Isu Elaun Mahasiswa dan Kebolehpasaran Mahasiswa dalam Latihan Industri.

1. Baru ini timbul isu yang hangat diperkatakan berkenaan pembayaran elaun mahasiswa semasa latihan industri yang diabaikan. Malah ia juga menjadi perhatian YB Menteri Belia dan Sukan yang turut menyatakan komitmen untuk membantu memperjuangkan isu ini. Satu tindakan yang tepat.

2. Setuju Nasib Mahasiswa yang menjalani latihan industri wajib dibela. Mereka menjalani praktikal tanpa dibayar gaji atau elaun, sedangkan mereka melakukan tugasan dan tanggungjawab yang sama sebagaimana pekerja lain. Mungkin mereka tidak direkrut untuk kepentingan yang lebih lama, namun keberadaan mereka adalah untuk bersama menjayakan keperluan akademik dan memastikan pengalaman bekerja dapat diperoleh sebelum melangkah ke alam pekerjaan kelak.

3. Dengan kadar kos sara hidup yang sama dirasai oleh mahasiswa yang terlibat dengan latihan industri. Melakukan kerja secara percuma tanpa elaun atau gaji bukanlah satu kebaikan buat mereka. Apatah lagi mereka yang terlibat dalam latihan industri di sektor kerajaan.

Bayangkan kos perbelanjaan yang perlu dikeluarkan semasa mereka menjalani latihan amali tersebut. Dengan yuran akademik yang perlu dijelaskan semasa sedang menjalani latihan industri, ditambah pula dengan penetapan masa latihan industri yang tidak sesuai seperti ketika cuti semester serta pinjaman atau biasiswa yang belum masuk ketika itu.

Maka penafian mereka terhadap bayaran elaun adalah suatu penganiayaan buat mereka. Malahan sangat tidak relevan untuk mereka dianggap sebagai memberikan sumbangan atas dasar semangat patriotisme semata-mata.

4. Mereka layak diberikan elaun sekurang-kurangnya mengikut kelayakan akademik semasa yang mereka ada. Misalnya jika mahasiswa itu menjalani latihan industri sebagai mahasiswa bagi melengkapkan pengajian mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda, sekurang2nya bayaran elaun harian hendaklah setaraf kelulusan Diploma/STPM atau STAM yang mereka ada. Setidak-tidaknya kadar atau amaun yang berpadanan dengan tempoh latihan mereka perlu dipertimbangkan.

5. Alasan bahawa kerja yang dilakukan oleh mahasiswa kita yang menjalani latihan industri ini sekadar bancuh kopi, dan fotostat dokumen adalah disebabkan oleh faktor kegagalan mahasiswa untuk menyesuaikan diri dan ketidakupayaan majikan dalam memberikan tugasan yang membina buat mereka.

Pemilihan tempat untuk melakukan latihan amali juga sepatutnya dipertimbangkan oleh mahasiswa sebelum membuat keputusan. Keserasian bidang dalam menyesuaikan diri dengan industri tempat latihan juga perlu diberikan perhatian. Misalnya bakal tempat praktikal nanti mementingkan penguasaan dalam aspek tertentu. Andainya kita lemah dalam jurusan berkenaan, maka menjadi keperluan besar untuk kita mengulangkaji dan membuat persediaan.

6. Saya menyokong KEADILAN buat mahasiswa yang berpraktikal untuk mendapatkan elaun harian sebagaimana pekeliling yang pernah dikeluarkan oleh JPA suatu ketika dulu. Nasib mereka perlu dibela apatah lagi mereka berhadapan dengan situasi sukar ekonomi yang meruncingkan. Inilah masa yang tepat untuk nasib anak muda dibela selepas kejayaan pindaan had umur mengundi.

Membujur lalu, melintang patah. Lawan tetap lawan.

Yang Benar,

Hanzalah Zullkeflee

#YouthPower
#GajiBermaruah
#NadiPerjuanganMahasiswa

Leave a Reply