Pada 14 Februari 2020, Pasukan Pendaftaran dari Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi yang ditugaskan untuk pendaftaran pelajar antarabangsa telah menarik diri secara beramai-ramai sebagai tanda protes selepas menerima layanan yang buruk daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar, pihak International Student Centre (ISC), Pusat Teknologi Maklumat (PTM) dan the Academic Administration and Services Centre (AASC) Universiti Malaya.
Kenyataan ini bukan untuk menjadi pejuang atau radikalis untuk merombak seluruh sistem. Namun begitu, aspek yang paling penting ialah ketidakpuasan hati kami terhadap pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) berpunca daripada keengganan mereka untuk menghormati mahasiswa selayaknya.
Pada tahun 2019, HEP dan ISC telah mendapatkan bantuan pasukan ini untuk membantu proses pendaftaran pelajar pertukaran antarabangsa (dikenali juga sebagai i-WOW) yang tidak sama dengan UM-WOW, yang dijalankan oleh kolej-kolej kediaman lain.
Hal ini telah berlaku tanpa perbincangan dua hala bersama para ahli pasukan untuk sebarang bentuk penghormatan yang dapat diberikan oleh pihak HEP dan ISC setelah pasukan ini telah menghabiskan saki baki cuti mereka di kolej kediaman. Ini jelas menunjukkan ketidakrelaan pihak HEP untuk menghormati autonomi dan integriti mahasiswa dalam kampus. Ahli-ahli yang baharu hampir menarik diri dan seluruh pasukan memulangkan semula baju percuma diberikan oleh pihak ISC selepas tidak tahan lagi dengan layanan buruk terhadap ahli pasukan ini. Pihak Kolej akhirnya bersetuju selepas perbincangan dengan bekas barisan JTK 18/19 yang membawa kepada satu keputusan untuk memberikan sijil penghargaan.
Sehingga hari ini, pasukan tersebut tidak mendapat lagi sebarang respon daripada pihak HEP tentang perkara ini. Ini jelas menunjukkan tidak hormat kepada mahasiswa yang telah berbakti kepada kolej dan universiti.
Secara teknikalnya, HEP (baca: Pengetua) bertindak atas ‘kapasitinya’. HEP ‘memegang’ kolej. HEP mempunyai hak untuk memindah-mindah mahasiswa sesuka hati dan banyak lagi kerana mereka mempunyai ‘hak’ ke atas kolej kediaman. HEP menggerakkan kolej seperti mana kolej-kolej kediaman lain dioperasikan. HEP merekrut sukarelawan mahasiswa sebagai ‘pekerja kontraktor’ yang akan menguruskan program tanpa bayaran dengan layanan buruk. Walhal sukarelawan ini telah menguruskan pendaftaran pelajar baru, membersihkan bilik-bilik mereka dan mengedarkan makanan kepada mereka. Dari sudut ekonomi, kesukarelawanan amatlah dihargai oleh ‘majikan’ ini kerana ‘kos buruh’ adalah rendah (malah TIDAK ADA LANGSUNG) dan pelaburannya hanyalah terhad kepada pemberian makanan dan tempat tinggal. Kesukarelawanan inilah yang dimaksudkan HEP dan tidak langsung menghormati sukarelawan mahasiswa.
Mungkin kami naif, memikirkan perkara ini secara sebaliknya. Kami melihat mahasiswa sebagai penghuni kolej yang perlu diberikan penghormatan yang sepatunya bagi khidmat bakti mereka kepada Kolej. Kami melihat perkongsian ruang kolej dengan pelajar yang dikuarantin sebagai satu cara untuk memastikan keselamatan dan kesihatan komuniti kampus yang lebih besar sebagai satu tindakan yang sangat tidak wajar. Benar, kami masih lagi berpendapat bahawa Kolej ‘dimiliki’ oleh komuniti mahasiswa-mahasiswa yang usahanya telah membuat kolej ini menjadi satu kolej yang terkenal dalam UM. Ditubuhkan dua puluh dua tahun lepas sebagai Kolej untuk pelajar tempatan, Kolej ini kini telah menjadi ‘Home for the Exchanged’. Mahasiswa kolej ini telah memainkan peranan yang begitu penting dalam menaikkan nama kolej sebagai kolej antarabangsa UM.
Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi adalah rumah kita semua. Perkara ini haruslah berlaku dalam satu suasana di mana tidak ada paksaan kepada para mahasiswa untuk menjadi barisan hadapan dalam proses kuarantin pelajar dari negara lain. Semoga Tuhan melindungi kita semua daripada niat jahat pihak lain. Sementara itu, HEP sedang mencari pengganti baharu, mengisi semula kekosongan tenaga pekerja dan menyambung kerja-kerja mereka. Pelajar baharu, penyedia khidmat baharu. Urusan seperti biasa. Ini adalah hak mereka untuk berbuat sedemikian. Kolej itu mereka yang ‘pegang’. Atau, adakah mereka benar-benar yang ‘memegang’?
Farhan bin Amran
Farhan Amran – Mahasiswa UM Juga Punyai Nyawa