Hala Tuju SPM: Catatan Khas Untuk Pelajar dan Ibu Bapa Lepasan SPM
Apabila dapat keputusan, perkara pertama – ucaplah alhamdulillah, tahniah pada diri sendiri walau apapun rupa keputusan itu. Saya yakin, semua jenis keputusan, akan ada peluang sambung belajar dan kerjaya yang baik.
Teliti segala peluang peluang yang ada. Jangan tengok pada satu jalan sahaja.
Tentukan Hala Tuju Selepas SPM
Antara pilihan yang ada;
- Institut Pendidikan Guru
- Matrikulasi
- Asasi / Tamhidi/ Foundation/ Kursus Persediaan
- Diploma Universiti Awam / Swasta
- Diploma Politeknik Premier dan Politeknik Konvensional
- Kemahiran Awam / Swasta
- Kolej Komuniti
- Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia / Sijil Tinggi Agama Malaysia
- Institusi Pendidikan MARA
- Bekerja
Hadam setiap pilihan dan tengok yang paling sesuai dengan minat serta cita-cita.
Lihat juga: Tawaran Kemasukan Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2021
Bagi yang sedang pening memilih kursus di ipta (yang dikendalikan oleh BPKP), perlu tahu cara memilih kursus tersebut. Jangan sesekali bertanya, “dengan keputusan begini, apa kursus yang sesuai”.
Menampakkan kita tak kenal diri kita. Seolah-olah selama ini kita belajar tanpa fokus yang jelas.
Cara Memilih Kursus Pengajian
Apa yang sepatutnya dibuat ialah;
- Buka website upu atau upupocket.
- Semak merit di Kalkulator Merit. Markah merit sebagai panduan untuk menentukan pilihan.
- Semak syarat di e-panduan.
- Senaraikan semua kursus yang layak dan diminati, sesuai dengan cita-cita dan potensi serta bakat yang ada. (Pelajar dah jawab Inventori Minat Kerjaya semasa tingkatan 3. Sepatutnya ini boleh dijadikan panduan untuk merancang kerjaya sedari tingkatan 4.)
- Susun kursus ikut keutamaan.
- Bincanglah dengan Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah. Mereka pastinya sudi membantu.
Buka Minda Dalam Membuat Pilihan
Anak-anak (pelajar) yang dikasihi,
Jika anak- anak, dengan merit yang rendah, walaupun mempunyai jumlah A yang banyak, jangan risikokan dengan memilih kursus yang memerlukan merit yang tinggi.
Contohnya;
Saya dapat 5A – Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Matematik, dan Tasawur Islam (aliran sains), tetapi merit hanya 50 sahaja. Jangan risikokan memohon asasi (Asasi TESL sebab Bahasa Inggeris dapat A). Merit meletakkan anda di kedudukan bawah. Sampai giliran anda, asasi tersebut dah diisi oleh calon yang dapat merit yang tinggi.
Sekali lagi, bincanglah dengan hati yang terbuka dengan Guru Bimbingan dan Kaunseling anda.
Ramai orang yang tak pandang pada peluang ke STPM dan STAM (untuk aliran agama). Ambil STPM sebenarnya banyak kelebihan.
Dari segi kewangan, pasti lebih jimat. Peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah /sarjana muda lebih luas lagi berbanding asasi atau diploma. Masa pengajian pun 3 semester sahaja. Guru-guru juga sangat berpengalaman. Jika ingin tahu lebih lanjut, jumpalah Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah anda.
Kemahiran juga satu pilihan yang bijak terutama bagi anak-anak yang tak berapa rajin nak menghadap buku dan nota berjela. Pilihlah yang sesuai dengan jiwa anak-anak. Ada beratus kursus kemahiran di pelbagai peringkat yang ditawarkan sama ada secara percuma atau berbayar, sama ada di Institut Latihan Kemahiran Awam atau Institut Latihan Kemahiran Swasta.
Saya yakin Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah anak-anak boleh memberi pilihan institusi dan bidang kemahiran yang sesuai dengan anak-anak. Janganlah letak stigma bahawa yang belajar kemahiran ini golongan yang kurang pandai, kerana ramai yang belajar di institusi kemahiran ini yang kini jadi hartawan dan jutawan.
Begitu banyak pilihan yang ada, jangan disempitkan fikiran kita. Bukakan minda dalam membuat pilihan.
Lihat juga: Panduan Memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) 2021
Izinkan Anak Buat Pilihan Mereka, Rujuk Guru Bimbingan & Kaunseling
Buat ibu bapa,
Anak yang akan teruskan perjuangan hidup ini. Izinkan sekali ini, mereka membuat pilihan menentukan jalan hidup mereka. Apapun pilihan mereka, kita sokong. Tidak ada pilihan yang teruk selagi pilihan itu tidak menyalahi hukum Allah. Yakinlah rezeki Allah yang tentukan.
Anak-anak (pelajar) dan Ibu Bapa yang saya hormati,
Beberapa kali dalam tulisan ini, saya menyebut tentang Guru Bimbingan dan Kaunseling. Di sekolah, merekalah pakar yang boleh dijadikan rujukan dalam memilih hala tuju kerjaya selepas SPM ini. Mereka telah menghidupkan talian Tele Sokongan Kerjaya. Hubungilah mereka. Saya yakin, mereka sedia membantu.
Sebelum keputusan SPM diumumkan, mereka telah mula mengumpul maklumat terkini untuk dikongsi dengan anak-anak. Kini mereka bersedia dengan sepenuh hati untuk menolong anak-anak meneruskan perjuangan hidup. Cuba elak mendengar daripada pihak ketiga yang sebenarnya tidak mendalami ilmu hala tuju ini.
Buat Guru Bimbingan dan Kaunseling yang sangat saya kagumi,
Simpan sebentar lelah dalam senyum dan getar suara ramah yang akan membuat anak-anak gembira diberi suluh untuk harungi jalan yang lebih mencabar. Biar jasa kita tak disebut di mana-mana media, asal sahaja, nama kita terukir di pintu syurga Allah kerana matlamat kita adalah redha Allah. Biar berlelah seketika ini.
Terima kasih.
Puan Wan Shafiah binti Wan Ab Rahman,
Penolong Pengarah HEM (Kaunseling dan Kerjaya Murid),
Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.