Sedari awal aku menjejakkan kaki ke alam politik mahasiswa, aku diberi peluang berkenalan dengan rakan-rakan dari gerakan-gerakan besar mahasiswa. HARMONI Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mahasiswa Keadilan Malaysia, UMNOSiswa – ini cuma sebahagian daripada nama-nama besar di peringkat nasional.
Apabila aku diberi peluang mengepalai gerakan mahasiswa di kampus UIA – CONGRESS IIUM namanya – aku mula mendekati rakan-rakan gerakan akar umbi di kampus-kampus lain pula.
Tapi tak ada gerakan akar umbi lain yang aku kagumi sebanyak aku kagumi Demokrat Malaya.
Kredit perlu aku berikan kepada Sara Salimi yang menjawat jawatan Koordinator Demokrat Malaya sewaktu aku menjadi Pengerusi CONGRESS kerana menunjukkan kepada aku bagaimana gerakan akar umbi mahasiswa mampu membawa impak besar kepada seluruh ekosistem politik mahasiswa.
Elok rasanya aku mulakan dengan menceritakan sedikit konteks tahun 2015. Ketika itu, dua gerakan utama di UM ialah Penggerak yang bersifat pro-pentadbiran dan Pro-M yang bersifat anti-pentadbiran.
Pengaruh politik nasional sangat kuat dalam kampus – tidaklah ini eksklusif kepada UM semata – tetapi kesannya merombak politik dalam UM ketika itu.
Sewaktu perpecahan antara golongan Ulama dan golongan Professional dalam PAS berlaku, kesannya adalah sehingga Jemaah Islam Kampus terpecah. Pertembungan antara geng pro-pentadbiran dan anti-pentadbiran semakin membara.
Namun, sudah tentu ketika itu golongan pro-pentadbiran mendahului perlumbaan ini. Begitulah lumrah siswa sewaktu di kemuncak kuasa rejim pemerintah yang gemar menyekat suara melawan mahasiswa.
Daniel Mizan Qayyum – mesra aku sebut DMQ saja – melihat ada kelompongan dalam aktivisme mahasiswa yang semata tesis-antitesis ini. Ada cita-cita dalam dirinya untuk menggerakkan satu gerakan yang boleh mengisi kelompongan yang ada.
Lalu, pelajar undang-undang ini pun mula mendekati rakan-rakannya – yang pertamanya ialah Aaron Denison, pelajar Fakulti Sastera. Aaron ketika itu baru saja bertanding di fakultinya atas tiket bebas, melawan calon Pro-M.
Aaron pada awalnya tak bersetuju untuk menubuhkan sebuah gerakan baharu kerana mengambil sikap anti parti. Setelah bersetuju untuk bersama, mereka merekrut rakan yang sefikrah.
Akhirnya terbentuklah Demokrat Malaya yang dianggotai oleh 16 orang rakan-rakan terdekat. Ya, gerakan ini bermula hanya dengan 16 orang sahaja – itu pun setelah sebulan setengah berjumpa dengan lebih 50 orang. Dan catatan ini akan meriwayatkan perkembangan mereka.
Demokrat Malaya ketika penubuhannya mengambil inspirasi daripada Students for a Democratic Society, sebuah gerakan mahasiswa di Amerika Syarikat pada tahun 1960an.
Idea Demokrat Malaya adalah untuk membawa satu gerakan yang bersifat moderat yang tidak melekatkan diri dengan idea berteraskan kaum atau agama dan menjadi gerakan yang menjuarai isu-isu golongan rentan yang mahasiswa sering terlepas pandang.
Setelah tertubuhnya Demokrat Malaya pada Jun 2016, maka bermulalah fasa pengkaderan. Gerakan massa Tangkap MO1 ketika itu menjadi ‘catalyst’ kepada Demokrat Malaya – dalam menggerakkan dan pengkaderan.
DMQ dan Aaron berkongsi pada aku apa yang mereka buat sewaktu cuti semester ketika Tangkap MO1 – mereka menganalisa isu 1MDB yang sedang hangat di samping menyusun propaganda untuk menyedarkan rakan-rakan mahasiswa.
Ketika itu juga, pihak 1MDB menjelajah dari kampus ke kampus membuat sesi penerangan untuk memberi justifikasi terhadap projek penyelewengan mereka. Arul Kanda dan Tun Faisal mengepalai projek penerangan ini.
Di sini Demokrat Malaya mula menunjukkan taringnya. Di sini bagaimana sebuah pergerakan kecil menyusun aturan supaya dapat memberi impak yang besar. Mereka bermesyuarat, merancang, lalu menyusup masuk ke program penerangan 1MDB dan bertanyakan soalan-soalan kritikal kepada Arul Kanda dan Tun Faisal.
Konfrontasi menjadi pendekatan mereka untuk mendapatkan ‘political mileage’. Mereka dilihat lebih berani dan radikal berbanding pergerakan anti-pentadbiran dan ‘anti-establishment’ yang lain.
1MDB hanyalah permulaan buat mereka. Pernah sekali pada 2017, Demokrat Malaya menyerbu Timbalan Naib Canselor HEP dengan banner untuk menyoal tentang isu penempatan mahasiswa. Mereka terus buat satu sesi FB Live ketika serbuan tersebut.
