MAHASISWA WIRA MASYARAKAT
Izzat Dahelan
Di waktu wabak Covid-19 melanda negara kita, banyak NGO yang turun ke masyarakat dan melakukan aktiviti mengedar sumber makanan asas kepada mereka yang memerlukan. Tidak terkecuali juga rakan mahasiswa yang turut tidak senang duduk melihat kesempitan hidup masyarakat di waktu Perintah Kawalan Pergerakan ini. Penulis sendiri secara peribadinya sangat ingin melakukan aktiviti bersama rakan yang lain. Hal ini kerana nikmat melihat terukirnya senyuman pada raut wajah mereka yang benar-benar memerlukan bantuan ini sangat mendamaikan. Namun, akibat penulis telah kembali ke kampung halaman sebelum PKP, penulis hanya mampu menyokong gerakan aktivisme NGO dan mahasiswa berhati mulia ini melalui alam maya.
“Mahasiswa datang ke universiti hanya untuk belajar”
Ungkapan yang selalu bermain di ruang telinga penulis, terutamanya dari segelintir mahasiswa yang menganggap bahawa hidup di universiti ini terlalu singkat untuk kita melakukan aktiviti lain. Oleh itu, mahasiswa hanya perlu fokus belajar dan hal-hal lain itu dilakukan kemudian hari. Penulis mengajukan beberapa persoalan kepada mahasiswa yang berfikiran sebegini. Pertamanya, adakah hidup kita di dunia ini terlalu panjang tempohnya? Ya, semestinya tidak. Dan agama sendiri mengakui hal tersebut.
Walaupun demikian, kita tetap dituntut untuk melakukan kebaikan. Begitu juga dengan kehidupan kita yang singkat di universiti. Tempoh pengajian yang singkat bukanlah satu alasan untuk kita melakukan aktivisme. Tetapi menjadi cabaran untuk kita berdisiplin agar dapat membahagikan komitmen kita sebagai mahasiswa dan sebagai manusia yang celik hal ehwal kesusahan masyarakat luar.
Keduanya, adakah kita pasti di hari depan kita akan punya masa yang sangat cukup untuk melakukan aktiviti sebegini? Ketiga, adakah kita mampu untuk mencari jaringan apabila sudah keluar dari kampus? Mungkin boleh, namun pastinya agak sukar. Apabila melakukan aktivisme di alam universiti, sebenarnya ia banyak memberi nilai tambah yang baik kepada diri seorang mahasiswa. Ia akan menjadi pengalaman kepada mahasiswa untuk melakukan aktivisme di hari depan.
Mahasiswa juga dapat mempelajari kemahiran insaniah yang amat penting untuk digunakan sewaktu alam pekerjaan nanti. Oleh itu, penulis sangat tidak bersetuju pada tanggapan bahawa mahasiswa datang ke universiti hanya untuk belajar. Mahasiswa datang universiti datang untuk belajar, dan mengaut segala macam ilmu serta pengalaman sebanyak mungkin. Bukan hanya duduk dan menghabiskan masa di dalam bilik dengan tugasan dan memenuhi masa lapang dengan perkara yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada diri sendiri.
Mahasiswa adalah wira masyarakat. Mahasiswa adalah golongan yang cerdik pandai. Mungkin tidak semua mahasiswa mempunyai pemikiran yang hebat, namun asas dalam menganalisis sesuatu perkara itu dimiliki oleh mahasiswa. Oleh itu, apabila wujud permasalah dalam masyarakat. Mahasiswa adalah antara golongan yang layak turun dan memerhati permasalah tersebut. Mencari solusi buat permasalahan yang ada. Bukan hanya memerhati permasalahan masyarakat dan menjadi tanda kesyukuran terhadap kehidupan kita yang sedia ada. Nilai budi akan wujud apabila seseorang itu memikirkan permasalahan yang wujud dalam masyarakat, dan membantu mereka untuk keluar daripada kepompong permasalahan itu.
