Pada hari ini dalam tahun 1974, lebih 1,000 orang mahasiswa universiti-universiti tempatan telah ditahan oleh polis kerana melibatkan diri dalam sebuah demonstrasi di ibu kota Kuala Lumpur yang mereka lakukan sebagai tanda solidariti bersama perjuangan kaum petani di Baling, Kedah.
Pada 3 Disember 1974, jam 9.45 pagi, antara 3,000 hingga 4,000 orang mahasiswa dari berbagai institusi pengajian tinggi tanahair (UM, IKM, ITM, iTK dan UPM) mula berhimpun di Padang Kelab Selangor (Dataran Merdeka) dengan membawa sepanduk-sepanduk yang menyuarakan tuntutan mereka. Demonstrasi mahasiswa ini bertujuan untuk mendedahkah masalah kemiskinan luar bandar, harga barang yang melambung, inflasi, kejatuhan harga getah dan sebagai penerusan kepada “Perarakan Kelaparan” oleh petani-petani miskin di pekan-pekan Baling, Sik, Selama dan Changloon di Kedah pada bulan November 1974.
Perhimpunan mahasiswa tersebut telah disuraikan oleh FRU dengan tembakan gas pemedih mata. Mahasiswa telah melarikan diri ke Masjid Negara tetapi FRU terus mengejar mereka. FRU telah mengepung 8,000 mahasiswa yang sedang berlindung di Masjid serta melepaskan tembakan-tembakan gas pemedih mata ke arah mereka. Pihak polis dan FRU telah menangkap seramai 1,128 orang pelajar, termasuk 80 orang mahasiswa wanita dan membawa mereka ke balai-balai polis Sentul, Brickfields dan Jalan Bandar. Kesemua mahasiswa yang ditahan telah dihadapkan ke Mahkamah pada keesokan harinya.
Beberapa hari kemudian, pihak polis telah melancarkan operasi penangkapan pemimpin-pemimpin pelajar, pensyarah-pensyarah dan pemimpin-pemimpin anak muda yang disyaki terlibat dalam demonstrasi tersebut.
Sumber gambar: Suratkhabar Berita Harian 4 dan 5 Disember 1974