulang kali memukul kepalanya dengan batu.
Safdar meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Perjuangan Safdar mungkin berhenti sampai di sana sahaja namun sehingga kini JANAM masih bernafas dan aktif dalam pertunjukan teater jalanan. Perjuangan Safdar masih diteruskan oleh anak-anak muda di India.
Para mahasiswa perlu lebih memperbanyakkan pementasan teater berunsur ideologi politik, hal-hal ekonomi negara dan rakyat serta masalah sosial yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini salah satu caranya menyebarkan dan menyuburkan perjuangan sistem demokrasi yang wujud di negara ini. Pada masa yang sama, suatu isu yang dibangkitkan dapat disampaikan dalam bentuk yang kreatif dan kritis. Terlalu banyak isu yang perlu dibangkitkan oleh mahasiswa. Ini juga sebuah idea keintelektualan.
Di kebanyakan institusi pengajian tinggi di Malaysia, kelab teater ditubuhkan dan ada juga institusi pengajian menawarkan jurusan teater dan seni lakon. Ini adalah sebuah peluang keemasan mahasiswa dalam memikirkan idea dan pembaharuan dalam aspek politik, sosial dan budaya dengan memperkenalkan teater jalanan atau juga teater yang bersifat lebih formal.
Penulisan skrip dalam kalangan mahasiswa juga perlu dipertingkatkan dan diberikan galakan secara menyeluruh. Mahasiswa boleh bekerjasama dengan penggiat seni teater tanah air atau mana-mana institusi kebudayaan dalam membincangkan dan memgangkat martabat hasrat murni ini. Teater tidak membosankan selagi jiwa anda betul-betul mendalami ilmu seni tersebut. Ingatlah teater memanusiakan manusia.
Berikut merupakan kandungan Skrip Bla Bla Bla hasil karya Agus Safari iaitu sebuah skrip bersifat eksperimental dan bertemakan suara rakyat dan demokrasi yang pernah dipentaskan oleh saya bersama rakan-rakan seperjuangan pada tahun 2016.
—
Lihatlah
Begitu banyak buih-buih yang berterbangan di udara
Hanya berterbangan di udara tidak ada yang mengendahkan
Para wakil rakyat hanya menonton
Bagi mereka suara-suara yang berterbangan ini
Mampu diagendakan sahaja
Nah,
Suara-suara yang bertaburan inilah
Yang harus disimpan di dalam nurani kita
Lalu, diungkapkan dalam dunia seharian kita, bukan dunia dongeng
Maka carilah suara-suara yang melayang ini
Di udara yang tidak bernaluri ini
Begitu banyak mereka bertaburan di udara
Begitu banyak
Begitu banyak…
JAYMANI A/P SEVANATHAN
MAHASISWI SAINS POLITIK DAN AHLI KELAB TEATER RIMBA UKM