SENI, SENIMAN DAN MASYARAKAT

Izzat Dahelan

Suara Mahasiswa UMS

 

Beberapa hari ini, media sosial telah dibanjiri dengan isu golongan artis menuntut bantuan khusus buat mereka. Hal tersebut secara tidak langsung telah mewujudkan satu perspektif yang negatif kepada artis atau seniman dan lebih malang lagi kepada seni itu sendiri. Oleh kerana penulis merupakan seorang yang meminati beberapa hasil seni seperti puisi, lukisan, muzik dan lain-lain, penulis ingin berkongsi serba sedikit tentang apakah itu seni, siapakah seniman, dan fungsi seni kepada masyarakat.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, seni merujuk kepada karya (sajak, lukisan, muzik, dll) yang diciptakan dengan bakat (kecekapan), hasil daripada sesuatu ciptaan dan juga dirujuk sebagai kebolehan mencipta sesuatu (lukisan, ukiran, dll) yang indah-indah. The Hutchinson Enclyclopedia mendifinisikan art ataupun seni sebagai semua proses dan produk kemahiran manusia, imaginasi dan ciptaan iaitu sesuatu yang berlawanan dengan sifat semulajadinya.

Selain itu, seni juga dilihat sebagai satu percubaan untuk mencipta sesuatu yang menyenangkan hati (Herbert Read, 1949). Berdasarkan beberapa pendefinisian tadi, penulis boleh simpulkan bahawa seni merupakan hasil karya yang mempunyai nilai estetika dan fizikal yang wujud daripada aktiviti pemerhatian dan imaginasi diikuti panduan perasaan seseorang dan dimanifestasi dalam bentuk-bentuk yang boleh dilihat, didengar dan dirasa oleh manusia lainnya. Oleh itu, hari ini kita dapat lihat wujudnya pelbagai pecahan daripada seni, seperti seni audio, seni visual, seni audio visual, seni rupa, seni tari, seni muzik dan lain-lain.

Seni itu tidaklah wujud dengan sendirinya tanpa digerakkan atau diciptakan oleh sesiapa. Seni itu diwujudkan, dimanifestasikan dan diciptakan oleh manusia yang digelar sebagai seniman atau artis. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa seniman itu hanya merujuk kepada penggiat seni diluar seni lakonan, dan mereka yang berada di dalam seni lakonan itu adalah artis. Hakikatnya, seniman dan artis itu merujuk kepada sesiapa sahaja yang mencipta dan menghasilkan suatu karya seni, ia membawa kepada maksud yang sama. Kamus Pelajar Edisi Kedua mendefinisikan seniman sebagai orang yang mencipta sesuatu hasil seni seperti pelukis, penyair dan lain-lain. Oleh itu, seseorang itu perlu mencipta suatu hasil seni sebelum ia mengiktiraf dirinya sebagai seorang seniman atau artis.

Persoalannya sekarang ialah apakah fungsi seni? Apakah kepentingan unsur seni ini ada di dalam diri dan kehidupan manusia? Bolehkah manusia hidup tanpa seni? Adakah seni itu seperti alat? Yang kita gunakan untuk kepentingan kehidupan sosial sebagai seorang manusia? Penulis akan menjawab persoalan ini berdasarkan kepada pandangan penulis sendiri. Hal ini adalah melalui pemerhatian, pergaulan dan perkongsian rakan penulis bersama rakan-rakan yang merupakan mahasiswa yang belajar tentang seni.

Seni mempunyai fungsi yang sangat penting kepada diri dan kehidupan manusia. Melalui seni, manusia boleh membebaskan perasaan yang ia rasai. Perasaan itu adalah terdiri daripada pelbagai, tidak kira marah, sedih, bahagia, gembira dan lain-lain. Semua perasaan itu akan dibebaskan melalui penciptaan seni yang mewujudkan hasil seni. Oleh itu wujudlah hasil seni seperti lukisan, puisi, lagu, muzik dan pelbagai lagi. Ia adalah refleksi diri dengan perasaan dan membawa kepada penghasilan seni.

Penulis menolak faham yang mengatakan bahawa ‘seni untuk seni’ dan penulis berpegang kepada konsep ‘seni untuk masyarakat’. Penjelasan yang panjang tidak dapat penulis kongsikan di dalam penulisan ini dan mungkin akan dikongsikan pada penulisan yang lainnya. Namun, yang pasti seni itu adalah untuk masyarakat. Seni untuk masyarakat menurut faham penulis adalah seni itu memainkan peranan dalam setiap komponen kehidupan masyarakat iaitu politik, ekonomi dan sosial.

Seni dijadikan sebagai alat untuk mengkritik jika berlakunya pengabaian masyarakat oleh pihak pemerintah. Seni dijadikan sebagai alat untuk mengkritik tingkah laku sosial yang tidak sepatutunya wujud di dalam masyarakat. Siapakah masyarakat ini? Semua masyarakat! Tidak kira apapun kaum itu, selagi mana ia manusia, seni akan tetap untuknya, akan tetap membela masyarakat manusia!

