LAWAN COVID-19 & HAPUS RASISME!

IZZAT DAHELAN

SUARA MAHASISWA UMS

Pada 11 Mac 2020, The World Health Organization (WHO) telah mengisytiharkan bahawa Covid-19 sebagai pandemik. Hal ini adalah berikutan daripada peningkatan sebanyak lebih 118,000 jumlah kes jangkitan Covid-19 di 110 buah negara dan wilayah seluruh dunia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pandemik merujuk kepada wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas, sama ada hingga ke seluruh wilayah, benua atau dunia. Pandemik bukan merujuk kepada keterukan yang disebabkan oleh wabak penyakit tersebut, tetapi ia merujuk kepada mudahnya wabak penyakit itu tersebar dari individu kepada individu yang lainnya.

Negara kita (Malaysia) tidak terkecuali daripada bencana wabak Covid-19 ini. Malah, sehingga hari ini (26 Mac 2020), direkodkan sebanyak 235 kes baharu dan menyebabkan peningkatan jumlah kes keseluruhan 2,031 orang. Hal ini sememangnya suatu bencana yang mengerikan dan menyedihkan buat negara kita. Belum sempat reda daripada isu pembentukan kerajaan ‘pintu belakang’ negara kita telah disapa oleh wabak penyakit yang masih belum ditemui penawarnya.

Namun, pihak kerajaan dengan sedaya upaya melaksanakan beberapa solusi bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 ini. Oleh itu, pada 16 Mac 2020, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020. Namun, pada 25 Mac 2020, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pihak kerajaan (selepas diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia) akan meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April 2020.

Namun, apa yang menyedihkan buat kita di Malaysia adalah penularan wabak ini telah membuka ruang kepada rasisme. Segelintir masyarakat kita telah memainkan isu perkauman dalam keadaan kita memerlukan ikatan kebersamaan menghadapi penularan wabak Covid-19 ini. Hal ini boleh kita lihat melalui laman media sosial yang memaparkan kiriman-kiriman yang berunsurkan perkauman.

Misalnya, terdapat kiriman yang menyalahkan orang Melayu (Islam) yang pergi ke majlis ijtimak tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Febuari 2020 hingga 1 Mac 2020. Kemudian, ramai netizen yang turut menyalahkan golongan tabligh yang kebanyakkannya adalah dalam kalangan orang Melayu dengan mengatakan bahawa mereka adalah punca kepada penularan wabak ini. Begitu juga halnya yang berlaku sebelum majlis ijtimak tabligh berlangsung, apabila netizen melakukan sindiran terhadap rakyat Cina di negara kita dengan mengaitkan mereka dengan warga China di Negara China.

Penulis merasakan bahawa hal ini tidak sepatutnya berlaku, terutamanya dalam waktu-waktu genting sebegini. Apa yang kita perlukan pada waktu sekarang adalah kebersamaan untuk menjaga diri kita tanpa mengira kaum, jantina ataupun agama. Negara kita sudah merdeka selama 62 tahun dan kita sepatutnya sudah memikirkan persoalan-persoalan berkaitan pembangunan negara. Namun, kegagalan kita untuk mewujudkan pemikiran yang matang, waras dan rasional telah menyebabkan keterikatan dan kebersamaan kita merenggang. Masih ada lagi golongan yang menyimpan rasa prejudis di dalam diri tanpa mereka sedari. Nilai-nilai yang tidak membawa sebarang manfaat kepada pembangunan bangsa dan negara ini harus dibuang.

Negara kita merupakan sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum. Kepelbagaian yang ada ini bukan wujud hanya selepas penjajahan British, tetapi telah wujud sejak berlakunya interaksi perdagangan diantara Kesultanan Melayu Melaka dengan kerajaan-kerajaan luar. Cuma kepelbagaian di waktu Kesultanan Melayu Melaka dan di waktu penjajahan British adalah berbeza. Perbezaannya adalah melalui cara mereka datang ke Tanah Melayu. Pada awalnya, kedatangan mereka adalah bermotifkan ekonomi (perdagangan) dan secara sukarela.

