COVID-19: MENJADI BENCANA APABILA TIADA ILMU

OLEH: HAIKAL ZULKEFLI

 

Dalam sejarah Islam, kita mengambil banyak hikmah. Bukan hanya sekadar menikmati zaman lampau, tetapi untuk belajar dari musibah di zaman dulu agar tidak berulang di zaman kita. Apalagi bab bencana, jelas ulama kita banyak menulis buku buku untuk menghadapi bencana.

Dr Ali Muhammad Audah menghimpunkan 24 kitab sepanjang zaman yang mengisahkan bagaimana umat dunia mengalami bencana dan bagaimana pemerintah mereka telah bertanggungjawab ke atasnya. Salah satu pelajaran yang penting yang perlu kita gariskan di bawah adalah kisah yang ditulis oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani. Apa kisahnya?

Dalam kitabnya, ‘Badl Al Maun fi Fadhli At Tha’un’, Imam Ibnu Hajar telah mengisahkan pada tahun 749 Hijriah atau sekitar tahun 1348 Masehi, terjadi wabak penyakit melanda Kota Damsyik. Banyak ulama memberi arahan agar tidak berkumpul dan agar menjauhi keramaian. Memang pada waktu itu ulama menjadi antara sumber rujukan dan arahan. Namun apa yang terjadi?

Orang orang tidak langsung mengendahkan, kemudian mereka keluar menuju ke tempat keramaian disertai oleh pemimpin negara ketika itu. Mereka berdoa dan meminta pertolongan Allah beramai ramai. Tapi perkara sebaliknya terjadi. Wabak itu menjadi semakin besar, sedangkan sebelum mereka berkumpul, wabak masih lagi kecil dan tidak ramai yang dijangkiti.

 

Imam Ibnu Hajar mengisahkan juga apa yang terjadi di zamannya,

“pernah juga terjadi di zaman kita ketika sebuah wabak melanda Kaherah. Pada tanggal 27 Rabiul Akhir tahun 833 Hijriah bersamaan 1430 Masihi, pada awalnya angka korban kurang dari 40 orang. Namun, kemudian orang ramai keluar ke tanah lapang pada 4 Jamadil Awal setelah sebelumnya melakukan puasa 3 hari sebagaimana yang mereka lakukan ketika mahu Solat Istisqa. Mereka berkumpuk untuk berdoa dan terus pulang ke rumah masing masing”.

 

Imam Ibnu Hajar melanjutkan,

“tak sampai sebulan setelah mereka berkumpul, jumlah korban meningkat kepada 1000 orang setiap hari dan terus bertambah”.

 

Beberapa orang waktu itu telah memberi fatwa bahawa berkumpul untuk berdoa itu perlu kerana beranggapan tiada masalah untuk lakukannya, dan ada juga yang mengatakan bahawa sutu masa dahulu ketika zaman seorang raja yang bernama Al Muayyad, berkumpul untuk berdoa ini dilakukan dan wabak akhirnya berlalu pergi.

Berdasarkan apa yang telah dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar, di saat ketika Covid-19 terus mengganas mencari mangsanya tanpa mengira siapa pun mereka, sangat penting juga untuk kita mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin, mufti dan ahli perubatan. Jika hanya bermodal semangat tanpa ilmu, maka akan lebih banyak merosak dari memperbaiki. Kita hanya takut pada Allah, tidak pada virus yang dihantar oleh-Nya. Sangat betul. Namun kerana takut kita pada Allah maka laksanakanlah sunnatullah yang perlu diikhtiarkan.

Dr Majdi Al Hilali menulis dalam kitabnya ‘Innahu al Quran Sirru Nahdhatina’, bahawa sebuah umat yang mengabaikan ikhtiar manusiawi ertinya sudah mengkhianati Allah. Sebab Allah memberikan pada manusia hukum sebab dan akibat, dan yang tidak peduli dengan itu tandanya tidak mensyukuri nikmat Allah.

Ikhtiar manusia itu boleh dalam bentuk physical distancing seperti kekal di dalam rumah. Mufti sebelum ini telah mengeluarkan fatwa tentang menghindari kawasan tumpuan ramai, termasuk untuk tidak solat berjemaah di masjid. Keputusan itu semuanya datang dengan dalil dan dengan musyawarah yang panjang. Bukan dengan ego dan kepentingan diri.

Nyawa seorang manusia itu mahal harganya. Umar Al-Khattab imannya tinggi, tetapi ketika diberi pilihan suatu hari untuk datang ke daerah wabak atau kembali ke Madinah, Umar memilih untuk pulang ke Madinah. Ayatnya yang sentiasa diulang adalah , “ kita pergi dari takdir Allah ke takdir Allah yang lain”.

Maka ambillah pelajaran dari sejarah ini supaya kita sentiasa beringat dan tidak jatuh ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali. Dengan inisatif ini, kita harap selepas wabak mula reda, masjid boleh dipenuhkan dan manusia boleh terus mencari rezeki dengan tenang. Semuanya bermula dengan menjaga diri kita dan ikuti arahan orang orang yang berilmu.

 

 

Rujukan:

KISAH UMAR BATAL HASRAT KE SYAM KERANA WABAK HARUS DIJADIKAN CONTOH, DOA MAMPU ELAK MUSIBAH

https://www.mstar.com.my/xpose/addin/2020/03/20/beriman-qada-qadar

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-460: PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN MENURUT SIYASAH SYAR’IYYAH

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4341-irsyad-al-fatwa-siri-ke-460-perintah-kawalan-pergerakan-menurut-siyasah-syar-iyyah

Leave a Reply