Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (2015) dedahkan satu daripada tiga orang dewasa berumur 16 tahun ke atas di Malaysia berdepan dengan masalah kesihatan mental. Menurut Persatuan Psikiatri Malaysia, jumlah sebenar pesakit jauh lebih tinggi daripada angka sebenar kerana kebanyakan kes tak dilaporkan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental didefinisikan sebagai “keadaan kesejahteraan di mana individu menyedari tentang keupayaan diri, berupaya untuk mengawal tekanan normal kehidupan, mampu bekerja secara produktif dan dapat memberikan sumbangan yang signifikan kepada komuniti”.
Mahasiswa merupakan aset terpenting dalam pembangunan negara bangsa. Kesihatan mental yang baik dalam kalangan mahasiswa adalah asas kepada pemikiran, pembelajaran, komunikasi, daya tahan dan keyakinan diri yang positif. Tahap kesihatan mental yang rendah akan bawa peningkatan yang ketara dalam kadar kes bunuh diri dan bilangan pesakit mental. Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar khususnya mahasiswa seringkali dikaitkan dengan faktor sosio-demografi, psikososial dan faktor kesihatan.
Stres yang tak dapat diatasi dengan baik, akan bawa kepada situasi yang lebih serius seperti kemurungan. Perkara ini sekaligus akan menjejaskan prestasi akademik mahasiswa, hubungan sosial bersama rakan-rakan, ahli keluarga, dan para pensyarah di universiti. Kalau anda perasan, kempen tentang kesihatan mental semakin mendapat sambutan sejak akhir-akhir ini.
Ada beberapa hal yang boleh dilakukan oleh mahasiswa
Seperti yang kita dapat lihat, kesihatan mental merupakan isu global yang dah masuk tahap mendesak yang akan beri kesan kepada individu dari semua peringkat umur, termasuk mahasiswa.
Mengiktiraf kepentingan menangani masalah kesihatan mental penting bagi aktivis mahasiswa mainkan peranan penting dalam promosikan kesedaran kesihatan mental di Malaysia. Kami cuba bincangkan peranan penting aktivisme mahasiswa dalam meningkatkan kesedaran masyarakat, memperjuangkan perubahan, dan menghapuskan stigma terhadap isu kesihatan mental.
Secara tak langsung, kita dapat lihat aktivis mahasiswa telah mainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran tentang isu kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat secara umum.
Semua ini dapat dilakukan melalui kempen, bengkel, dan aktiviti berkaitan perbincangan yang kurang diberi perhatian oleh masyarakat dan mempromosikan pemahaman yang lebih baik tentang kesihatan mental. Dengan menganjurkan ceramah dan perbincangan kritikal, aktivis mahasiswa mencipta ruang selamat bagi individu untuk berkongsi pengalaman mereka, mengurangkan stigma berkaitan cabaran kesihatan mental.
Stigma masih jadi penghalang yang besar dalam mencari bantuan untuk masalah kesihatan mental. Aktivis mahasiswa perlu bekerja tanpa henti untuk menentang stigma berkaitan masalah kesihatan mental dan cipta persekitaran sokongan bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental.
Dengan sesi perkongsian, menganjurkan kempen kesedaran, dan terlibat dalam perbincangan terbuka, mahasiswa berusaha untuk jadikan perbincangan tentang kesihatan mental sebagai perkara yang normal. Usaha ini bertujuan untuk meruntuhkan penghalang dan menggalakkan individu untuk mencari sokongan tanpa rasa takut atau diskriminasi.
Selain daripada cuba membunuh stigma, Aktivis mahasiswa yang berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan dasar kesihatan mental perlu cuba mempengaruhi dasar-dasar yang ada berkaitan isu kesihatan mental ini. Mahasiswa perlu secara aktif berinteraksi dengan institusi pendidikan, badan-badan kerajaan, dan pembuat dasar untuk menangani limitasi dalam sistem sokongan kesihatan mental.
Dengan mencipta petisyen, mendesak untuk peningkatan dana, dan bekerjasama dengan organisasi kesihatan mental – aktivis mahasiswa mampu mendorong perkhidmatan kesihatan mental yang komprehensif dan dasar-dasar yang beri keutamaan kepada kesejahteraan mahasiswa secara keseluruhannya.
Aktivisme mahasiswa turut mainkan peranan penting dalam mencipta komuniti sokongan yang mana individu boleh dapatkan pemahaman dan empati. Melalui penubuhan kelab kesihatan mental, kumpulan sokongan, dan talian bantuan, aktivis mahasiswa secara tak langsung berjaya menyediakan platform bagi mahasiswa yang menghadapi masalah kesihatan mental untuk berhubung. Inisiatif-inisiatif ini membantu mewujudkan rasa keterikatan dan mengurangkan rasa kesepian yang kerap dialami oleh individu yang menghadapi cabaran kesihatan mental.
Akhir sekali, pada zaman digital, aktivis mahasiswa perlu manfaatkan kekuatan teknologi untuk capai khalayak yang lebih luas dan promosikan kesedaran kesihatan mental. Platform media sosial, blog, dan forum dalam talian telah akan jadi alat penting untuk berkongsi maklumat, sumber, dan cerita peribadi. Mahasiswa perlu gunakan platform-platform ini untuk mendidik, memberi inspirasi, dan memobilisasi rakan sebaya mereka.
Jangan pernah ambil mudah soal kesihatan mental
Kesihatan mental bukanlah isu yang boleh diambil ringan, lebih-lebih lagi kita tahu betapa besarnya impak pandemik terhadap kesihatan mental para mahasiswa. Selain daripada tekanan pembelajaran, mahasiswa juga menghadapi tekanan kerana perlu mencari kerja, di samping ada di antara mahasiswa yang telah kehilangan ibu bapa kerana Covid-19. Disebabkan hal ini, mahasiswa perlu lebih serius dalam memperjuangan isu ini, kerana ia telah menjadi masalah yang besar.