Gerakan Mahasiswa Kanan Ataupun Kiri Tahun 2020 Adalah Paling Lembik Dalam Sejarah.”
Farhan Amran
Aku pelik, aku khawatir. Adakah penanda aras untuk membuktikan mahasiswa hari ini masih keras dan bangkit adalah dengan cara turun protes ke jalan raya, mengangkat plakad, bermain retorik dan terus berkeras sehingga akar sebenar ke kampus tergadai?
Ini antara tomahan yang diberikan, membuatkan aku sedikit sayu mendengarnya.
Seperti yang disebutkan seorang individu, Mahasiswa hari ini sudah menjadi kelas masyarakat marjinal yang disisihkan daripada sebarang bentuk struktur yang bertanggungjawab membuat keputusan. Sebagai contoh, subjek utama kita adalah kampus. Apakah kita sudah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama ‘taikun-taikun’ besar Universiti dalam apa apa proses membuat keputusan? Kita seringkali dikategorikan sebagai ulat beluncas yang sedang dalam proses untuk keluar kepompong untuk terbang menjadi rama-rama. Mahasiswa hari ini sudah tidak lagi dihormati sebagai pemegang taruh yang mempunyai pengaruh besar dalam memperbetulkan keberadaan negara.
Aku salahkan politik. Budaya feudal yang telah menjadi sumbu pemacu kepada pembentukan negara telah menjahanamkan kemandirian mahasiswa itu sendiri. Kita meratib keperluan untuk mengubah masyarakat dan memajukan negara namun masih ada ramai yang mengiyakan layanan dangkal terhadap kita. Apakah perlu untuk kita tunjukkan taring yang sebenar-benarnya, baru lah kita dipandang serius?
Kita diminta untuk bangkit seperti mana mahasiswa-mahasiswi Thailand dan Indonesia bangkit menentang orba, elitis dan kapitalis. Namun sedikit yang memikirkan tentang kesatuan mahasiswa dan mahasiswi di dalam negara yang terpecah apabila perbezaan pandangan politik diletakkan sebagai seteru utama dan bukan kemandirian untuk berfikir dan bersatu tentang satu isu.
Istilah berdiri di dalam satu relung apabila mahasiswa ‘dipetik’ sudah tidak relevan apabila cukong-cukong politik mengawal naratif perjuangan mahasiswa pada hari ini.
Apakah kita bacul wahai Mahasiswa-Mahasiswi?
Apakah pendirian kita tersekat dengan limitasi akibat kebobrokan ahli politik yang hanya punya kepentingan peribadi?
Kita bukan lemah. Kita ini golongan terpelajar yang diberikan keistimewaan dan peluang untuk lebih kritikal dan terbuka, bukan menjadi pak turut atau macai yang hanya melunaskan nafsu serakah ahli politik atau elitis-elitis yang hanya melihat kita sebagai jambatan pengkaderan untuk kestabilan parti politaik mereka.
Iya, politaik. Mahasiswa yang benar-benar faham akan perjuangan mahasiswa akan akur bahawasanya politaik ini lah yang menghancurkan kemajuan kita sebagai penggerak kepada pembudayaan kritikal negara ini. Ada diantara kita yang boleh berdiri dan melaungkan laungan keramat ‘Hidup, Hidup, Mahasiswa’ tetapi masih mengemis wang dan recognition semata-mata menjaga perut sendiri namun lupa akan kepentingan kita untuk memastikan kampus menjadi tempat selamat untuk bersifat kritikal dan matang.
Buat yang diluar, jangan dicabar kebangkitan Mahasiswa. Kau ingat kami takut untuk melawan kezaliman dan penindasan? Jangan disiram api yang marak, jangan dicanai hati yang bergolak, kelak binasa merasakan penyatuan darah-darah muda yang sudah penat dengan politaik-politaik yang dimainkan dalam negara ini.
Buat mahasiswa-mahasiswi, bangkitlah komrad-komradku. Kita bangkit dan jahanamkan idealis-idealis yang tidak berpijak di bumi yang nyata ini. Jangan tunggu sehingga kita dihina, dijadikan alat baru kita hendak meratib sekali lagi bagaimana kita tidak dipandang setaraf bersama yang lain. Sedarlah kita akan selamanya mandiri dan akan kekal menjadi punca kuasa yang akan memecahkan politaik bodoh yang dimainkan di dalam negara.
Jujur dan ikhlas,
Farhan Amran (Demokrat Universiti Malaya)