Semalam, tercipta sejarah baru bagi politik Malaysia apabila buat kali pertama selepas 61 tahun, Barisan Nasional tumpas dan peralihan kuasa kepada Pakatan Harapan berjaya dilakukan mengikut lunas undang-undang yang termaktub dibawah Perlembagaan.
Maka, hari ini bermula hari pertama kerajaan Pakatan Harapan akan memulakan gerak kerja sebagai kerajaan persekutuan dan semestinya janji 100 hari pertama pentadbiran menjadi perhatian segenap rakyat Malaysia.
Pelbagai tawaran telah dihamparkan oleh kerajaan Pakatan Harapan khususnya dalam aspek kemahasiswaan bilamana janji ingin melupuskan AUKU menjadi satu perkara utama bagi setiap mahasiswa di seluruh IPT Malaysia.
Apakah makna peralihan kuasa ini bagi mahasiswa?
Saya simpulkan jawapan ini kepada dua; pertama, kebebasan bersuara dan kedua, pola gerakan mahasiswa di Malaysia.
1. Kebebasan bersuara
Mahasiswa sebelum ini sering disekat untuk menzahirkan kebebasan bersuara yang mana jelas bertentangan dengan kerajaan sebelum ini yang mana, kononnya, menjejaskan nama baik dan kepentingan universiti.
Afiqah Zulkifli, Anis Syafiqah, Asheeq Ali, Adam Adli, Safwan Anang dan yang lain-lain merupakan mahasiswa yang dihukum, atas prinsip kebebasan bersuara yang dibawa oleh mereka, melalui AUKU sehingga menjejaskan pengajian mereka.
Mahasiswa diajar untuk bersifat kritis dan mandiri, termasuklah bertindak untuk mengkritik kerajaan semasa kerana mahasiswa, sebagai golongan intelektual, mampu menjadi “check and balance” di peringkat masyarakat bawahan yang berkesan kepada kerajaan semasa. AUKU jelas menjerat sifat kritis mahasiswa sehingga tidak boleh langsung menjentik langsung kerajaan sebelum ini, yang dikatakan durhaka dan tidak menggunakan saluran yang betul. Atas nama demokrasi, bersuara lah di mana-mana pun dan pelbagai cara apapun, kerajaan harus sedia menerima kritikan dan cadangan unuk penambahbaikan demi kesejahteraan rakyat marhaen.
2. Pola gerakan mahasiswa
Iya, gerakan-gerakan mahasiswa sudah mati. Namun mampukah dihidupkan semula? Mengapa tidak? Inilah masa dan saat untuk setiap mahasiswa untuk bertindak sebagaimana yang diinginkan selama ini. Berdiskusi isu diluar keselesaan, berdemonstrasi menekan kerajaan yang menekan hak-hak masyarakat dan sebagainya. Pada pandangan aku, kebebasan ini sudah kembali dan harus mahasiswa gunakan semaksima mungkin demi kemandirian mahasiswa demi masyarakat.
Aku di sini menyeru kepada rakan-rakan mahasiswa untuk ambil kesempatan ini untuk menggerakkan kerja mahasiswa, suarakan apa sahaja yang terpendam atas prinsip kebebasan bersuara demi masyarakat dan mahasiswa. Sistem akan berubah, AUKU akan dibuang, tiada lagi mahasiswa “kaya dan bajet bagai menteri”. Ayuh, bergerak dan bekerja dan kritiklah sepuasnya kerajaan kini demi keharmonian demokrasi negara.
Suara mahasiswa. Suara rakyat. Suara keramat!

By Editor

Leave a Reply