Ini adalah pandangan peribadi saya berkenaan kemasukan pelajar ke kampus universiti bermula Mac 2021, berdasarkan maklumat berkaitan dasar-dasar yang diputuskan oleh pihak Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Sebagai pelajar post-graduate, yang pernah tinggal di kolej kediaman selama 7 semester (3 tahun setengah), dan tinggal di rumah sewa untuk 3 tahun selepas itu, jadi saya rasa penting untuk saya menyuarakan pertimbangan saya berkenaan ini.

 

Seperti yang sedia maklum, terdapat percanggahan di antara Soalan Lazim (FAQ) Kemasukkan Pelajar IPT ke Kampus pada Mac 2021 yang dikeluarkan oleh KPT dan Soalan Lazim Siri 01 yang dikeluarkan oleh UTHM. Disini saya faham sekiranya UTHM mengambil arahan yang dikeluarkan oleh KPT menerusi Bahagian Mahasiswa Holistik (BMH) menerusi surat bertarikh 8 Februari menyarankan agar semua pelajar berkeperluan ditempatkan di dalam kampus. Itu bukan lah satu isu.

 

Tetapi keputusan untuk mewajibkan setiap mahasiswa berkurung di dalam kampus, adalah isu. Dan jika tidak diperjelaskan secara terperinci, ia akan menimbulkan lebih banyak isu mendatang. Ada baiknya, sebelum Mac ini, pihak universiti dapat mempertimbangkan perkara ini dengan sewajarnya.

 

Pertama, berkenaan pelajar yang dikatogarikan sebagai ‘pelajar berkeperluan’ untuk pulang ke kampus (Tahun 3 dan 4). Masalah utama mereka bukanlah kesukaran untuk pulang ke kampus, ada sebahagiannya memang gembira untuk pulang, tetapi syarat wajib mereka hendaklah menetap di kolej kediaman (asrama) menimbulkan masalah buat mereka. Mereka sudah sewa rumah.

 

Sebahagian peruntukan mereka sudah dikeluarkan untuk menanggung kos sewa rumah. Jika kontrak dibatalkan, mereka akan hilang duit deposit. Kemudian harus membayar yuran penginapan kolej pula. Jika tak duduk kolej, mereka kena ‘drop’. Jika ‘drop’, yuran semester ini ‘burned’. Sudah ‘burned’, tapi masih perlu tanggung kos sewa. Batal kontrak sewa pun ceritanya sama saja, hilang duit deposit. Jika diteliti hal ini, saya harap pihak universiti faham ini bukan isu subsidi yuran kolej kediaman yang sudah cukup murah, dan mahasiswa harus mensyukurinya. Ini adalah masalah pengurusan.

 

Walaupun telah dua semester pelajar balik kampung, tetap persoalan rumah sewa ini sangat wajar. Sepanjang dua semester yang lepas, pelajar belum mengetahui keputusan yang muktamad dan jelas berkenaan perkara ini. Atas sebab itu, pelajar tidak mengambil keputusan untuk menamatkan sewa rumah kerana mereka tidak menyangka pihak UTHM akan mewajibkan semua pelajar yang berkeperluan tinggal di dalam kampus.

 

Anggaran minimum yuran kolej (selepas subsidi) adalah RM700. Anggaran kemasukan mahasiswa pula adalah seramai 6400 orang. RM700 x 6400 orang? Ini adalah satu jumlah yang besar. Dan berapa pula anggaran kerugian yang lain seperti deposit sewa rumah pelajar? Jika ada sesuatu di luar jangkaan berlaku, adakah pihak mahasiswa harus menanggung kerugian sekali lagi? Maka, memandangkan keadaan ekonomi rakyat sememangnya dalam keadaan tidak seimbang ini, keputusan yang benar-benar jelas dan praktikal adalah sangat penting.