Manusia tidak boleh hidup tanpa seni, kerana seni itu sudah sebati di dalam segala elemen kehidupan manusia. Seni juga telah menjadi keperluan di dalam kehidupan umat manusia. Tanpa seni, manusia tidak akan dapat hidup. Tanpa seni, manusia tidak akan menjadi manusia. Berfikir juga memerlukan seni untuk berfikir. Seni menyentuh hal-hal realiti. Bukan hanya mampu berteori dan berfalsafah, kerana ia terhasil daripada jiwa dan perasaan seorang manusia. Oleh itu, seni itu amat penting dalam memberi gambaran-gambaran tentang siapakah manusia itu, siapakah masyarakat itu, siapakah individu itu.

W. S. Rendra seorang penulis puisi dan pemuisi yang hebat. Penulis juga sangat gemar mendengar puisi-puisi yang ditulis dan dibaca oleh Rendra. Apabila mendengar karya beliau, penulis seperti sedang mendengar pemikiran beliau dijelaskan dalam bentuk puisi yang indah. Puisi Sebatang Lisong dan Pertemuan Mahasiswa misalnya sangat gemar penulis dengar. Kerana ia menyentuh realiti-realiti yang berlaku dalam masyarakat dan menyindir para pemerintah yang menyeleweng dalam urusan hakiki yang sepatutnya mereka lakukan. Selain itu, P. Ramlee juga merupakan seorang seniman yang sangat agung pada pandang penulis. Ia amat berkebolehan dalam lakonan, muzik, arahan, serta nyanyian. Filem-filem yang beliau arahkan sememangnya tidak pernah kosong daripada nilai-nilai kritikan sosial. Hasil seni yang beliau wujudkan menyentuh realiti dan bersifat realistik.

Namun, pada hari ini seni hanya dilihat sebagai satu bidang untuk seseorang itu mengaut keuntungan. Seni hanya dihasilkan dan diciptakan atas tuntutan komersial, bagi mengaut laba! Tidak dinafikan sememangnya ada penggiat seni yang benar-benar memunculkan nilai-nilai seni seperti Dato’ M. Nasir.

Karya beliau sememangnya mempunyai elemen-elemen perasaan dan realiti sosial yang harus didalami dan ditafsirkan. Tetapi ada juga sebahagian golongan yang menggelar diri mereka adalah seniman dan artis, namun apa yang diwujudkan oleh mereka tidaklah seperti yang telah disumbangkan oleh seniman dan artis sebelumnya. Cinta sekadar cinta, lawak sekadar lawak, puisi sekadar puisi, lukisan sekadar lukisan, dan segala macam manifestasi yang sebahagian golongan ini sebutkan sebagai seni. Hakikatnya, hanyalah nilai komersial yang dikejar. Seni untuk masyarakat itu tidak wujud.

Malah, ada yang menggelarkan diri sebagai seniman dan artis ini tidak pernah untuk turun melihat kehidupan masyarakat bawah. Apa penyebab hal ini berlaku? Puncanya kerana seni itu tidak ditelaah, tidak difahami falsafah dalam seni, yang dikejar adalah populariti, yang dikejar adalah imbal balik wang daripada seni yang dihasilkan dan seni itu tidak lagi daripada perasaan yang menyentuh nilaian positif.

Seniman itu adalah manusia yang mempunyai perasaan dan berkemampuan memanifestasikan ia ke dalam bentuk seni. Kemudian ia disajikan kepada masyarakat untuk pembangunan dan perkembangan elemen kehidupan manusiawi. Tidak ada gunanya jika seni itu hanya untuk seni.

Seni itu seharusnya untuk manusia lainnya, untuk masyarakat! Seni untuk masyarakat! Seniman tidak kira di dalam pecahan seni yang mana sekalipun, tetapkan di dalam perjuangan dan perjalanan seni itu satu nilaian yang memberi manfaat. Fikirkan falsafah-falsafah seni yang akan memandu kepada perjalanan seni yang baik. Seni bukan medan untuk mengumpul laba, tetapi seni adalah medan untuk kita memperjuangkan kemanusiaan.

Oleh itu, seniman (artis) yang sebenar bukanlah seniman (artis) yang hanya mampu mempamerkan kekayaan hasil daripada kegiatan seninya. Tetapi seniman (artis) yang sebenar adalah seniman (artis) yang memberi kekayaan nilai positif dan membangun kepada masyarakat. Seni bukan untuk mengkayakan diri, tapi seni untuk mengkayakan manusia dengan nilai kemanusiaan. Seni itu akan dilihat hina! Jika seniman (artis) yang menghinakan seni itu. Seni akan dilihat mulia! Jika seniman (artis) yang memuliakan seni itu.

Leave a Reply