September 2016, gerakan mahasiswa semakin dibungkam. Ramai di antara rakan-rakan siswa ditahan oleh polis dan didakwa di bawah AUKU. Demokrat Malaya merupaka antara pergerakan mahasiswa pertama yang menawarkan khidmat nasihat guaman kepada rakan mahasiswa.
Ini antara perkara yang ‘unprecedented’ dalam kalangan mahasiswa. Demokrat Malaya jugalah yang menggerakkan kempen solidariti bersama rakan-rakan yang didakwa – antaranya, ketika itu, ialah Suhail Azahar, Ariffin Amin, Mukmin Nantang dan Anis Syafiqah.
Pendekatan Demokrat Malaya yang kelihatannya sangat anti-pentadbiran ini mendapat liputan dari pihak media. Ini juga merupakan sesuatu yang sangat ajaib. Dalam rejim yang kuat menutup ruang suara mahasiswa, gerakan ini mendapat perhatian. Sebab itulah propaganda merupakan kekuatan kepada Demokrat Malaya.
Mereka tahu ruang mana yang boleh digunakan untuk membina nama dan impak besar sekalipun keahliannya sikit. Target utama Demokrat Malaya sewaktu awal pergerakannya bukanlah untuk mendapatkan kerusi dalam pilihanraya kampus, tapi lebih kepada untuk meluaskan skop aktivisme mahasiswa.
Sebab itulah, dalam pilihanraya kampus mereka yang pertama, mereka kalah semua kerusi. Sewaktu pengumuman keputusan, mereka turun ke Dewan Tunku Canselor (DTC).
Di situ baru jelas bahawa Demokrat Malaya sebenarnya tidaklah seramai yang disangka. Penggerak Mahasiswa asalnya runsing dengan kehadiran Demokrat Malaya juga, tapi realitinya Demokrat Malaya tidak ada ‘numbers’ pun.
Antara propaganda Demokrat Malaya yang berjaya menembusi ruang aktivisme mahasiswa adalah propaganda kesetaraaan mahasiswa dan Universiti.
Universiti itu tidaklah berdiri lebih tinggi dari mahasiswa, tapi kewujudannya adalah di paras yang sama. “Mahasiswa sebagai rakan setara universiti”, “Bangkit dengan idea” – ini semua merupakan propaganda dari gerakan kecil ini.
Tapi sudah tentu, mana-mana pergerakan ada saja dramanya. Di sebalik ke-radikal-an Demokrat Malaya, ada pertembungan dari segi pendekatan pergerakan. DMQ, misalnya, lebih provokatif. Pernah sekali pada tahun 2018, DMQ dan Suhail tidak dibenarkan masuk dalam program pelancaran TN50.
Mereka ke sana bertujuan untuk membawa manifesto dari pelajar untuk diberikan kepada Menteri. Mengambil pendekatan face-to-face, mereka terus membuat poster yang bersifat provokatif. Secara eksternal, Demokrat Malaya dilihat semakin keras – Menteri pun dilanggarnya. DMQ setuju itu caranya untuk para penguasa dipertanggungjawabkan.
Tapi ada pergaduhan internal yang berlaku terkait dari isu itu. Aaron dan beberapa rakan lain tidak bersetuju dengan pendekatan sebegitu dan memilih jalan yang lebih moderat. Dia tidak bersetuju dengan politik memalukan individu dan kerja yang kurang kemas.
Tapi itulah sifat Demokrat Malaya hingga sekarang – dari DMQ, Naziha, Iman, Gan Xi Yan, Farhan Amran, Sara Rahim ke yang terbaru, Sharifah I’Nur. Semua ahlinya adalah setara – sebab itu mereka ada Koordinator, bukannya Presiden.
Perdebatan itu lumrah dalam organisasi ini yang bersifat horizontal dan anti feudal – bak kata DMQ.
Sikap inilah yang membuatkan mereka tidak menerima apa-apa sumbangan politik – supaya tidak ada penaung atau patron. Mereka mencari dana selama ini melalui sumbangan akar umbi dan jualan cenderamata seperti baju dan tote bag.
Dari crouwdfunding yang diubuat juga, Demokrat Malaya berjaya menggerakkan inisiatif untuk menghantar mahasiswa pulang mengundi pada PRU14.
Banyak sebenarnya yang tak muat untuk aku isikan dalam catatan ini tapi cukuplah untuk aku kongsikan tentang Demokrat Malaya yang asalnya kecil, tapi kesannya besar.
Kesannya kepada politik mahasiswa UM, kesannya kepada aktivisme mahasiswa secara keseluruhan, kesannya kepada budaya radikal dan keras mahasiswa, dan kesannya kepada idea kesetaraan sesebuah pergerakan.
Banyak gerakan akar umbi yang baru lahir pada 2022 ini boleh ambil iktibar dari Demokrat Malaya. Panjang umur para komrad, panjang umur perjuangan, panjang umur mahasiswa.
Artikel ini ditulis oleh Aliff Naif, penulis bebas Nadi Mahasiswa Malaysia.