Penggunaan alatan dan peranti canggih semakin hari semakin rancak. Material ini sudah pun menjadi keperluan bagi setiap umat manusia, bukan lagi dikategori sebagai elemen kehendak atau kemahuan semata. Segala informasi yang ingin diperolehi pada masa ini mampu dicapai menggunakan geseran dan sentuhan hujung jari. Waktu yang diambil untuk mencari informasi juga tidak memakan masa yang terlalu lama. Tidak seperti dahulu, untuk mendapatkan maklumat, kita perlu tidur beralaskan kitab-kitab yang menyajikan kata yang berinformasi.

Informasi yang diperoleh tidak semestinya mendatangkan manfaat sejagat, lebih-lebih lagi informasi itu memandu sesetengah kelompok kepada kelakuan tidak bermoral dan lebih parah bertentangan dengan perundangan di negara ini. Apa yang lebih menyedihkan, negara Malaysia tidak terkecuali dari negara yang mana rakyatnya sering terlibat dengan perlakuan tidak bermoral, salah satunya adalah penggunaan najis dadah dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia.

Penggunaan najis dadah dalam kalangan masyarakat sememangnya mendatangkan kepelbagaian reaksi daripada pelbagai pihak. Sedar akan dampak negatif yang dibawa oleh dadah, maka pelbagai usaha yang bersifat top-bottom dan bottom-up dilaksanakan sebagai langkah pencegahan. Selain kerajaan, pihak lain yang berasa bertanggungjawab seperti badan bukan kerajaan juga memainkan peranan untuk membanteras penggunaan dadah dalam kalangan masyarakat. Antara badan bukan kerajaan iaitu (NGO) yang aktif dalam membanteras penggunaan dadah adalah Kelab PEMADAM Universiti Malaysia Sabah.

Kelab PEMADAM (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia) Kebangsaan merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan sebagai orang kedua dalam memerangi dadah dalam kalangan mahasiswa. Kelab ini dibuka kepada semua pelajar  yang berminat dan mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap najis dadah. Kelab ini juga telah aktif di beberapa universiti terkemuka di Malaysia, antaranya Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Konsep HIDUP PENUH ERTI yang dibawa oleh PEMADAM Kebangsaan adalah untuk mendidik warga Malaysia bagi menjadi manusia yang bijaksana, amanah, jujur dan mengajar kebaikan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar UMS. Kelab PEMADAM UMS yang ditubuhkan pada tahun 2012 ini merupakan salah satu kelab yang aktif dan berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaysia Sabah.

International Drugs Convention for Youth, atau dikenali dengan nama lainnya, Inter-DC 4 Youth, merupakan program bertaraf antarabangsa yang julung kalinya dianjurkan oleh Kelab Pemadam UMS.  Program ini dijalankan penuh secara dalam talian selama 3 hari, bermula  dari 22 Mei 2021 sehingga 24 Mei 2021, menggunakan platform Facebook Live di laman Kelab PEMADAM UMS  sendiri dan webex meeting. Program bertaraf antarabangsa ini melibatkan beberapa negara dari ASEAN bertujuan untuk meningkatkan literasi dan kesedaran tentang keburukan dan akibat daripada penyalahgunaan dadah yang sering menjadi isu sosial dan kesihatan di seluruh dunia.

Melalui program ini juga, pelajar akan berpeluang untuk saling bertukar pendapat dan cara sesebuah negara mengatasi masalah penyalahgunaan dadah terutamanya dalam kalangan pelajar dan belia. Selama program dijalankan, terdapat beberapa slot menarik yang boleh peserta ikuti secara maya seperti forum, debat, pengucapan awam dan macam-macam lagi.

Program ini dibawa dalam kaedah yang tidak terlalu berat dengan pengisian ilmiah, tetapi santai, pastinya bermanfaat dan mempunyai beberapa matlamat yang ingin dikecapi. Yang pertama, adalah untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan belia terutamanya dalam kalangan mahasiswa serta mahasiswi sendiri. Selain itu, juga ingin memastikan masyarakat sedar akan kesamarataan taraf antara jantina yang sah yakni lelaki dan perempuan. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berkaitan kesihatan dan kesejahteraan hidup dalam kalangan masyarakat khususnya dalam kalangan mahasiswa dan anak muda.

Bagi menambahkan pengetahuan anda semua berkaitan program ini, boleh lawati facebook rasmi Kelab PEMADAM UMS. Disana anda akan mendapat kemaskini dari masa ke semasa berkaitan dengan segala program yang dijalankan oleh kelab/persatuan ini. Semoga bermanfaat dan bertemu di program International Drugs Convention 4 Youth pada 22 Mei hingga 24 Mei 2021 nanti!

 

Han Aisha,
PEMADAM (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia)

Leave a Reply