Mengapa keperluan untuk melaksanakan perubahan ke atas dasar tenaga kerja tidak menjadi perhatian media mahupun masyarakat secara umumnya?
“ Jika kita perhatikan senario politik atau landskap umum keadaan politik tanah air pada ketika ini, kita akan mendapati bahawa isu mengenai kedudukan hubungan kaum dan agama sering menjadi perhatian atau topik yang sangat hangat diperkatakan. Malah, yang lebih parah apabila ada yang sanggup bertumpah darah kononnya agama dan bangsa mereka telah dipijak. Sedangkan isu yang lebih besar pada hari ini ialah mengenai sistem atau dasar tenaga kerja yang hanya mementingkan soal ekonomi semata-mata, bukannya keadilan dan kebajikan kepada pekerja. Mengapa semua ini berlaku? “
1.Ianya bermula daripada satu dasar tenaga kerja yang dihasilkan oleh British ketika menjajah Tanah Melayu dan seterusnya membentuk masyarakat majmuk di Malaysia yang hidup dalam kepelbagain rencam, adat dan budaya.
2.Sekitar abad ke-19 dan 20, British membentuk satu dasar tenaga kerja iaitu dengan membawa masuk buruh-buruh dari India dan China untuk bekerja di ladang-ladang dan lombong biji timah. Ianya menggambarkan bahawa ianya seakan-akan sama seperti dasar kerajaan pada hari ini yang membawa masuk tenaga buruh asing.
3. Pada ketika itu, British berpendapat bahawa lebih mudah untuk mereka menjalankan kegiatan ekonomi berdasarkan komoditi pertanian dan perlombongan pada ketika itu dengan membawa masuk tenaga buruh dari India dan China. Persoalannya, mengapa British bertindak sedemikian dan tidak menggunakan tenaga buruh tempatan? Ini kerana realiti ekonomi dan dan keadaan sosial pada ketika itu bertembung hingga menyebabkan orang Melayu tidak berminat untuk bekerja di dalam sektor-sektor tersebut sehingga memaksa British mengambil jalan singat untuk membawa masuk tenaga buruh asing.
4. Ada juga pendapat dari kajian akademik yang menyatakan British pada ketika itu sengaja meminggirkan orang Melayu dari kegiatan ekonomi dengan tujuan “ pecah dan perintah “ dengan cara mengasingkan setiap kaum mengikut kegiatan dan fungsi akibat supaya wujudnya sikap berpuak-puak sehingga pada akhirnya pemikiran perkauman itu dibentuk dari masa ke semasa.
5. Tetapi saya mengambil pendirian bahawa pendapat itu mungkin kurang tepat kerana pada ketika itu kehidupan sebagai peladang dan pekerja yang bekerja di lombong biji timah jauh lebih susah berbanding di kampung-kampung Melayu. Oleh sebab itu, orang Melayu tidak berminat dengan jenis pekerjaan seperti itu. Selain itu, soal kepadatan penduduk setempat juga menjadi asbab mengapa orang Melayu kurang selesa untuk bekerja di sektor-sektor tersebut kerana mereka perlu mendiami rumah secara kongsi.
6. Pandangan seorang anak muda yang berbangsa Melayu pada ketika itu sudah tentu tidak ada keperluan bagi mereka untuk meninggalkan kampung halaman demi untuk berkerja di lombong biji timah yang gajinya tidak lumayan dan tidak sepadan dengan ketidakselesaan kehidupan. Ianya sama seperti pandangan anak muda Melayu pada ketika ini yang hidup di bandar.
7. Tidak hairan mengapa British melaksanakan dasar dan polisi sebegini. Ini kerana jika lambat bertindak, pertumbuhan ekonomi akan terjejas dan sekaligus mengancam kedudukan British di Tanah Melayu.
8. Menjelang Perang Dunia Kedua, selepas hampir seratus tahun lamanya dasar ini diperkenalkan, komposisi pendudukan di Tanah Melayu telah banyak berubah hasil daripada kehadiran tenaga buruh dan China dan India.
9. Kesimpulan mudah yang boleh kita dapat setakat ini ialah sifat majmuk masyarakat kita yakni mampu hidup dalam kepelbagaian bangsa dan agama dengan aman damai bukanlah daripada tindakan politik, tetapi ianya hasil daripada dasar tenaga kerja yang diperkenalkan oleh British.
