Kota Kinabalu: Pada 22, 23 dan 24 Mei 2021 baru-baru ini, telah berlangsung sebuah program secara dalam talian iaitu International Drugs Convention for Youth (INTER-DC4YOUTH) yang telah dihadiri lebih daripada 300 peserta dari kalangan mahasiswa, dalam dan luar negara turut disertai agensi luar. Program ini telah dianjurkan oleh Kelab PEMADAM Universiti Malaysia Sabah dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) kebangsaan di peringkat antarabangsa dengan melibatkan Kelab PEMADAM SeMalaysia dan beberapa buah negara ASEAN seperti Indonesia, Laos, Filipina, Myanmar dan Vietnam.
Program ini bertujuan untuk mengadakan perbincangan pelbagai hala termasuk dari perspektif mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi dan agensi – agensi kerajaan tentang salah laku dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan mahasiswa. Program pertama yang seumpama ini diharapkan menjadi batu loncatan kepada Institusi Pengajian Tinggi kerana memberi fokus yang penting dalam mendokong aspirasi Kerajaan dalam usaha Kementerian menyelesaikan isu penyalahgunaan dadah. Melalui pertemuan ini, sebuah blueprint telah ditandatangani antara wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi dalam mendokong ‘Zero Drug@Campus’ menjelang tahun 2022.
Konvensyen ini telah mewujudkan rasa tanggungjawab dan cakna dalam diri setiap individu berkaitan isu yang melibatkan penyalahgunaan dadah. Selain itu, program ini turut terarah kepada matlamat Sustainable Development Goals (SDGs). Empat matlamat SDGs telah ditekankan dalam Konvensyen ini berdasarkan slot yang dibincangkan antaranya 3-Good Health and Well-Being, 4-Quality Education, 5-Gender Equality dan 17-Partnerships For The Goals. Ini dapat dilihat melalui slot forum yang yang bertajuk Pandemik Covid-19: Cabaran Mahasiswa Mengadapatasi Gaya Hidup Sihat, Wanita Agen Kelestarian Negara, Keterlibatan penyalahgunaan dadah: rakan atau diri sendiri.
Turut diadakan juga slot permainan berbentuk kuiz, aktiviti berkumpulan, debat serta pertandingan pidato yang melibatkan para peserta bagi bertukar pendapat dengan tema yang ditekankan iaitu ‘Fight Against Drugs’. Saudara Arif Amsyar, pengarah program INTER-DC4YOUTH menyatakan rasa bangga beliau kepada para peserta dan berharap agar program ini dapat memberi impak kepada komuniti khususnya dalam aspek kesedaran terhadap usaha untuk menjaga kesejahteraan kesihatan.
Sesi penutupan program ini tidak lengkap tanpa kata-kata daripada tetamu kehormat, dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, iaitu YBhg. Prof. Datuk. ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, turut memberi kata-kata penghargaan beliau kepada penganjur yang telah menjayakan program ini dengan baik selama tiga hari. Dalam kesempatan itu juga, beliau telah mengingatkan tentang kebaikan dadah dalam bidang perubatan dan keburukan yang ia bawa akibat penyalahgunaan dan pengambilannya.
Oleh itu, dengan selesainya sesi penutupan program INTER-DC4YOUTH pada 24 Mei 2021 (Isnin), maka tamatlah program yang julung kalinya diadakan dan berharap momentum ini akan terus kekal agar program INTER-DC4YOUTH 2.0 dapat dilancarkan pada tahun seterusnya dan menjadikan program ini sebagai program tahunan di antara Insititusi Pengajian Tinggi di Malaysia dengan Kerjasama agensi luar.
Semoga program seperti ini terus diperkasakan bagi memberi impak yang besar kepada komuniti. Akhir sekali, satu deklarasi dan Letter of Intent (LOI) yang ditekankan Kelab PEMADAM UMS bersama Institusi Pengajian Tinggi serta negara ASEAN iaitu meningkatkan jalinan kerjasama dan pertukaran amalan terbaik, pengalaman dan kepakaran antara universiti tempatan dan luar negara serta agensi luar negara dalam aspek pencegahan dadah selaras dengan prinsip perkongsian bestari dengan rakan strategik untuk menjadikan Kampus Bebas Dadah.