UNDI 18 : Kewajaran Penurunan Had Umur Mengundi kepada 18 tahun.
Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang iaitu pembentangan penurunan Had Umur Mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun. Usul Undi 18 ini dipersoalkan pada peringkat awal oleh blok pembangkang kerana tiada konsultasi awam melalui sesi seperti town hall atau forum di mana kerajaan pada hari ini dapat menerima pendapat masyarakat mengenai isu ini, namun pada perbahasan baru-baru ini dalam sidang parlimen majoriti bersetuju namun meminta cadangan daftar pengundi automatik turut disegerakan. Semua negara Komanwel lain kecuali Kuwait, Lubnan, Oman, Cameroon, Samoa dan Tongga mengamalkan demokrasi westminster termasuk India selaku negara demokrasi terbesar dunia masing-masing menetapkan had umur mengundi kepada 18 tahun.
Umur seperti kita sedia maklum adalah perkara subjektif yang nyata tidak menggambarkan kematangan individu secara komprehensif dan menyeluruh. Ternyata, umur hanyalah faktor, pembolehubah atau angka yang boleh diperdebatkan. Namun, sejauh mana kebenaran tentang nilai kayu ukur kematangan belia itu sendiri tidak boleh kita nilai tanpa usaha atau pemantauan secara kolektif. Fakta kes yang menarik, semasa had umur mengundi kekal 21 tahun, pada Pilihan Raya Umum yang lepas, telah menyaksikan kerajaan bertukar tangan kepada pimpinan yang baharu. Adakah pemikiran belia masih lagi terarah kepada politik kepartian, dipengaruhi sentimen atau sememangnya sudah matang berfikir itulah yang perlu untuk kita analisis.
Seterusnya, sistem pendaftaran pengundi automatik perlu dilaksanakan bersekali dengan penurunan Had Umur Mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun. Tindakan selari ini perlu dibuat untuk mengelakkan lambakan pengundi tidak berdaftar khususnya golongan belia pada sesuatu masa. Langkah populis ini perlu disesuaikan dengan cara memastikan daftar pemilih secara automatik. Hal ini kerana, seramai 3.6 juta belia 21 tahun ke atas belum daftar mengundi sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lebih kurang 20% berbanding jumlah keseluruhan pengundi yang berdaftar. Jika Had Umur diturunkan kepada 18 tahun, dijangka jumlah yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar akan meningkat hampir 1.5 juta (bertambah kepada 5.5 juta orang). Oleh hal yang demikian, menurunkan Had Umur Mengundi kepada 18 tahun perlu dilakukan serentak dengan pindaan sistem pendaftaran pemilih secara automatik. Untuk melaksanakannya, Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda dan dibahas untuk kelulusan dua pertiga undi pada sidang Parlimen. Terbaru, kerajaan secara prinsip bersetuju dengan cadangan pembangkang yang mahu warganegara berusia 18 tahun secara automatik didaftarkan sebagai pengundi. Ketika ini, kajian daftar pemilih secara automatik sedang dijalankan dan memang ingin dilaksanakan oleh SPR dan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (JRPR) dan sedang diperhalusi pada peringkat awal dan dasar.
Sebenarnya, apa yang perlu ditekankan dan diberikan perhatian oleh kerajaan adalah pendidikan awal. Kesedaran perlu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi melalui pendidikan demokrasi, politik dan kenegaraan. Menurut Socrates dalam buku The Republic yang ditulis oleh Plato, ” mereka yang memahami isu semasa secara rasional dan politik layak mengundi “. Pendidikan yang perlu ditekankan ialah ” Political Education dan Malaysian Education ” . Pahit untuk kita telan bahawa belia kita masih gagal dalam memahami perlembagaan negara apatah lagi yang menyedihkan masih ramai yang tidak menghafal ideologi negara iaitu Rukun Negara. Dalam konteks rasional, belia kita sebenarnya belum mampu untuk memahami isu semasa dan politik negara secara ilmiah dan mengikut perspektif landasan ilmu sebaliknya hanyalah melalui emosi, fitnah dan sentimen. Oleh hal yang demikian, perlunya subjek kenegaraan diperkenalkan diperingkat sekolah menengah dan silibus berkenaan perlembagaan, demokrasi, institusi raja perlu dicadangkan, Seperti titah Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, “Sudah sampai masanya (sistem) pendidikan kenegaraan diperkenalkan dan dimantapkan pada peringkat sekolah dan juga IPT dalam usaha membentuk semangat patriotisme. Selain itu, perlu juga diberikan pendedahan (dengan lebih terbuka) mengenai peranan dan fungsi sebenar serta kepentingan institusi Beraja di negara ini,” titahnya.
Sungguhpun begitu, saya tidak melihat langkah ini sebagai langkah populis, sebaliknya ia sememangnya perlu dilaksanakan bagi memupuk kesedaran politik kepada belia negara. Namun, soal kesediaan dan kematangan belia itulah yang perlu dinilai oleh pihak kerajaan dan tindakan susulan sangat diperlukan untuk mengelakkan sebarang risiko atau masalah di luar jangkaan yang mungkin berlaku sekiranya tiada pengawalan atau dasar yang boleh mengikat pendirian dan rasional belia. Oleh sebab itu, perlunya tindakan secara mendasar bersesuaian dan drastik perlu dirangka dari segi aspek kesedaran, sistem demokrasi dan pendidikan kenegaraan supaya gelombang belia tidaklah hanya berisik suara. Saya petik pepatah dari negara seberang Indonesia, ” Dilihat galas berlaba, dihitung pokok termakan “. Dalam setiap tindakan pasti akan ada kelompongan, dan lompong itulah yang sentiasa perlu untuk kita nilai dan perbaiki.
Muhammad Haiqal Bin Musa
Pendebat dan Pemidato Kolej Harun Aminurrashid (KHAR). Universiti Pendidikan Sultan Idris