Masyarakat melayu merupakan masyarakat yang mementingkan perilaku dan perihal kesopanan hatta hal ini termaktub dalam rukun Negara kita. Masyarakat melayu juga penuh dengan toleransi. Namun disisi yang lain masyarakat kita adalah masyarakat yang suka menyimpan dan pendam. İanya tidak akan padam dan juga tidak akan dizahirkan. Pada awalnya saya merasakan ini adalah psikologi rakyat asia tenggara namun hipotesis saya ini meleset apabila saya membaca sejarah indonesia dan juga pengalaman saya berteman dengan teman-teman asia tenggara yang lain seperti Thailand misalnya.
Pemikiran dan perasaan ini yang saya rasakan ini adalah psikologi masyarakat melayu Malaysia. Dahulunya saya merasakan ia adalah faktor pejajahan yang membuat masyarakat melayu ini bungkam pemikirannya dan tidak berani menghasilkan idea-idea baru atau takut dengan idea-idea yang berlainan dengan mereka. Namun salah satu sisi bacaan yang saya temui adalah apabila saya meneliti bacaan sejarah Hang Tuah terutamanya kenapa watak dan sikap perlawanan itu muncul dalam bentuk induvidu bukannya dalam bentuk masyarakat. Apakah yang menyebabkan masyarakat ketika itu begitu pasif sekali apabila berhadapan dengan kuasa domestik ataupun raja dan sultan?
Persoalan saya ini sampai kepada penemuan saya terhadap sejarah monggol itu apabila mereka mengatakan sultan itu sangat sakral dan wakil tuhan yang memerintah bumi. Ada yang mengatakan bahawa islam ketika itu menerima konsep ini dan dijelmakan dalam institusi kesultanan islam bahawa Sultan adalah wakil Allah (Khalifah) yang memerintah bumi ini. Maka muncul juga kata-kata yang mengagungkan sultan seperti Zil-lullah Fi-l Ard misalnya.
İni yang menjadikan bahawa kuasa sultan itu datangnya dari langit. Konsep ini dibawa dan dijelmakan juga setelah kedatangan islam di tanah melayu bahkan sebelum kedatangan islam di tanah jawa juga sudah bertapaknya pemikiran ini dibawah kerajaan majapahit misalnya. Jadi pemikiran melawan kuasa raja bermakna melawan kuasa sultan adalah logika yang dipakai ketika itu. İni disebut oleh Syed Husin Ali di dalam bukunya Sejarah Rakyat Malaysia di bab awal dan di dalam videonya,
https://www.youtube.com/watch?v=u-68ebCULuI sebagai Feudal Mentality atau Mentaliti Feaudal
Salah satu video Syed Husin Ali
Kedatangan islam, kemasukan pejajah dan institusi pemerintahan feudal. Antara alat yang digunakan oleh kuasa dan agama luar datang ke tanah melayu dan asia tenggara adalah melalui institusi raja dan sultan. Jika kita imbas kembali bagaimana kedatangan islam dipermudahkan adalah kerana rajanya memeluk islam lalu agama islam disebar luaskan melalui raja ini. Rakyat yang tidak berani mempersoal dan tunduk pasti akan menerima sahaja apa sahaja yang raja lakukan kerana sudah pasti raja itu datangnya dari tuhan. Tidak banyak penentangan berlaku ketika itu. Kedatangan penjajahan juga dipermudahkan melalui sultan dan masyarakat yang feudal. Contoh terbaik yang boleh diambil adalah peristiwa tok janggut digantung bukan kerana british sahaja namun kerana sultan ketika itu merasakan bahawa kuasanya terancam setelah tok janggut mempunyai pengikut yang ramai dan bakal menggugat takhtanya. Akhirnya beliau bersetuju dengan pihak British untuk menangkap tok janggut.
