Review buku: The Autobiography of  Malcom X ( as told by Alex Haley )

Oleh : Hazmi Irsyad

Nama Malcom X tidak asing lagi bagi mereka yang terlibat dalam aktivisma hak kesemarataan kaum dan sivil. Seorang yang memiliki persona yang menarik, bijak dan petah berkata-kata. Namun beliau telah meninggalkan dunia ini tanpa dapat melihat betapa besarnya pengaruh beliau bukan sahaja dalam soal hak kesamarataan kaum di Amerika bahkan ke seluruh pelusuk dunia.

 

Buku ini menceritakan tentang bagaimana kehidupan Malcom yang penuh dengan dugaan dan tragedi. Bagaimana hidup di zaman 40an dan 50an Amerika yang masih menindas golongan kulit hitam Amerika walaupun sudah berates tahun sejak Abraham Lincoln mengisytiharkan kebebasaan kepada seluruh hamba di Amerika.

 

Kisah hidup Malcom X ini bermula dengan kegelapan moraliti. Malcom X dianggap sebagai budak yang pintar tetapi malangnya beliau berkulit hitam. Cita – citanya untuk menjadi peguam  dihina oleh gurunya kerana ia tidak realistik bagi “kaumnya”( orang berkulit hitam afrika amerika ). Mereka hanya layak untuk bekerja sebagai orang suruhan ataupun pekerjaan kasar yang memerlukan tenaga yang kuat. Itulah realiti awal hidup Malcom dan budak – budak sebangsa dengannya. Kita sangat digesa untuk bercita – cita sehingga mencapai bintang. Tetapi bagi Malcom; cita – cita pun tiada apatah lagi mahu dinampak bintangnya.

 

Perjalanan hidupnya menuju ke arah lembah kejahatan. Tidak dapat menghabsikan pengajiannya membuatkan Malcom bergaul dengan orang – orang yang terlibat dalam dunia jenayah. Kita tidak boleh salahkan mereka yang hidup dalam situasi yang kita tidak tahu gambaran sebenarnya. Itulah kesan kepada masyarakat jika tidak mendapat tempat dalam pendidikan. Apabila mereka dicurangi pendidikan, kehidupan jenayah pula dikahwininya.

Sebutkan semua perkara yang jahat, semua Malcom pernah lakukan. Daripada terjebak dalam dunia pelacuran ke dunia perjudian, semua dilakukannya. Bagaimanapun,hidupnya berubah setelah beliau memasuki penjara.

 

Hidupnya benar – benar berubah apabila beliau telah memeluk agama Islam di dalam penjara melalui abangnya. Dengan kehidupan yang baru, Malcom berubah daripada menjadi seorang gangster jalanan kepada seorang penuntut kebenaran. Terdapat dua perkara yang menjadikan Malcom seperti Malcom yang kita ketahui sekarang, iaitu ilmu dan membaca. Ilmu telah mengeluarkannya dari kegelapan penjara kepada cahaya intelektual. Beliau akan menghabiskan harinya dengan buku. Kalau di waktu siangnya diluangkan dengan membaca di perpustakaan, waktu malamnya dihabiskan dengan membaca di selnya. Beliau akan cari cahaya walaupun sedikit untuk menerangi bacaannya dalam kegelapan bilik selnya.

Setelah beliau keluar penjara, Beliau telah menyertai Nation of Islam yang dinaungi oleh Elijah Mohammad. Sepanjang penglibatannya dengan organisasi ini, Malcom telah menjadi tokoh dan figura yang menyampaikan ajaran dan doktrin organisasi ini. Malcom sangat taat dan setia kepada Elijah Mohamad sehiggakan pada setiap ucapannya  dimulakan dengan memuji ketua organisasinya. Malcom X umpama permata kepada Nation of  Islam. Beliau sentiasa dijemput ke rancangan – rancanagan televisyen untuk berkongsi pandangannya.

 

Sewaktu Martin Luther King memperjuangkan Integrasi kaum, Malcom di bawah Nation of  Islam memperjuangkan perpisahan antara kaum. Nation of  Islam mahukan orang kulit putih dan orang kulit hitam dipisahkan. Dan mereka juga percaya bahawa segala kejahatan yang ada di dunia ini berasal dari orang kulit putih. Ada beberapa ajaran Nation of  Islam yang sebenarnya langsung tidak mengikuti ajaran Islam seperti menaganggap Elijah Mohammad  adalah nabi. Tetapi seperti jalan hidupnya yang terdahulu, Malcom akhirnya berjaya untuk keluar dari kesesatan ajaran Elijah Mohamad kepada ajaran Islam yang sebenar.

 

Semua ini berubah apabila Malcom pergi menunaikan haji di Mekah. Malcom yang sebelum ini memperjuangkan perpisahan kaum, terpegun melihat semua bangsa tidak kira kulit beribadah bersama – sama di Tanah suci Islam. Tiada diksriminasi yang berlaku, orang kulit putih yang beliau anggap sebagai “devil” sewaktu itu turut bersama – sama menunaikan haji dengan beliau. Waktu inilah sudut pandang Malcom berubah. Ajaran Islam yang benar telah memberi kesan mendalam kepada pendekatan hidup Malcom beragama dan soal aktivismanya.

 

Dengan sudut pandang yang baru dan fahaman Islam yang benar, Malcom terus keluar dari Nation of  Islam dan bersama – sama dengan Martin Luther King memperjuangkan hak sivil masyarakat kulit hitam dan menuntut integrasi antara kaum. Malcom juga sempat untuk bertemu tokoh pemimpin dari beberapa negara bagi memperluaskan pengaruh pemikirannya. Walaupun sentiasa mendapat ugutan bunuh yang banyak, beliau tetap bersemangat atas jalan perjuangannya. Beliau tetap teguh dengan prinsip sehingga akhirya dibunuh atas pentas pidato atas jalan yang dicintai dan diperjuangkannya

 

Walaupun perjalanan hidupnya singkat dan penuh dengan tragedi, Legasi Malcom terus hidup dan sehingga sekarang perjuangannya telah meninggalkan kesan kepada ramai pejuang keadilan. Kisah Malcom mengajar kita tidak penting bagaimana pertengahan hidup kita, yang penting bagaimana ia berkahir. Malcom juga telah mengajar kita hanya satu sahaja perkara yang dapat menyelamatkan kita dari kejahatan; iaitu ilmu.

 

Malcom x; hidupnya sebentar tetapi legasinya terus mekar.

Leave a Reply