ISU PENGAGIHAN WANG PINJAMAN YAYASAN PELAJARAN JOHOR (YPJ)
Isu ini telah saya dan rakan-rakan peminjam dari semua IPT seluruh Malaysia suarakan kepada pihak-pihak berkaitan. Sudah ada beberapa artikel yang telah saya tulis berkenaan hal ini. Surat rasmi juga telah dihantar kepada YB Menteri Besar, SUK, dan semua Ahli Lembaga Pengarah YPJ. Pihak YB Exco Hal Ehwal Agama dan Pendidikan telah memberi respon secara aplikasi whats app kepada saya selaku wakil yang menyuarakan isu ini. Setiap perkembangan isu ini akan saya tuliskan dalam artikel dan petisyen atas talian juga sediakan. (semua dokumentasi saya sertakan di hujung artikel ini sebagai rujukan).
Tetapi, perkembangan isu ini ibarat mati ditenggelamkan kesibukkan sesi permulaan kuliah. Pihak YB Exco mengatakan Pihak YPJ akan menghubungi saya sebagai wakil, tetapi perkara ini tidak berlaku. Kami juga menanti-nanti kenyataan rasmi di laman sesawang rasmi YPJ berkenaan perkembangan yang telah dikatakan oleh pihak YB Exco. Malangnya, tiada sebarang permakluman.
Isu ini melibatkan semua mahasiswa peminjam YPJ dari seluruh IPT, khususnya universiti awam. Setiap universiti awam mempunyai tarikh permulaan semester yang berbeza. Antara universiti yang memulakan sesi perkuliahan awal adalah Universiti Malaysia Pahang(UMP), iaitu pada 28 Januari 2019. Berdasarkan sumber, pihak YPJ telah mendepositkan wang pinjaman kepada UMP minggu lepas (minggu ke 4 atau 5 sesi kuliah). Tetapi, mahasiswa UMP masih belum lagi menerima wang pinjaman YPJ hingga ke hari ini (4/3/2019) . Hal ini disebabkan, sistem birokrasi yang diamalkan di UMP yang mungkin memakan masa seminggu untuk pengagihan kepada mahasiswa. Selama hampir separuh semester (7 minggu) mahasiswa UMP yang meminjam YPJ terpaksa berdikari menyara kos hidup mereka dengan cara sendiri. Mungkin terpaksa berhutang dan makan nasi bujang sementara menunggu wang pinjaman YPJ ini.
Situasi yang seakan sama juga berlaku pada mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). UTHM antara universiti yang memulakan perkuliahan lewat, iaitu 17 Februari 2019. Berdasarkan perkembangan terkini, YPJ belum lagi mendepositkan wang pinjaman kepada UTHM. Sekarang ini dah masuk minggu ke 3 sesi perkuliahan. Mahasiswa UTHM terpaksa menyara kos hidup mereka dengan sendiri. Mungkin dengan cara berhutang dan makan nasi bujang setiap hari.
Pihak YB Exco memaklumkan kepada saya bahawa YPJ telah memuatnaik sistem pemberian maklumat secara digital dan atas talian. Beliau juga menyatakan YPJ akan meminta pihak UTHM menyerahkan keputusan pelajar. Saya juga dimaklumkan sistem pengagihan telah dipercepatkan kepada 14 hari bekerja. Namun, malangnya semua yang dinyatakan sekadar permakluman kepada saya dan tiada kenyataan rasmi dari pihak YPJ serta tiada yang berlaku.
Adakah isu ini dipandang remeh ? Adakah isu yang disuarakan ini tidak popular dan dipandang rendah oleh ahli politik? Adakah mahu menunggu hingga ada mahasiswa yang mati kelaparan? atau membiarkan mahasiswa dibebani dengan hutang-hutang ? Saya melihat pihak YPJ banyak melaksanakan program berimpak tinggi. Apa salahnya pihak YPJ menaiktaraf system yang lampau ini bagi mempercepat dan memudahkan proses pengagihan wang?
Saya percaya keadilan dan kesamarataan yang harus diterima oleh semua peminjam. Tidak seharusnya kita yang hidup dalam era maju dan moden ini masih terpalit dengan sistem yang lembab. Kami ini peminjam wang dan bukanlah pengemis wang yang harus menunggu terlalu lama hingga ke separuh semester. Sudah banyak kritikan di beri kepada pihak YPJ dan pihak berkuasa. Saya berharap agar artikel ini menjadi titik penyedar kepada mereka yang berkenaan. Mahasiswa tidak seharusnya dibebankan dengan perkara ini. Berulang alik ke mesin ATM hanya untuk memeriksa sama ada wang sudah masuk atau tidak dan pulang ke bilik dalam keadaan hampa. Mengikat perut hingga melemahkan badan dan kesihatan. Wahai pihak berkenaan, lakukanlah perubahan demi kebaikkan semua dan bukan sahaja untuk mencipta nama dan mengejar KPI.
HAFIZUDDIN HASSAN
(wakil menyuarakan isu ini)
Mahasiswa UTHM
Rujukan
- Artikel Maklum balas dari pihak YB Exco (1/2/2019) : http://nadisiswa.com/archives/3068
- Petisyen atas talian :
https://secure.avaaz.org/en/community_petitions/Student_Petisyen_Menyokong_Pengagihan_wang_pinjaman_YPJ_yang_terlalu_lama_dipercepatkan/?pvlYUnb&fbogname=Hafizuddin+H.&utm_source=sharetools&utm_medium=facebook&utm_campaign=petition-663915-Student_Petisyen_Menyokong_Pengagihan_wang_pinjaman_YPJ_yang_terlalu_lama_dipercepatkan&utm_term=vlYUnb%2Ben
- Artikel YPJ kaku, bisu dan menyepi lagi (20/2/2019) : http://nadisiswa.com/archives/3032
- Artikel YPJ mengapa masih membuta dan membisu? (15/2/2019) : http://nadisiswa.com/archives/3028