“ Sejak berdekad lamanya, majikan masih mahu menggunakan alasan kelembapan pertumbuhan ekonomi yang menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk meningkatkan kadar gaji pekerja, tetapi lama-kelamaan apabila diperhatikan, mereka telah mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang luar biasa. Pakar-pakar ekonomi pula sering membantah cadangan daripada pihak pihak yang menyeru supaya diwujudkan campur tangan kerajaan kerana pada mereka, ianya perlu diserahkan sepenuhnya kepada kuasa pasaran. Akhirnya, yang menjadi mangsa ialah pekerja “

Pada awalnya, Malaysia tidak ketinggalan dalam memanfaatkan dasar dasar yang turut digunakan oleh Korea Selatan, Singapura dan Taiwan yang mengamalkan konsep “gaji rendah, kos rendah“ sekitar 1970-an dan 1980-an kerana konsep ini merujuk kepada ekonomi yang harus dipacu berdasarkan nilai tambah barang eksport yang dihasilkan.

Tetapi ianya perlu berjalan seiring dengan usaha menarik minat pelabur membina kilang-kilang di sini. Malangnya, sambutan dan usaha itu seakan-akan gagal. Buktinya, kita boleh lihat jurang kadar kenaikan gaji pekerja di Malaysia jauh ditinggalkan negara negara yang pada awalnya menggunakan konsep asas yang sama.

Ianya bertambah parah apabila kenaikan harga barang yang naik mendadak tanpa menoleh kepada keseimbangan kadar kenaikan gaji. Kesannya, rakyat masih tidak selesa dengan keadaan yang berlaku kerana keperluan seharian khususnya makanan dan minuman masih menjadi masalah utama dalam menyara kehidupan di samping perlu juga memikirkan nasib ahli keluarga yang lain dirumah. Keadaan ini berbeza dengan kehidupan pekerja asing yang duduk secara kongsi, kemudian ahli keluarga juga di negara asal.

Kesannya ialah hampir keseluruhan nilai ekonomi yang berjaya dihasilkan oleh pekerja telah berada di dalam tangan pemilik syarikat yang akhirnya tidak dikongsi seadilnya, ini yang disebut sebagai perkongsian laba ekonomi yang semakin melebar. Kita mempunyai formula bagaimana kita ingin melihat nilai ekonomi sebenar yang dihasilkan kemudian dibandingkan dengan negara negara serantau mahupun negara-negara kuasa besar dunia dengan cara membandingkan nisbah jumlah bayaran gaji bersama nilai keseluruhan ekonomi berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam keadaan kita terus mencari asbab dan jalan bagi mendesak kerajaan melaksanakan dasar tenaga kerja yang tidak hanya memikirkan soal pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi hak dan kebajikan pekerja juga perlu menjadi agenda utama untuk difikirkan.

Khazanah Research Institute, dalam laporannya menyatakan sekitar 35% sahaja nilai perkongsian ekonomi di Malaysia. Ini bermakna, secara perkiraan mudahnya ialah setiap RM1 perkhidmatan yang dihasilkan, hanya 35% daripada jumlah itu digunakan untuk membayar gaji pekerja. 5% lagi akan digunakan untuk membayar cukai manakala selebihnya keuntungan yang dikaut oleh majikan. Manakala, negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, masing masing bernilai 53.4% dan 49.4%.

Adalah tidak adil untuk kita bandingkan nilai sebenar ekonomi yang dijana dengan mereka atas faktor kedudukan strategik dan keberkesanan kerajaan mereka dalam mengambil langkah awal. Tetapi malangnya, jika kita bandingkan dengan negara negara serantau yang pada awalnya menggunakan konsep yang sama pun jauh kita ditinggalkan kerana Singapura dan Korea Selatan, masing masing perkongsian ekonomi mereka bernilai 43.3% dan 44.5%.

Kita perlu mengakui walaupun ada permulaan usaha yang baik dilakukan oleh kerajaan menerusi dasar gaji minima yang diperkenalkan semasa pentadbiran Dato Seri Najib Tun Razak pada tahun 2013 yakni RM900 bagi semenanjung dan RM800 bagi Sabah dan Sarawak. Kemudian, ada penambahbaikan daripada kerajaan Pakatan Harapan yang menaikkan kepada RM1200 khusus di 57 bandar utama manakala selainnya kekal pada RM1100 tetapi langkah tersebut tidak cukup memadai kerana ianya tidak merangkumi pekerja secara keseluruhannnya.

Tambahan pula, jauh sekali untuk kita mencapai apa yang disarankan oleh Bank Negara yang memberi buah fikir supaya diwujudkan “living wage”  berdasarkan keperluan masyarakat. Sebagai contoh, Bank Negara yang menganggarkan RM2700 bagi golongan bujang di kawasan bandar, RM4500 bagi pasangan berkahwin tanpa anak serta RM6500 bagi pasangan berkahwin yang mempunyai 2 orang anak. Ini jauh lagi tersasar dari realiti yang sebenarnya berlaku.

Mengapa kita perlu menyelaraskan gaji pada satu kadar tertentu dalam jangka masa  yang pendek meskipun ianya baru satu permulaan dalam proses mencapai perkongsian ekonomi yang lebih baik? Ini kerana kita perlu melihat konteks yang lebih meluas khususnya produktiviti yang semakin meningkat tetapi gaji pekerja tetap pada paras yang sama. Buktinya, Keluaran Dalam Negara Kasar telah meningkat dari masa ke semasa, walaupun peningkatan itu tidak melebar. Ianya menggambarkan majikan juga mendapat keuntungan hasil daripada produk yang berjaya dieksport dan dijual dalam pasaran domestik.

