Kenyataan Media
Menjunjung prinsip “rule of law”, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi dalam negara Malaysia dan menjadi kewajiban bagi setiap rakyat Malaysia untuk menjunjung dan menghormati Perlembagaan ini.
Mahasiswa Keadilan Malaysia hari ini ingin menyatakan bahawa seperti mana amanat pertama YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan akan berfungsi mengikut lunas undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan tidak akan sesekali melanggar prinsip tersebut.
Cadangan kerajaan Pakatan Harapan untuk melantik Tommy Thomas sebagai calon tunggal Peguam Negara adalah berlandaskan Perkara 145 (1) yang menyatakan YDPA harus melantik Peguam Negara, atas nasihat Perdana Menteri, yang mempunyai kelayakan untuk menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan. Malah, YDPA perlu menjalankan fungsinya mengikut nasihat Perdana Menteri [Perkara 40(1A)].
Selaku kerajaan yang berpegang teguh pada prinsip keluhuran undang-undang, setiap tindakan dan keputusan oleh kerajaan hari ini semestinya mengikut pada Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi yang wajib dipatuhi “the highest law of the land”.
Sentimen agama yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab juga tidak relevan kerana tiada satu pun Perkara dalam Perlembagaan yang mengatakan Peguam Negara haruslah dilantik daripada kalangan orang Islam dan Melayu. Keutamaan kerajaan Pakatan Harapan adalah memastikan Peguam Negara haruslah terdiri daripada individu yang bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik, seiring dengan agenda refomasi institusi demokrasi yang berfungsi untuk rakyat.
Isu manifesto Harapan berkenaan pelantikan Peguam Negara terdiri daripada Ahli Parlimen yang dikatakan tidak selari dengan keadaan kini perlulah dilihat dengan lebih terperinci. Kerajaan Pakatan Harapan sentiasa bekerja untuk rakyat dengan menjalankan segala perkara yang telah termaktub dalam manifesto Harapan.
Pelantikan Peguam Negara daripada kalangan Ahli Parlimen dibuat setelah pemisahan tanggungjawab Pendakwa Raya daripada bidang kuasa Peguam Negara. Ketika ini, tanggungjawab Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah selari dan inilah menimbulkan “conflict of interest” yang mana telah berlaku pada kerajaan terdahulu yang menyebabkan integriti dan neutraliti badan kehakiman dipersoalkan.
Pemisahan kuasa ini juga penting kerana berdasarkan manifesto Harapan, Peguam Negara terdiri daripada Ahli Parlimen dan Pendakwa Raya adalah mereka yang bebas daripada sebarang pengaruh dan ideologi politik bagi memastikan Pendakwa Raya dapat berfungsi dengan bebas untuk mendakwa Kerajaan mahupun Pembangkang.
Maka, mencadangkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara tidaklah berniat untuk melanggar janji yang telah termaktub kepada rakyat, tetapi bagi memastikan proses pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, yang melibatkan *pindaan dalam Perlembagaan, berjalan dengan lancar dan mengikut undang-undang.
Melantik Peguam Negara daripada kalangan ahli Parlimen kerajaan adalah bagi memastikan Peguam ini  hadir dalam setiap persidangan Parlimen. Dengan ini, integriti dan akauntabiliti sistem kehakiman negara dapat dijamin dengan adanya Peguam Negara yang berstatus Menteri.
Sistem ini bukanlah sesuatu yang baharu yang mana kini ia dipraktikkan beberapa negara luar seperti di United Kingdom. Di UK, Peguam Negara adalah Menteri Undang-undang yang mana berfungsi untuk menjawab segala hal berkaitan undang-undang di Parlimen dan tidak mempunyai kuasa dalam mendakwa mana-mana Ahli Parlimen dan Menteri selain daripada isu keselamatan negara bagi memastikan “conflict of interest” tidak berlaku.
Mahasiswa Keadilan Malaysia sentiasa memastikan kerajaan kini berfungsi dan bekerja dalam membina semula negara berdasarkan prinsip keluhuran undang-undang “rule of law” dan tidak akan pernah sesekali melangkaui batasan yang termaktub dalam Perlembagaan.
*pindaan tersebut meliputi Perkara 145(3), Seksyen 376(1) Kanun Acara Jenayah & Akta Tafsiran 1948 dan 1967
Haissazc Shuqkin Hisham
Mahasiswa Keadilan Malaysia

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply