Sebagai Mantan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) , saya menzahirkan kekecewaan atas apa yang telah berlaku.

MPPK merupakan badan tertinggi Mahasiswa yang menjadi tunjang kepada suara dan kepentingan mahasiswa.

Atas dasar itu, mersyuarat MPPK menjadi medan pertembungan hujah perwakilan pelajar dari seluruh IPT di Malaysia bagi membawa isu yang melibatkan mahasiswa dan pendidikan negara.

Dan buktinya, kesungguhan pimpinan mahasiswa dahulunya, telah berjaya membawa banyak perubahan khusus kepada mahasiswa terutamanya kejayaan mendapatkan bantuan Kad Debit Siswa 1 Malaysia,serta Subsidi 40% kepada mahasiswa bagi tambang pengangkutan awam & KTM.

Sudah pasti perkara-perkara ini tidak mampu dicapai tanpa penglibatan semua pimpinan mahasiswa.

Lantas, kelesuan pimpinan MPPK akan membuka ruang kepada perpecahan kumpulan mahasiswa yang akan berdiri atas pelbagai alasan dan justifikasi mereka. Buktinya, wujud pula kumpulan Kesatuan Perwakilan Pelajar Malaysia (KPPM) baru-baru ini.

Yang pastinya, ini adalah tamparan hebat.

Saya juga memahami keluhan yang disampaikan ini memandangkan saya juga pernah berada di tampuk pimpinan tertinggi dahulu. Maka, tidak patutlah pimpinan tertinggi MPPK terus menyangkal dan menempelak rintihan ini.

Kekuatan MPPK tidak hanya bergantung kepada Pengerusi/Presiden semata-mata. Ianya memerlukan kekuatan sepasukan yang berkongsi niat yang sama, iaitu membela nasib mahasiswa.

Dalam mendepani keadaan ekonomi, geo-politik yang tidak stabil, serta pasaran pekerjaan yang mengecil, ianya menjadi cabaran buat kepimpinan Mahasiswa khususnya MPPK bagi membina acuan dan membawa suatu idea yang segar.

Apa pun, MPPK perlu segera bangun dari lena. Bangun dan bangkit dari kepompong keselesaan dan pagar birokrasi politik yang menyekat.

MPPK perlu segera bertindak jika mahu masih dihormati sebagai wadah suara mahasiswa. Jika kepimpinan MPPK terus berdiam dan hanya menjadikan kedudukan serta jawatan ini sebagai satu jawatan ‘suka-suka’ maka, mahasiswa tidak lagi akan bergantung harap dengan anda.

Saya yakin, rata-rata YDP dan kepimpinan MPPK kini tidak diberikan ruang yang sepatutnya oleh kerajaan. Menurut sumber, mesyuarat MPPK juga kini dikuasai kumpulan mahasiswa daripada beberapa NGO yang disokong kuat parti kerajaan malah pimpinan tertinggi juga seakan dikunci mulut mereka.

Ini bukan soal politik, ini soal kredibiliti dan kepentingan mahasiswa yang perlu segera diperjuangkan.

Kepada pimpinan mahasiswa hari ini khususnya MPPK, bangkitlah demi mahasiswa kerana anda adalah golongan yang dipilih dan bukannya dilantik.

Maka, pastikanlah maruah dan suara anda didengari dan janganlah pula begitu mudah menyerah dalam membawa suara mahasiswa kerana anda telah berjanji untuk menjalankan amanah ini.

“Daripada mahasiswa, kepada mahasiswa”

Farhan Khairuddin
Mantan Presiden MPPK
2015-2016

Leave a Reply