KENYATAAN MEDIA MAHASISWA KEADILAN MALAYSIA (MKM)
ISU PRESIDEN UIAM: TAHNIAH MAHASISWA!
MKM ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada mahasiswa atas desakan yang telah dilakukan terhadap lantikan YB Menteri Dr Maszlee sebagai Presiden UIAM setelah Dr Maszlee dilaporkan bersetuju untuk meletakkan jawatan tersebut dan akan mencari pengganti beliau dalam masa terdekat.
Semestinya desakan ini yang dilabel oleh masyarakat luar dan netizen sebagai “biadap dan kurang ajar”wajar diberi perhatian kerana ini menunjukkan bahawa mahasiswa sudah tidak lagi berada dibawah jerat dan rantaian sang penguasa, malah lebih berani menentang mereka yang mencabuli prinsip autonomi universiti.
Persetujuan kabinet Menteri terhadap aksi mahasiswa bahawa lantikan ini akan memudaratkan dan mencabuli kebebasan universiti juga menunjukkan bahawa mahasiswa sentiasa akan memastikan universiti bukan lagi tempat untuk ahli politik menunjukkan kekuasaannya dengan mencengkam pentadbiran tertinggi universiti.
MKM ingin mengucapkan tahniah kepada front-front mahasiswa seperti GPA, PMIUM, Belia Harmoni yang menerajui desakan ini sehingga berjaya merobohkan ego sang penguasa daripada terus berkuasa di tampuk pentadbiran universiti.
Namun, MKM tetap ingin menegaskan bahawa calon pengganti Presiden UIAM yang baharu bukanlah mereka yang terdiri daripada pemain politik, sebaliknya mereka yang sememangnya tahu dan arif dalam hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan universiti dan mahasiswa secara keseluruhan.
Malah, MKM juga mahu memastikan pemilihan Presiden UIAM yang baharu nanti juga perlulah mendapat persetujuan daripada semua pihak; staf akademik dan bukan akademik serta para mahasiswa yang paling utama kerana presiden sesebuah universiti lah yang akan menentukan hala tuju dan kepentingan universiti ke arah yang lebih baik.
MKM juga berharap mereka yang telah pun ditauliahkan sebagai presiden di beberapa universiti awam seperti di UniSZA, UUM dan sebagainya untuk bermuhasabah diri dan lakukanlah apa yang sepatutnya dilakukan seperti mana YB Menteri telah lakukan.
Seperti mana nukilan sasterawan negara Usman Awang, “suatu bangsa tidak menjadi besar tanpa memiliki sifat kurang ajar”. Mahasiswa bersikap kurang ajar bukanlah kerana untuk menjadi kurang ajar, tetapi untuk ditujukan kepada kerajaan dan system yang kurang ajar dengan nilai kebebasan, keadilan dan kesaksamaan. Maju terus mahasiswa!
Haissazc Shuqkin Hisham
Timbalan Presiden
Mahasiswa Keadilan Malaysia
9/11/2018