 

Kedua, saya rasa amatlah tidak wajar pihak universiti ambil pendekatan ‘worse case scenario’. Bagaimana SOP yang ditetapkan bagi pensyarah dan staf? Kenapa SOP yang sama tidak boleh diterapkan untuk mahasiswa? Kerana masing-masing juga menetap tidak lebih dari radius 10km dari UTHM. Berkaitan potensi jangkitan Covid, apa sebenarnya yang membezakan mahasiswa dengan kakitangan universiti?

 

Kita tidak mahu keperluan membayar yuran kolej dan tanggungan kos makanan sepanjang 10 hari mahasiswa berisolasi, menjadi satu perkara yang meletakkan mahasiswa dalam keadaan lebih tertekan. Seharusnya pihak universiti perlu sebaik boleh mengurangkan kos kerugian yang terpaksa ditanggung pelajar. Kerana kaedah yang lebih baik, lebih sihat dan selamat, ada. Kita juga masih dapat terfikirkan jalannya, untuk membincangkan secara dalam juga boleh, tidak perlu pihak universiti mengambil tindakan yang nampaknya sangat melulu dan menekan mahasiswa. Tindakan ‘cemas’ sebegitu belum jadi satu keperluan lagi.

 

Boleh saja UTHM mengambil pendekatan seperti yang dilaksanakan kerajaan, kuarantin 10 hari di rumah sewa contohnya. Ini akan lebih banyak membantu mahasiswa, pengurusan lebih mudah dan pihak universiti tidak pening kepala. Apa-apa jadi, mereka ada di rumah sewa, tempat yang lebih selamat untuk semua orang. Proses kuarantin juga akan menjimatkan kos universiti, akan lebih kurang pergerakan, “stress” akan dapat dikurangkan.

 

Sebagai mahasiswa, saya fikir kawan-kawan saya yang lain tidak perlulah dikongkong sampai sebegitu rupa. Lagipun, bukankah mahasiswa itu adalah ‘manusia terpelajar’? maksudnya, yang mampu menjaga diri sendiri. Sesudah itu, takkan tidak mampu untuk memutuskan sesuatu untuk dirinya sendiri? Takkanlah untuk ‘manusia terpelajar’ hanya ada 2 pilihan, ‘extend’ atau ‘duduk dalam’? percayalah, kedua-dua pilihan ini akan sangat mengganggu kesihatan mental mahasiswa.

 

Jika mahasiswa UTHM adalah manusia terpelajar, yang sedang mengasah kesedarannya, maka kaedah pengurusan yang cuba-cuba mengatur mahasiswa, boleh dilihat sebagai satu penghinaan. Jika mahasiswa UTHM memang perlu diatur sehingga begini, adakah itu layak dipanggil mahasiswa? Yang dalam bahasa kasarnya, yang perlu diternak dan diatur seperti mereka ini tidak mampu apa-apa? Bukankah mahasiswa UTHM ini rata-ratanya bakal jurutera, yang kerja mereka adalah untuk ‘memahami dan mengenalpasti masalah’, ‘menemukan formula’, seterusnya ‘menyelesaikan masalah’ agar kehidupan/sistem/mesin dapat beroperasi dengan lebih efektif?

 

Jika prinsip pihak universiti kekal untuk mengatur mahasiswa-mahasiswa ini secara kerahan, maka ya, ianya satu penghinaan buat bakal jurutera. Untuk jangka panjang, keputusan sebegini sedang melatih pelajar untuk tidak bertanggungjawab untuk setiap masalah yang bakal mereka hadapi.

 

Ketiga, apakah pertimbangan sebenar UTHM? Penjelasan yang jelas dan terperinci perlu dinyatakan pihak universiti. Adakah UTHM tidak mempertimbangkan isu rumah sewa pelajar? Pergerakan kakitangan di luar universiti yang tidak boleh dikawal? Kesan ‘safety bubble’ terhadap kesihatan mental dan motivasi pelajar?

