BIAR MEREKA BERONANI SAMPAI MATI KALAU MEREKA MAHU
IZZAH DEJAVU
AKU bangun pagi dari sebuah hotel di tengah Kuala Lumpur. Dari dalam bilik tingkat 2, ternyata langit masih biru di sebalik langsir yang memisahkan tempat tidur aku malam itu dengan dua tiga batang tubuh gelandangan yang merengkut kesejukan di luar. Fikiran aku serba salah. Dalam bangunan sederhana kecil yang seluruhnya berhawa dingin dan dingin malam yang tidak dapat dikawal, terasa munafiq di hadapan Tuhan. Belum sempat keinsafan merasuki tubuh, telefon pintar lebih laju menarik perhatian.
Seperti kebiasaan, membaca artikel ringkas di pagi hari adalah rutin agar kalau tidak banyak, cukup untuk hari itu sahaja, menjadi bekal, kalau hidup perlu diteruskan meski bersama harapan yang makin nipis. Cahaya matahari yang memancar tepat pada kulit hari itu, hanya ingin mengirimkan resah, bila fikiran aku amat terganggu membaca tulisan Rahman Imuda, tentang ‘Romantism Ceramah Fahmi Reza & Realiti Semasa’.
“Berpelukan dengan sejarah adalah sesuatu yang tidak salah, bahkan aku selalu menggunakan ia sebagai motivasi untuk mengatakan mahasiswa boleh kembali berjenama dan bertenaga. Malangnya, bermain dengan sejarah ini sering membuatkan ramai aktivis siswa (termasuk aku sendiri) mahu jadi seperti mereka secara “copy and paste”.
Kita berhasrat mahu berdemo dengan jumlah yang ramai, mahu buat “road show” dan mahu “memancung” pentadiran universiti seperti yang pernah berlaku pada zaman pra-AUKU. Bagi aku adalah menjadi kesalahan jika kita mahu sekolompok mahasiswa berganjak dari fasa pasif (tak ambil peduli) terus menjadi mahasiswa lantang dan melawan.
Semua ini memerlukan masa dan kerja-kerja pada “peringkat bawah dan kecil” perlu diperkemaskan terlebih dahulu supaya ada basis untuk generasi yang seterusnya.”
Berpelukan, bercumbu mahupun beronani dengan sejarah memang tidak akan pernah salah. Namun sudut kecil yang di ambil dalam tulisan tersebut bahawa permainan bermain dengan sejarah ini sering membuat ramai mahasiswa terperangkap dalam budaya ‘copy paste’ sejarah. Inginkan ‘roadshow’, ‘memancung’ pentadbiran universiti seperti sejarah lapuk zaman dahulu kala, lalu meninggalkan kawan-kawan, dan kerja-kerja akar umbi diperingkat bawah, hanyalah satu penilaian lapisan dasar. Sedangkan, kita maklum dalam kalangan rakan mahasiswa, aktivis, NGO yang sedar betapa pentingnya gerakan akar umbi dan merekrut wajah-wajah baru untuk bersama meneruskan kepercayaan dan terus bergerak seiringan.
REALITI SEMASA DAN SEJARAH BERPISAH TIADA
Ramai mahasiswa yang lahir dari tembok kuliah empat penjuru, termasuk aku. Ada yang tak kisah, tak peduli atau tidak tahu seperti apa ‘AUKU’ itu. Sejenis kuih? Atau permainan baru selepas DOTA menjadi bosan? Bukan salah mereka dan bukan juga salah kita. Memang tahun-tahun bersejarah itu, barangkali kita masih ragu mahu menjawab pada Tuhan, yang sebenarnya, kita ingin lahir ke dunia!
Mencicipi sejarah mahasiswa yang terpinggir ini, hanya membawa satu kepercayaan pada diri sendiri, bahawa setiap dari kita ini harus bergerak, mempertahankan apa yang kita percaya. Kita bukan mahu ‘copy paste’, ‘memancung’ sini sana bagai pendekar. Pasti, itu bukan kita.
Tapi dari ceramah ini, menemukan aku pada sesuatu yang lebih besar. Aku tidak melihat dengan mata kepala sendiri tentang penindasan yang berlaku kepada masyarakat sampai mahasiswa pada ketika itu memilih untuk memberontak, membangkang dan melawan. Yang mana aku percaya, bukan semua anak muda ketika itu terpikat untuk hidup dengan semangat seperti itu. Kerana hujah akal akan selalu memberi alasan rasional kepada diri kita sendiri untuk terus hidup dalam ruang selamat.