Pada era kolonialisme British pula, kedatangan mereka adalah secara paksa dan atas desakan kehidupan di negara asal. Perbezaan ini telah mewujudkan perbezaan juga dalam interaksi mereka dalam hubungan sosial.

Selain itu, masyarakat pelbagai kaum sebelum penjajahan ini berjaya berasimilasi dengan budaya-budaya Melayu tempatan. Namun, hal ini tidak pula berlaku kepada masyarakat yang datang ke Tanah Melayu semasa penjajahan British. Ini kerana niat jahat British yang sengaja mewujudkan pepecahan antara kaum melalui dasar pecah dan perintah. Hal ini bukan sahaja berlaku di Tanah Melayu, tetapi di tanah jajahan milik British yang lainnya.

Tujuan British untuk melakukan hal ini adalah bagi mengelakkan perpaduan diantara kaum kerana akan menggugat kedudukannya sebagai penjajah. Ini juga bertujuan untuk mewujudkan konflik antara kaum yang pelbagai, supaya ia dapat mengelakkan penentangan terhadapnya.

Jika diteliti benar, bibit perkauman yang negatif ini wujud apabila datangnya kuasa imperialis ke Tanah Melayu. Perpecahan yang menjadi dasar dalam penjajahan telah menyebabkan hubungan sosial antara kaum itu tidak berlaku. Kemudian, perbezaan taraf ekonomi menyebabkan lagi rasa tidak puas hati wujud dalam diri sesetengah kaum.

Jelasnya hal ini adalah berpunca daripada kedatangan British itu sendiri. Tetapi seperti biasa, sebelum melepaskan tanah jajahannya untuk memerintah sendiri, British meletakkan syarat bahawa masyarakat di Tanah Melayu harus bekerjasama dan sepakat antara satu sama lain. Dengan itu, barulah kemerdekaan akan diberikan kepada Tanah Melayu. Hal ini adalah bertujuan untuk mengelakkan British disalahkan akibat hal-hal yang mendatang (dalam hal-hal perkauman). Sedangkan, British sendiri yang telah mewujudkan nilai-nilai yang membawa kepada perpecahan itu.

Penulis tidak menafikan bahawa ada terselit kebaikan dalam langkah yang dilakukan oleh British dalam usaha memerdekakan negara ini. Namun, dampak yang jelas adalah keburukan yang telah ia wujudkan dalam tempoh penjajahan demi kebaikan negaranya sendiri.

Oleh itu, apa yang kita harus perangi adalah nilai-nilai buruk yang telah dibawa dan ditanam oleh British dalam diri setiap kaum di negara ini. Bukan memerangi antara satu sama lain. Nilai-nilai yang buruk ini boleh penulis ibaratkan sebagai virus yang sedikit demi sedikit membunuh kita secara perlahan jika tidak dirawat.  Musuh yang sebenar adalah kuasa yang telah mewujudkan nilai-nilai negatif dalam hubungan antara kaum, bukannya kaum-kaum yang sedia ada.

Oleh itu, kesedaran harus dimunculkan dalam diri masing-masing. Fikirkan kembali sama ada berbaloi atau tidak ketegangan antara kaum yang dicetuskan. Negara ini sedang menghadapi masalah yang telah menimbulkan rasa takut masyarakat dunia. Jadi kita perlu rawat ia dengan mematuhi saranan pihak kerajaan.

Bukan menambah luka lain, luka akibat rasisme, wabak rasisme yang akan menyebabkan negara kita ‘sakit’. Negara wujud kerana rakyat, rakyat wujud kerana masyarakat, masyarakat wujud kerana individu, dan daripada diri individu (diri sendiri) yang sedar akan keburukan rasisme, kita dapat membina masyarakat majmuk yang bahagia dan sejahtera. Kita mampu melawan Covid-19 dan kita mampu hapuskan rasisme!

Leave a Reply