10. Dari masa ke semasa, jumlah pekerja dari China dan India semakin melebar. Tanpa disedari, ianya membentuk pemusatan orang Cina di kawasan perlombongan bagi menjalani kehidupan sebagai insan biasa dan manusia normal. Begitu juga pekerja dari India sehingga ianya menimbulkan lagi satu isu yang menjadi polemik masyarakat Melayu pada ketika itu iaitu penguasaan masyarakat Cina di kawasan bandar, sedangkan pemusatan masyarakat India yang bekerja di estet sebagai penoreh getah tidak pula menjadi isu.
11. Kita perlu adil dan berdisiplin dalam membuat kesimpulan sesuatu isu. Kita perlu sedar bahawa aktiviti perlombongan memerlukan kegiatan eksport dan import bagi mengembangkan lagi perusahaan. Oleh sebab itu, kita dapat lihat bandar bandar baru dibina di sekitar kawasan perlombongan bagi memudahkan aktiviti perniagaan.
12. Apabila kepadatan penduduk di sekitar kawasan perlombongan semakin meningkat dari sudut angka, maka ianya memaksa masyarakat yang tinggal di situ untuk mewujudkan kegiatan ekonomi yang baru merdasarkan keperluan mereka. Perniagaan antara kegiatan yang mula aktif demi mencari punca pendapatan. Oleh sebab itu, kita dapat lihat kesannya hari ini terbina nya bandar-bandar di sekitar Lembah Klang yakni kedudukannya sangat strategik, tambah pula ia berdekatan dengan kawasan perlombongan.
13. Ini bermakna, masalah yang kita warisi pada hari ini akibat dari pengasingan kaum yakni Melayu di kampung, India di estet dan Cina di bandar segalanya berpunca dari dasar tenaga kerja yang diasaskan sejak zaman penjajahan British. Mereka gagal mengawal dan mengimbangi dasar yang diperkenalkan sehingga ianya menimbulkan kesan sampingan yang tidak baik iaitu membentuk sifat perkauman dan iri hati yang tebal di antara orang Melayu, Cina dan India sebahagian besarnya.
14. Ianya bertambah parah apabila kegiatan ekonomi mula berkembang dengan pesat khususnya di bandar, hasilnya mereka yang tinggal di bandar akan mendapat kemudahan pendidikan dan kesihatan yang lebih baik. Secara tidak langsung, ianya telah mempengaruhi pendapatan masyarakat Cina yang tinggal di bandar hasil daripada kegiatan perniagaan mereka.
15. Kesenjangan ekonomi seperti ini lah yang menyebabkan politik perkauman di negara ini secara terus menerus mendapat talian hayat dan ianya dianggap relevan akibat daripada pemilikan harta, jurang pendapatan dan kegiatan ekonomi yang dilihat berat sebelah dan tidak adil.
16. Oleh itu, perlu ada beberapa perubahan besar yang menjadi tunjang asas kepada dasar tenaga kerja yang baru. Masyarakat sering dimomokkan dengan ketidaktentuan kedudukan ekonomi negara dari sudut matawang mahupun pertumbuhan ekonomi, tetapi kita perlu sedar bahawa kedudukan ekonomi yang kukuh bermula dengan dasar tenaga kerja yang baik. Itu yang berlaku di beberapa negar barat dan juga kuasa besar Asia seperti Jepun dan China. Bagaimana peluang pekerjaan dan gaji diagihkan dengan adil kepada seluruh rakyat tanpa meminggirkan sesiapa pun.
17. Penganalisis ekonomi yang juga bekas Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fauzi Jani melalui laporan Berita Harian pada 28 Mac 2019 menyeru kerajaan menyediakan lebih banyak saluran pemasaran alternatif seperti perniagaan dalam talian serta menambah pusat perniagaan komuniti.
18. Tambah beliau, pusat zakat juga perlu memikirkan cara terbaik untuk mengusahakan tanah wakaf yang sesuai untuk dijadikan pusat untuk komuniti berniaga dengan sewa yang rendah. Masyarakat juga digalakkan berjimat dengan konsep D.I.Y ( Do It Yourself ) dan kurangkan tekanan membeli keperluan makanan dengan menanam pelbagai jenis sayuran di tepi rumah. Ini akan memperbaiki dasar tenaga kerja menjadi lebih baik dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
19. Sementara itu, pakar ekonomi, Dr Barjoyai Bardai menyifatkan peluang harus diberikan oleh kerajaan secara pasaran terbuka dengan mengalakkan rakyat bekerja di luar negara. Tambah beliau, golongan profesional diperlukan terutamanya graduan lepasan universiti di dalam industri tempatan mahupun di luar negara dengan syarat mereka perlu sentiasa dipantau agar tidak menjadi mangsa kepada majikan yang ingin mengambil kesempatan.
Mohamad Firzan Hakimi
12 April 2020