Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada pertandingan ‘Tiktok’ dan “Mak Cik Kiah Contest” dijalankan oleh YB Dato Dr Noraini Ahmad di Facebook rasmi beliau.
PKPIM kesal dan kecewa terkait penganjuran pertandingan ‘Tiktok’ dan pertandingan Mak Cik Kiah yang dijalankan. PKPIM berpandangan tindakan ini menunjukkan pihak Kementerian umpama mati akal dalam mengusahakan aktiviti bermanfaat bagi mengisi masa lapang mahasiswa ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan.
PKPIM menegaskan, mana-mana pemimpin yang mengetuai Kementerian Pengajian Tinggi bertanggungjawab memastikan kebajikan mahasiswa terjaga di samping menyuburkan budaya ilmu serta memelihara kapasiti intelektual mahasiswa di universiti.
Sewajarnya, pihak KPT wajar menggalakkan aktiviti yang lebih bermanfaat seperti galakan membaca, menulis, menganalisis dan terlibat dalam aktiviti yang mampu memberi nilai tambah kepada mahasiswa bukannya menyebarkan budaya hedonisme.
Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM menyarankan pihak agar KPT seharusnya segera memberi penumpuan utama dan langkah konkrit terkait kepentingan mahasiswa, pensyarah dan juga universiti sekiranya wabak ini berlarutan.
Ini termasuklah perkara-perkara berkaitan permasalahan proses pembelajaran dalam talian yang sedang dijalankan di beberapa universiti dan pelan pergerakan pulang ke kampus. Kegagalan pihak KPT untuk bersiap-siaga dan prihatin dalam isu ini dibimbangi akan menyebabkan proses kuliah akan terjejas.
PKPIM juga berharap pihak KPT agar bersiap sedia menghadapi implikasi selepas wabak ini selesai. Implikasi ini terkait permasalahan kesihatan mental akibat berlakunya proses pembatasan sosial yang lama dan masalah pengangguran dan kebolehpasaran graduan kerana ketidakstabilan ekonomi yang dijangka melanda dunia yang bakal menyebabkan peluang pekerjaan merosot akibat daripada pandemik ini.
PKPIM memuji para mahasiswa dan universiti yang mengambil inisiatif berkesan dalam tempoh PKP. Ini termasuklah menyediakan PPE buat pasukan perubatan, penghasilan teknologi baru, berkhidmat sebagai sukarelawan dan menjalankan kajian untuk membantu membendung penularan wabak ini.
PKPIM akan terus memainkan peranan melaksanakan aktiviti bermanfaat ketika tempoh PKP ini. Ini termasuklah memanfaatkan media sosial dengan aktiviti bedah buku dan diskusi selain membantu para mahasiswa yang terjejas akibat daripada situasi pandemik ini.
PKPIM sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kebajikan mahasiswa dan bakal graduan tidak diketepikan semasa dan selepas wabak pandemik berlaku ini.
HIDUP BIAR BERJASA
AHMAD FARHAN BIN ROSLI,
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)