Persoalan yang paling penting adalah setelah digantung tok janggut itu apakah yang masrakat lakukan terhadap raja dan penjajah ini? Kenapa masyarakat begitu pasif sekali? Tidak seperti di indonesia yang kemerdekaannya diperoleh dengan darah? namun kemerdekaan di negara kita diperoleh dengan diplomasi namun masyarakat ketika itu hanya mampu bersorak-sorak tanpa memikirkan beramai-ramai ke manakan arah tuju selepas kemerdekaan tersebut? İni kerana masyarakat kita telah pun pasif akalnya sejak awal lagi menyerahkan hal ini kepada kuasa pemerintah dan hanya tahu memikirkan makan apakah aku hari esok. Jika pemerintah tersebut melaungkan melayu maka masyarakat kita akan melayu sepakat, jika rahmatan lil alamin makan kita pun menjadi rahmatan lil alamin tanpa kita persoalkan dan mengancam segala propaganda-propaganda ini? Tidak pelik juga masyarakat kita telah menyerahkan akalnya ke golongan kelas atasan seperti dr mahathir, jemaah-jemaah, Pak lebai dan juga pemerintah untuk dicucuk ke sana kemari kerana kita ada sisi sosio-historisnya dari mana datangnya psikologi melayu Malaysia ini (Psikik Melayu bak kata Hishamuddin Rais.)
Melayu dan pasca kemerdekaan: Kemasukan kaum india dan cina ke tanah Melayu ini membuatkan orang melayu terkejut kerana dasar pecah dan perintah di Tanah Melayu ini membuatkan masyarakatnya terasing dan terpisah-pisah demografinya. Pasca merdeka telah mempertembungkan mereka secara terbuka. Budaya kaum cina dan india juga yang kerap mempersoal perkara membuatkan orang melayu ini terkejut juga sebenarnya. sistem berparlimen juga membuatkan orang melayu yang tidak terdedah dengan wacana kuasa dan sistem semak imbang merasa terkejut kerana sebelum ini mereka telah menyerahkan bulat-bulan kekuasaan itu kepada raja dan sultan.
Budaya agree to disagree juga tidak dilazimi di dalam masyarakat kita pra penjajahan menbuatkan kita terkejut. Pembungkaman pemikiran ini dipersusahkan lagi dengan adanya Gerakan Hartal dan Darurat 1948 (Rebrand: Akta Hasutan 1948). Pasif ini bergerak dari sini kepada titik-titik sejarah yang kita lalui pasca merdeka. Kita terkejut dengan adanya golongan LGBT, kelantangan dong zong dan Hindraf maka muncul lah golongan reaksonaris melayu seperti İSMA yang mengambil jalan lantang juga.
Pendemokrasian Malaysia dan budaya pendam: terkejutnya kita terhadap isu perkauman yang timbul bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan ini adalah kerana bukan kerana di era kerajaan lama tidak ada isu perkauman namun kerana kerajaan lama menakut-nakutkan (culture of fear) orang melayu namun ketakutan ini hanya dizahirkan dan dipendam di dalam majlis-majlis rewang orang melayu, sembang kedai kopi dan melepak. Orang cina juga mengalir kerisauan mereka di kedai-kedai bak-ku teh, restoran cina dan majlis sambutan tahun baru cina misalnya. Orang india juga ada dilema mereka tersendiri yang mereka rasakan.
Faktor media sosial yang terbuka luas juga adalah faktor penting membuka segala apa yang dipendam di meja-meja rewang tadi untuk diwacanakan dan sosial saintist harus memainkan peranan mereka di fasa ini memimpin wacana dan analisa ini. Jangan biarkan ahli politik mengambil alih tugas suci kita ini. Wacana terbuka ini terlalu baru dan kita harus belajar menanganinya secara strategis dan bijak bukannya membungkamkan wacana pembentukan negara bangsa malaysia ini dengan arahan-arahan lagi namun harus dikawal agar tiada keganasan berlaku dan wacana ini mengalir terus dengan adab-adab berwacana sehingga dapat diresolusikan.
Hazwan Shukor. Turki