Berpusu-pusu sekalian manusia keluar dari sebuah masjid di selatan tanah air itu. Sejurus mengaminkan bacaan doa sang imam yang bertugas membaca khutbah jumaat tadi.
Sekalian jemaah berasak-asak memakai selipar yang bersepah di atas tanah dan terus bergegas ke kenderaan masing-masing untuk meneruskan perjalanan. Mencari rezeki buat anak-anak. Baik yang tua mahupun muda, kedua-duanya sama. Pasti ada urusan yang mahu diselesaikan.
Namun ada satu hal yang kurang kita ambil sisi pandang. Hal ini kelihatan picisan dan remeh tetapi begitu memberi makna bagi sesiapa yang punyai jati diri. Hal ini menatijahkan sebuah refleksi murni bagi sesiapa yang punyai identiti diri. Hal ini yang memberi konotasi harmoni bagi sesiapa yang mengimani wacana negara bangsa secara alami.
Tetapi begitulah, siapa yang kisah mengenai hal ini.
Orang kita gemar untuk baca headline sahaja. Orang kita gemar untuk menghukum berbanding menesuluri satu persatu akar masalah. Orang kita bermudah-mudah dalam memberi memberi justifikasi tanpa memikirkan perasaan orang lain. Seolah-olah bibit-bibit keamanan tidak lagi akan muncul. Hidup di dalam nuansa prejudis setiap masa. Begitulah kebanyakan orang kita.
Soal tulisan JAWI, rehal di atas bangunan DBP, isu Dr Zakir Naik, akaun palsu menghina institusi raja dan banyak lagi. Isu ini hangat kerana jurubicaranya.
Seolah-olah mereka tahu semua perkara. Mengulas isu semacam lebih sudu dari kuahnya. Itulah naratif dan hakikat orang kita. Isu kaum dan agama seringkali menjadi mauduk pertentangan demi meraih dan memuaskan kepentingan diri dan duit poketnya. Kadang-kadang demi survival politicsnya. Bagaimana dengan perpaduan nasional kita?
Tetapi bukan itu hal yang mahu diceritakan dan diwacanakan. Hal itu besar kemungkinan tidak akan kita pedulikan sekalipun kerana ia hanyalah hal picisan yang tak pernah memberi sebarang keuntungan secara jasmani atau rohani.
Bagi mereka yang tidak punyai semangat perpaduan dalam diri. Kadang-kadang mereka hanya melaungkan sahaja, tetapi tidak ada apa apa.
Apakah hal yang dimaksudkan itu? Sekilas pasca menunaikan solat jumaat tadi. Cuba perhatikan.
Tiap kali umat Islam menunaikan solat jumaat, perhatikanlah betapa murninya insan yang menjaga parkir dan lalu lintas untuk mengawal keselematan. Walaupun berlainan bangsa.
Tiap kali umat Buddha punyai upacara di tokongnya, perhatikanlah betapa murninya insan yang menjaga trafik untuk mengawal keselematan orang ramai. Walaupun berlainan bangsa.
Tiap kali umat Hindu punyai acara di kuilnya, perhatikanlah betapa murninya insan yang menjaga parkir dari kesesakan yang tiada penghujungnya. Walaupun berlainan bangsa.
Hakikatnya begitulah dinamikanya Malaysia. Kepelbagaian adalah satu nikmat yang harus diurus dengan signifikan. Ia bukanlah tembok yang dibina untuk merasakan bahawa satu kelompok sahaja membawa kebaikan. Walaupun berbeza ras, bangsa dan agama sekalipun, kita berkongsi bumbung yang sama.
Tolaklah sifat perkauman yang merosak dalam diri baik Melayu, Cina dan India. Kewujudan kita di muka bumi adalah untuk saling kenal antara satu dengan yang lain.
Ini baru hal yang kecil. Banyak lagi hal yang jarang sekali kita perhalusi secara membumi akan pengajarannya sedangkan banyak sahaja berlaku di depan kita.
Kefahaman mengenai perpaduan, keharmonian dan keamanan haruslah menjadi keutamaan semua pihak dalam membentuk segenap lapisan masyarakat. Sejauh mana kita memaknai sebuah negara berbilang bangsa? Wacanakan idea ini dengan nuansa rasional yang tulen bukan emosi yang membungkam buta. Hayati nukilan sakti ini:
Raikan perbezaan,
Warna kulit juga kepercayaan,
Agama dan bahasa bukan alat perbahasan,
Jangan sengaja undang kemarahan,
Lihat parut pada wajah sang tua,
Berbaloikah kita membuka semula pintu derita,
Melepaskan kebencian dan huru-hara,
Mengorbankan nyawa yang tidak berdosa,
Usah dibiar marak api sengketa,
Kelak binasa seluruh tamadun,
Usah dibiar emosi berbicara,
Hilang segala sopan dan santun,
Ini tanah kita,
Bersama menjaga sejak dulu kala,
Budi dan jasa tidak dilupa,
Sampai saat menutup mata,
Luthfi Yusri & Syahirah Abd Malek. Penulis dan Pemuisi bersama. Masing-masing merupakan mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaya di Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Bahasa Linguistik. Luthfi merupakan Editor Nadi Mahasiswa Malaysia dan Syahirah merupakan antara penulis Zine Projek Ekspresi di UM.