Oleh: Farhan Rosli
Saya mencadangkan pihak kerajaan menimbang bagi melantik seorang Senator mewakili golongan Mahasiswa Di Dewan Negara bertujuan membawa suara mahasiswa secara terus untuk dibincangkan Di Parlimen.
Kerajaaan baharu Malaysia di bawah pimpinan Tun Mahathir digesa mengambil peduli dan tidak mengetepikan suara dan peranan Gerakan Mahasiswa dalam pelaksanaan dasar dan agenda reformasi kerajaan terutama dalam hal ehwal pendidikan tinggi dan pembangunan Mahasiswa.
Saya berpandangan sewajarnya Gerakan Mahasiswa harus diberikan ruang seluasnya bagi mengemukakan cadangan penambaikan universiti serta isu berkaitan kebajikan mahasiswa seperti penyaluran biasiswa, hak Kebebasan mahasiswa serta autonomi Universiti.
Cadangan memansuhkan Akta Universiti & Kolej Universiti 1971(AUKU) dalam manifesto Pakatan Harapan juga harus melibatkan penyertaan aktif Gerakan Mahasiswa.
Gerakan Mahasiswa pada pandangan saya lebih bersifat kemahasiswaan berbanding Majlis Perwakilan Pelajar yang dilihat makin lemau kerana peranan mereka diminimunkan kepada perkara-perkara kebajikan semata jauh sekali daripada idea-idea membangun idealisme dalam kalangan mahasiswa.
Gerakan Mahasiswa telah membuktikan sumbangan besar pada negara idea awal penubuhan UIAM pada 1971 melalui Kongres Kemajuan Islam Se-Malaysia anjuran PKPIM dan idea awal penubuhan UKM yang dilontarkan PBMUM dan PKPIM.
Saya percaya Gerakan Mahasiswa mempunyai keunikan tersendiri berbanding Majlis Perwakilan Pelajar.
Gerakan Mahasiswa adalah organisasi yang tidak ditubuhkan oleh universiti mahupun kerajaan sebaliknya adalah suatu ketumbukan kekuatan yang hadir dari denyut nadi kerakyatan yang dipupuk lewat kesedaran untuk menyumbang kepada suasana universiti yang lebih kompeten dan keinginan melahirkan generasi Mahasiswa yang punyai ketahanan Politik serta watak reformis.
Justeru, kerajaan digesa mengiktiraf sumbangan gerakan mahasiswa dan melibatkan Gerakan Mahasiswa Dalam perkara melibatkan kepentingan mahasiswa.
Pengiktirafan sumbangan dan jasa Gerakan Mahasiswa juga wajar dimasukkan dalam Sejarah panjang Rakyat Malaysia.
Cadangan ini pernah dilontarkan oleh Dato’ Saifuddin Abdullah ketika beliau menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pada 2012.
Sewajarnya cadangan ini diteruskan oleh kepimpinan terkini dan aktivis Gerakan mahasiswa diseru bersama-sama berpartisipasi menjayakan agenda ini agar sejarah perjuangan kemahasiswaan tidak lapuk ditelan zaman.
Ahmad Farhan Bin Rosli
Exco Penerangan & Penyelidikan,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sesi 2016/2018.