Ketika waktu senggang di kuliah, aku senang ke makmal komputer, memutar kembali
sejarah dan melihat video-video di Youtube sekitar tahun Reformasi. Yang membuat air mata, bukan kerana sosok yang diangkat pada ketika itu, bukan kerana semangat anak muda dan mahasiswa pada ketika itu. Bukan kerana kita mahu meniru dan bermimpi mahu menjadi seperti mereka. Tapi kerana, ada kemarahan membuak yang tidak terjawab.
Kenapa keadilan untuk rakyat itu sukar? Apa yang mendorong rakyat sanggup turun dan melawan FRU ketika itu? Semangat setiakawan tanpa mengira bangsa itu datangnya dari mana? Dan entah kenapa, hati aku memilih untuk naif mempercaya, bukan sosok tubuh yang diangkat, tapi sifat manusia itu sendirikan melawan. Apatah lagi melawan sesuatu ketidak adilan.
Dari kisah penceritaan ‘sejarah romantis’ ini, kita jadi tahu, bahawa sesuatu gerakan itu bukan ditubuhkan hanya untuk menurut. Dalam keadaan mahasiswa yang berpecah akibat terlalu bergantung pada parti politik ini, kita mengambil pengajaran bahawa mahasiswa itu harus berdiri di atas kakinya sendiri.
Kekejaman adalah kekejaman. Penindasan adalah penindasan. Ketidakadilan adalah ketidakadilan. Jati dirinya harus kuat. Aku fikir, dalam suara mahasiswa diperlekeh dan dipandang enteng, kitalah yang sebenar beronani dengan diri sendiri, memikirkan kalau perjalanan untuk keadilan boleh dicapai dengan hal-hal menggembirakan.
POTENSI MAHASISWA
Kita pasti boleh melakukan beribu-ribu gerakan jika mahasiwa tidak berpecah. Tapi sayang, lihat sahaja hari ini. Jangan pergi jauh. Tanggal 16 April saja. Silakan di kira. Berapa sahaja antara kawan-kawan mahasiswa yang bukan sahaja menyokong, tapi turut mendukung (menggerakkan bersama).Kita ini sedar, kita ini kecil, kawan. Semangat kita itu kadangnya naik dan kadangnya turun. Tak menentu seperti harga minyak di negara ini. Tapi kepercayaan dan jiwa kita itu besar.
Dan pada aku, sejarah yang diceritakan semula yang mula mengundang kepanasan di kampus-kampus, tidak boleh tidak, haru dilihat dari sudut yang jauh lebih baik dari romantisism. Bukan tidak pernah terlintas di gegendang telinga kita sebelum ini. Tapi entah kenapa hari ini rasa muak melihat perkataan romantisism sejarah, ahistorical, apolitical yang di tembak di dada mahasiswa seperti tidak boleh berhenti berlegar di fikiran.
Yang di akhirnya, hanya mampu di isi dengan bait sajak Gus Mus,?
Apalagi yang bisa kita lakukan
bila pernyataan lepas dari kenyataan
janji lepas dari bukti
hukum lepas dari keadilan
kebijakan lepas dari kebijaksanaan
kekuasaan lepas dari koreksi?
Apalagi
yang bisa kita lakukan
bila kata kehilangan makna
kehidupan kehilangan sukma
manusia kehilangan kemanusiaanya
agama kehilangan Tuhannya?
Atau sememangnya benar, seperti puisi Rendra, bahawa kita ini adalah angkatan gagap, yang diperanakkan oleh angkatan takabur? Kita adalah gagasan mahasiswa yang sudah tidak mempercayai diri mereka sendiri.
Atau kita lupa pesan Tagore,
‘hidup adalah memberontak,,,maut adalah perkelahian terachir dari kemerdekaan,,,Dalam masyarakat kita, di mana semangat pemberontakan ini, yang juga merupakan semangat hidup dikekang,,, disanalah kata lebih suci dari roh, dan adat menjadi lebih suci daripada pikiran’
Disklaimer:
Ini adalah tulisan pandang secara individu.Ada beberapa perkara tidak aku catatkan secara menyeluruh di sini. Apa-pun, terima kasih atas sudut pandang rakan mahasiswa yang lain. Aku pasti, kritikan dan pandangan hanya menghasilkan kita yang lebih baik di masa hadapan.