 

Ramai pelajar faham dasar “safety bubble” yang ingin pihak universiti terapkan. Ianya untuk memastikan universiti berada dalam keadaan yang selamat, pergerakan pelajar terkawal, dan untuk mengelakkan perkara yang tak diingini. Saya setuju itu merupakan langkah yang sangat baik. Tetapi adakah pihak universiti telah benar-benar memperhalusi seberapa praktikal untuk ianya dilaksanakan? Saya takut, kualiti pelaksanaannya nanti jadi sangat rapuh, serapuh buih/gelembung.

 

Staf dan pekerja seperti pekerja pembersihan tetap menggunakan tandas yang digunakan pelajar. Makmal penyelidikan yang dikelola oleh petugas makmal juga digunakan pelajar. Pensyarah tetap akan berjumpa dengan pelajar. Mereka semua yang bukan mahasiswa, tetap akan keluar dari ‘gelombang keselataman’ ini, dan tetap akan berhubung dengan pelajar. Apakah yang memastikan mereka tidak akan keluar-masuk kampus bersama Covid-19? Bagaimana kalau gelembung ini pecah? Apa alasan munasabah untuk mengatakan perlaksanaan ‘safety bubble’ ini benar-benar efisien?

 

Andai kata ‘worse case scenario’ terjadi, Covid-19 terlepas dan gelembung ini meletup, ketika itu masalah akan jauh lebih serius. Untuk memastikan gelembong tidak pecah, setiap kakitangan juga tidak boleh keluar dari gelembong ini. Tetapi untuk mengurung pekerja, staf dan pensyarah bersama-sama di dalam gelembong ini, adalah sesuatu yang mustahil. Pihak universiti pun tahu itu langsung tidak praktikal. Maka, perkara yang paling baik adalah, penerapan SOP yang sama buat semua orang, sesiapa saja yang melepasi pagar universiti.

 

Sebagai contoh sekiranya mahasiswa itu tidak di kategorikan sebagai pelajar yang berkeperluan untuk pulang ke kampus, tetapi tidak mahu duduk di kolej, adakah pelajar itu perlu ‘extend’ semester itu dan harus mengulanginya semester hadapan?  Ini menambah beban mahasiswa dan mengakibatkan kebanyakkan mahasiswa akan mengambil keputusan untuk berhenti belajar.

 

Adakah pihak MPP hanya akan mengiyakan segala keputusan universiti? Adakah mereka tidak mempertimbangkan apa-apa semenjak FAQ pertama keluar pada 9 Feb? Saya fikir pihak MPP pastilah jelas dan sedar, ramai pelajar yang merungut tentang pekara ini. Dan sesuatu yang jelas harus dilakukan MPP berdasarkan keputusan Kaji Selidik Pelajar Tanpa Asrama yang baru saja diedarkan 18 Feb lebih kurang pukul 10 malam semalam. Dan keputusan kaji selidik haruslah diketahui oleh setiap pelajar. Harap pihak MPP yang mewakili pelajar dapat bertindak selaras dengan kepentingan dan suara setiap pelajar.

 

Terakhir, adakah kita boleh katakan keputusan pihak universiti ini sebagai keputusan yang melulu? Tidak, pihak universiti boleh menundakan setiap keputusan, menyemak semula data-data berdasarkan keperluan utama pelajar. Tunggu jawapan kaji selidik dari pihak MPP, putuskan sesuatu dengan seadilnya. Tanamkan dalam diri mahasiswa, untuk tidak takut menyatakan apa yang sejujurnya, agar keputusan yang terbaik dapat diputuskan pihak universiti. Jika tidak, setiap keputusan sehala yang menekan hanya akan cenderung untuk menimbulkan penindasan dan ketidakadilan terhadap mahasiswa.

 

Sekian,

Hafizuddin Bin Hassan

Suara Mahasiswa UTHM

Leave a Reply