9 Mei telah diumumkan sebagai tarikh pembuangan undi bagi Pilihanraya Umum ke-14. tarikh yang bersamaan degan hari Rabu ini menjadi sebuah manifestasi rasa tanggungjawab rakyat untuk menyelamatkan Negara. Penamaan calon akan diadakan pada 28 April dan diikuti dengan hari Mengundi Awal pada 5 Mei.
Walaupun hari pengundian diadakan pada hari Rabu, ini bukanlah alasan untuk kita tidak keluar memandangkan bagi pekerja di Malaysia, mereka dilindungi dengan Perlembagaan Malaysia. Selaras dengan peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, majikan perlu memberikan masa yang munasabah untuk pekerja membuang undi.
Mengikut statistik dari “The Malaysian Insight”, lima pilihanraya sebelum ini menunjukkan peningkatan pemilih keluar mengundi sebanyak 16.1%. Peningkatan ini jelas menunjukkan bahawa majoriti rakyat sedar pentingnya campurtangan kita semua dalam mencorak pentadbiran Negara. Diharapkan pada tahun ini peratusan ini akan terus mencatatkan angka yang lebih baik.
Pujian seharusnya diberikan kepada badan bukan kerajaan yang membantu dari segi kewangan untuk pemilih pulang ke kampung bagi membuang undi mereka. Usaha yang baik ini dapat memberikan peluang untuk rakyat yang berada di Sabah Sarawak untuk ke Semenanjung ataupun sebaliknya sekaligus meraikan hari demokrasi Malaysia.
Jadi ayuh mahasiswa dan rakyat Malaysia, kita sama-sama turun memilih pimpinan negara ini, buktikan cinta kita kepada Negara dengan bersama-sama terlibat secara langsung ataupun tidak dalam memastikan perjalanan Pilihanraya kali ini bersih dan telus. Masa hadapan Malaysia adalah masa hadapan kita.