ISU LATIHAN INDUSTRI: SALAH SIAPA ATAU SIAPA TERKESAN, MANA LEBIH PENTING?
1. Pada 7 May 2019, hangat diperkatakan mengenai isu pembayaran RM 50.00 bagi pelajar yang lewat mendaftar bagi latihan industri semester hadapan. Tarikh pendaftaran yang ditetapkan pula hanya seminggu, iaitu pada 29 April 2019 hingga 5 May 2019. Isu yang timbul adalah majoriti pelajar, atau sebilangan besar pelajar UKM Tahun 3 tidak mengetahui kependekkan tarikh pendaftaran tersebut yang menyebabkan ramai terlepas tarikh pendaftaran dan terpaksa membayar sebanyak RM 50.00.
2. Namun begitu, tempoh penjelasan denda tersebut pula menjadi persoalan, bahawa adakah ini merupakan satu agenda memeras para pelajar dengan jalan yang singkat. Ini kerana tempoh penjelasan denda tersebut bermula dari tarikh tutup pendaftaran tersebut sehingga 1 Julai 2019. Dalam hal ini, langkah-langkah menghulurkan laluan alternatif dan bersikap membantu langsung tidak diamalkan oleh pentadbiran UKM, sebaliknya menggunakan kaedah menghukum sebagai jalan singkat menjana pendapatan dengan segera. Bukankah lebih baik sekiranya tempoh pendaftaran itu dipanjangkan berbanding tempoh melunaskan bayaran denda? Jelas sekali bahawa ini merupakan sebuah lagi kaedah universiti untuk menjana pendapatan. Adakah universiti tempat kita diasuh dan disemai dengan sikap saling membantu, meringankan bantuan; pendek kata menjamin pembentukan peribadi yang elit dan baik, atau universiti menjadi seolah-olah sebuah lagi ‘GLC’ bagi meraih keuntungan dan mengambil pendekatan yang ‘economic-centric’ waima terhadap para pelajar sekalipun?
3. Kami juga mendapat maklumat bahawa pihak BPA masih berkeras untuk meneruskan langkah mereka memeras para pelajar supaya membayar RM 50.00 tersebut, setakat 18 May 2019. Berbanding dengan lewat pendaftaran peperiksaan misalnya, jumlah yang dikenakan hanya sebanyak RM 15.00. Apakah rasionalnya bayaran denda yang perlu dilunaskan sehingga RM 50.00? Pentadbiran UKM dilihat seolah-olah langsung tidak bertimbang rasa dan sangat tidak mesra pelajar apabila sewenang-wenangnya menggali ‘poket’ pelajar untuk agenda kapitalis tersebut. Apakah kita semua tidak biasa mendengari kemandirian bagi pelajar di akhir semester bagaimana? RM 50.00 merupakan nilai yang terlalu besar bagi seorang pelajar di hujung semester dan pemerasan wang tersebut merupakan satu tindakan yang terdesak oleh pihak pentadbiran seolah-olah kerana ingin memenuhi agenda kementerian yang lalu, iaitu menjana pendapatan sendiri sehingga 30 peratus. Namun, kaedah ini sangatlah tidak berperikemanusiaan dan langsung tidak mencerminkan etika dan imej UKM sebagai sebuah universiti yang mendahului di peringkat nasional.
4. Andaian yang dapat dibuat adalah pembayaran denda sehingga RM 50.00 ini sebenarnya hanyalah jalan singkat untuk menjana pendapatan alternatif. Bayangkan sekiranya 1000 orang pelajar masih lagi tidak melunaskan pembayaran denda tersebut, maka dijangkakan bahawa UKM akan menerima sehingga kira-kira RM 50,000, ‘buta-buta’ sahaja tanpa perlu melakukan urus niaga atau berhempas pulas, cukup dengan menunjukkan autoriti dan pelaksanaan peraturan, para pelajar diperas sewenang-wenangnya.
5. Pihak pentadbiran UKM juga perlu memikirkan bahawa tidak semua pelajar UKM hadir daripada keluarga yang senang. UKM mempunyai pelbagai pelajar yang datang dari pelbagai latar belakang. Persoalan yang perlu ditujukan adalah pelajar tahun 3 perlu mandiri untuk kehidupan selepas peperiksaan, iaitu latihan industri, yang berdepan dengan dua persoalan yang menggamit renungan hidup sebentar, samada mendapat bayaran elaun (kebiasaannya kurang dan sekadar cukup makan sahaja) atau tidak dapat langsung? Dalam hal ini, ‘rampasan’ sewenang-wenangnya RM 50.00 bermakna merencatkan lagi kehidupan pelajar di waktu mereka sedang menjalani Latihan Industri tersebut. Apakah pihak pentadbiran ada memikirkan perkara ini dengan mengambil kira para pelajar sebagai pemegang taruh yang tulen dan sebenar?
6. Jika begini kaedahnya menjana pendapatan alternatif, bukan begini caranya kerana jelas dan terang-terangan ia membuatkan para pelajar terbeban dan merasakan bahawa ini satu penindasan. Apabila majoriti melalui satu pengalaman dan merasai ketidak adilan yang sama, rumusnya adalah sistem itu yang harus dipersalahkan, bukannya pada perasaan dan fikiran majoriti tersebut. Maknanya dalam hal ini, kami sebulat suara menyalahkan pihak pentadbiran yang sengaja memendekkan tarikh pendaftaran dan sengaja tidak memaklumkan jumlah denda adalah sebanyak RM 50.00 semata-mata untuk mengaut keuntungan. Dalam hal ini, majoriti telah dianiaya oleh sistem yang dilaksanakan secara sengaja untuk menindas.
6. Segala persoalan dan kritikan yang dilakukan diharap dapat diambil maklum oleh pihak pentadbiran untuk melalui kaedah penyelesaian ‘menang-menang’. Tiada guna autonomi universiti dari sudut kewangan jika beginilah penindasan yang dialami para pelajar. Sekiranya perkara ini berpanjangan, kami terpaksa dengan ‘full forces’ melibatkan segala pihak, baik Kementerian Pendidikan, media, akhbar, dan sebagainya untuk memberi tekanan supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan cekap dan segera. Kami juga tidak teragak-agak untuk menggerakkan mahasiswa sekiranya pentadbiran masih lagi tidak mengendahkan desakan para pelajar yang mengeluh berdasarkan realiti, bukannya statistik.
7. Andai landasan birokrasi yang wujud di kampus ini hanyalah terjemahan seni ‘passing batton’, atau dalam erti kata lain menolak tugas/tanggungjawab sehingga mahasiswa ditolak ke sini dan ke sana, maka pihak pentadbir bertanyalah kepada diri, berdirinya tuan/puan pada kedudukan yang sekarang ini, adakah untuk memuaskan kehendak pihak atasan, autoriti atau objektif yang ‘entah apa-apa’, atau memegang iltizam untuk melaksanakan amanat rakyat, menjaga kebajikan mahasiswa demi memastikan pembangunan negara dijamin. Jika memeras pelajar merupakan panduan tugasan pihak pentadbir, maka bolehlah kita nilai sendiri sejauhmana sebenarnya kualiti pemikiran dan tindakan pentadbiran UKM tersebut.
#KamiRepublican
#RepublicMahasiswa
#HentikanPenindasanPadaMahasiswa