Kekangan masa adalah perkara yang biasa dialami oleh mahasiswa. Masa juga menjadi alasan utama mahasiswa untuk tidak melakukan aktivisme kepada masyarakat. Penulis sendiri merasakan hal tersebut. Namun, ia bukan penghalang, tetapi cabaran yang harus kita tempuh. Kita harus menyimpan nilai disiplin di dalam diri agar dapat menempatkan diri pada setiap komitmen yang perlu. Waktu yang penulis habiskan setiap hari sememangnya memang banyak diberatkan dengan urusan-urusan penulis sebagai mahasiswa.
Namun, penulis masih boleh melakukan aktivitisme untuk masyarakat. Oleh itu, jika penulis sebagai seorang mahasiswa boleh melakukan hal tersebut, mengapa tidak mahasiswa lainnya? Mahasiswa adalah wira, seorang wira yang kuat!
Sebagai perkongsian buat pembaca, penulis pertama kalinya banyak mengikuti aktiviti turun ke masyarakat adalah selepas menyertai gerakan aktivisme yang dilakukan Suara Mahasiswa UMS, Kelab Sastera Mahasiswa UMS dan Borneo Komrad. Aktiviti yang dilakukan adalah seperti mengedar makanan kepada mahasiswa, kepada masyarakat marhaen kota, dan masyarakat gelandangan. Selain itu, turut dilakukan aktiviti mengajar di Sekolah Alternatif (Teratak Mahasiswa) yang menyediakan pendidikan percuma buat masyarakat yang tidak berkemampuan dan tidak mempunyai dokumentasi. Perasaan yang dirasai oleh penulis setiap kali turun beraktivisme bersama rakan-rakan mahasiswa yang hebat ini sangat menyenangkan.
Misalnya, kesenangan itu dirasai apabila dapat melihat anak-anak yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan ini mendapat peluang untuk belajar. Melihat keinginan mereka yang tinggi untuk belajar sangat meninsafkan diri penulis. Dalam waktu ada anak-anak yang mempunyai kehidupan yang baik menangis tidak mahu hadir ke sekolah, anak-anak yang diabaikan hak mendapat pendidikan ini dengan sangat teruja hadir ke sekolah. Terdapat juga anak yang menyarung pakaian sekolah kerajaan untuk datang ke sekolah. Ini menunjukkan betapa keinginan untuk menuntut ilmu sangat tinggi di dalam diri mereka, dan menguatkan lagi semangat penulis serta rakan mahasiswa lain untuk sentiasa menabur bakti juga ilmu buat mereka.
Terlalu banyak pengalaman yang penulis rasakan dalam jangka waktu yang singkat namun padat dengan kegiatan untuk masyarakat. Oleh itu, mahasiswa lain tidak harus punya alasan bagi melakukan aktivisme kepada masyarakat. Kepenatan itu sangat berbaloi apabila kita dapat melihat kebahagiaan mereka yang benar-benar memerlukan ini.
Mahasiswa tidak hanya menjadi wira melalui aktivisme, tetapi melalui pembelaan. Mungkin ada segelintir mahasiswa yang berminat dalam bidang penulisan. Apa salahnya jika gunakan minat itu untuk mengujarkan permasalahan masyarakat. Kita tahu bahawa pihak kerajaan sememangnya tidak mampu menjaga keseluruhan rakyat di negara ini. Oleh itu, kita harus menjadi golongan yang memberi maklumat. Bukan hanya kepada kerajaan, tulisan kita juga boleh menjadi bacaan masyarakat lainnya, yang mempunyai kehidupan yang lebih baik, untuk turut bersama membantu menyelesaikan permasalahan masyarakat ini.
Tidak ada alasan untuk mahasiswa bergerak. Setiap halangan pasti ad acara untuk melepasinya. Namun, halangan itu tidak mungkin dapat kita tembusi jika diri kita masih dibarahi dengan alasan. Oleh itu, mahasiswa adalah wira masyarakat. Mahasiswa mempunyai tanggungjawab sesama mahasiswa dan mahasiswa mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat. Mengutip kata yang pernah disebutkan oleh seseorang insan yang sangat mendokong gerakan aktivisme gerakan mahasiswa penulis,
“Apa guna hidup jika untuk diri sendiri, syok sendiri. Orang yang paling bermanfaat adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain”
Dari Mahasiswa kepada Mahasiswa, dari Mahasiswa untuk Rakyat Malaysia!