Seterusnya, ianya akan menggalakan kenaikan permintaan agregat domestik kerana pekerja akan mempunyai kuasa beli yang lebih besar dalam membantu melonjakkan pertumbuhan ekonomi. Secara tidak langsung, ia juga dapat mengurangkan jurang pendapatan yang semakin melebar di antara golongan B40, M40 dan T20 kerana yang penting ia sampai kepada golongan yang disasarkan seperti orang Melayu miskin di desa, orang India miskin di estet, orang Cina miskin di bandar-bandar dan rakyat Sabah serta Sarawak di pendalaman.

Tidak adil bagi mana-mana pihak untuk menolak mentah-mentah pandangan bahawa keperluan campur tangan kerajaan pada ketika ini dalam menentukan kadar kenaikan pekerja supaya hak dan kebajikan para pekerja pada masa hadapan lebih terjamin. Langkah ini bukan baru diperkenalkan atau baru dibicarakan, malah Singapura sudah lama mengamalkannya sehingga kita dapat melihat kejayaan mereka pada hari ini dari sudut pengkongsian laba ekonomi yang semakin seimbang di antara majikan dan pekerja.

Persoalannya, apakah kunci utama kejayaan Singapura boleh sampai ke tahap begitu? Sedangkan kita sedia maklum, pada awalnya konsep yang diamalkan sama seperti di Malaysia. Mereka telah mewujudkan satu kumpulan daya fikir untuk menangani masalah ini, hasilnya satu kaedah telah diperkenalkan, yang dikenali sebagai tripartite, satu istilah yang sering digunakan dalam golongan akademik. Ianya bermaksud satu permuafakatan bersama di antara kerajaan, majikan dan pekerja bagi menjamin ada kenaikan yang munasabah meskipun apa jua keadaan semasa ekonomi negara.

Profesor Emeritus Lim Chong Yah, seorang ahli ekonomi ternama dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura menceritakan pengalaman beliau semasa menjadi Pengerusi pertama Majlis Gaji Kebangsaan Singapura menerusi bukunya yang berjudul “Singapore’s National Wages Council: An Insider’s View” menyatakan bagaimana rudingan kenaikan gaji pekerja diwujudkan dengan kerjasama daripada pihak kerajaan, majikan dan pekerja. Katanya, kesemua pihak yang terlibat perlu saling memahami dan bertolak ansur kerana ianya memberi jaminan tidak akan merugikan mana mana pihak.

Sebagai contoh, jika dalam tahun tersebut, pertumbuhan ekonomi meningkat, maka majikan perlu mengambil sikap bertanggungjawab menaikkan gaji pekerjaan berdasarkan kemampuan mereka. Begitu juga jika sebaliknya berlaku, pekerja pula perlu bertolak ansur untuk dikurangkan kadar kenaikan gaji berbanding sebelum berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang tidak memberangsangkan. Hasilnya, Singapura telah berjaya melonjakkan gaji bulanan purata pekerja daripada S$328 sebulan sekitar tahun 1970 kepada S$2352 sekitar tahun 1996.

Mengapa tidak Malaysia juga turut mengikuti langkah yang sama, jika Singapura boleh melakukannya? Tetapi ianya perlu bermula dengan kesatuan sekerja yang kuat, jika ini gagal maka sukar untuk melanjutkan kepada proses-proses yang lain. Ada satu kajian di Amerika Syarikat, yang dikenali sebagai Rosenfeld, Denice and Laired menyatakan antara sebab utama mengapa kenaikan gaji swasta berjalan agak perlahan, kerana kesatuan kerja yang lemah.

Ianya mengambil masa yang agak lama untuk kita mendidikan dan memberi pendedahan kepada pekerja tentang pentingnya berkesatuan sesama pekerja dalam memperjuangkan hak dan kebajikan mereka tanpa perlu rasa gentar dan bimbang.

Jika Singapura mempunyai Majlis Gaji Kebangsaan, Malaysia juga milikinya tetapi ianya sedikit lewat diperkenalkan iaitu Majlis Perundingan Gaji Negara 2011. Malangnya badan khas itu diletakkan di bawah Kmenterian Sumber Manusia, ianya menggambarkan bahawa badan ini masih tidak bebas daripada elit penguasa dan akhirnya ketelusan mereka dalam menentukan dasar-dasar tertentu akan dipersoalkan kelak.

Konsep asasnya mungkin sama apa yang diwujudkan oleh Professor Emeritus  Lim Chong Yan. Tetapi corak perlaksanaan yang berbeza. Tidak mustahil, perkembangan nilai laba ekonomi negara semakin meluas jika badan khas ini bebas dan diberikan ruang sepenuhnya untuk menentukan kadar kenaikan gaji pekerja berdasarkan pertumbuhan ekonomi pada masa berkenaan. Syaratnya, badan itu harus mempunyai integriti dan kejujuran dalam melaksanakan tugas.

Kesimpulannya, kerajaan perlu memperkenalkan dasar campur tangan dalam bentuk muafakat atau satu akta undang-undang yang diwujudkan supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan atas kekhilafan yang dilakukan seperti apa yang berlaku sebelum ini. Ianya perlu berjalan seiring dengan proses pertumbuhan ekonomi. Di samping, pekerja juga perlu meningkatkan kemahiran dan tahap pendidikan mereka. Kita perlu sedar bahawa sebesar mana pun bantuan yang diberikan oleh kerajaan, ianya hanya sia-sia jika tidak diusahakan juga oleh para pekerja untuk terus meningkatkan kuantiti dan kualiti produktiviti.

 

FIRZAN HAKIMI,
Aktivis Mahasiswa Keadilan Malaysia.

Leave a Reply