Baru-baru ini tular di media sosial satu gambar yang memaparkan data ‘Top 10 Sugar Baby Universities in Malaysia’. Jelas pada data ini bahawa wujudnya keterlibatan mahasiswa secara langsung dalam aktiviti pelacuran yang dibayar dengan harga-harga tertentu oleh pelanggan.
Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Sosial (SKMM) pada 16 Februari telah menyekat laman sesawang Sugarbook dari diakses oleh awam. Tindakan ini harus diberi pujian kerana ia langkah tepat bagi menunjukkan keprihatinan pihak berautoriti terhadap suara rakyat.
Namun wujud persoalan besar, adakah dengan mengharamkan aplikasi atau laman sesawang yang menawarkan khidmat pelacuran ini menyelesaikan masalah secara keseluruhan?
Jawapannya, mungkin ya dan mungkin tidak.
Artikel ini tidak sama sekali membahaskan isu ini dari aspek agama, bahkan umum mengetahui ia melanggar norma kebiasaan manusia. Lantas, mari kita melihat pada dimensi sosial yang menjadi faktor keterlibatan mahasiswa ke dalam kancah ini.
Pertama, mengharamkan Sugarbook boleh menyelesaikan masalah namun ia adalah penyelesaian bersifat segera dan sementara yang hanya mampu menghentikan sebahagian daripada aktiviti sebegini. Kita perlu sedar bahawa bukan Sugarbook sahaja yang menjadi platform aktiviti sebegini bahkan ia boleh berlaku di laman Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain platform media sosial perdana. Soalnya, sama ada perkara ini diketahui oleh orang awam atau tidak sahaja. Maka, untuk mengatakan bahawa Sugarbook adalah punca berlakunya aktiviti pelacuran sangat tidak tepat, namun tidak menafikan pengharaman Sugarbook adalah langkah awal dalam membendung masalah ini.
Kedua, pengharaman Sugarbook juga bukan penyelesaian secara keseluruhan kerana boleh jadi punca berlakunya aktiviti ini bukan pada syarikat tersebut, bahkan kemungkinan kewujudan syarikat tersebut adalah disebabkan wujudnya permintaan dari orang awam. Di sini kita akan meluaskan pola pemikiran dengan melihat punca utamanya adalah pada permintaan orang awam. Moraliti masyarakat adalah punca kepada wujudnya syarikat-syarikat sebegini. Mana mungkin sesebuah syarikat mampu bertahan jika tidak ada permintaan dari pelanggan secara berterusan.
Dengan mencerakinkan punca-punca ini kepada beberapa aspek, pasti kita tidak akan tertumpu untuk menyalahkan syarikat tersebut semata-mata tanpa menafikan kewujudan syarikat sedemikian menyalahi norma kebiasaan masyarakat. Namun, wujud beberapa aspek yang lebih mustahak untuk kita tangani. Paling utama adalah soal moraliti masyarakat. Jika, masyarakat benar-benar menyedari betapa jijiknya aktiviti ini, wujudlah seribu dua laman sesawang sekalipun, pasti masyarakat akan menghindari bahkan menentang kewujudannya seawal mereka mula beroperasi.
Bagaimana mahasiswa terlibat?
Pertama, ramai sekali mengulas di laman sosial bahawa mahasiswa terlibat ke kancah ini disebabkan kehendak diri sendiri yang ingin merasa hidup mewah. Mereka sanggup menggadai kehormatan diri demi wang ringgit.
Kedua, ada juga yang berpandangan bahawa kesempitan ekonomi punca mahasiswa terjebak. Punca ini juga boleh diterima akal selepas melihat kos sara hidup yang tinggi dan bebanan-bebanan ekonomi yang ditanggung oleh mahasiswa. Maka, aktiviti ini merupakan langkah segera bagi mereka yang terlibat untuk mendapatkan wang bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Secara konkrit, kita tidak lagi menemukan punca yang jelas kerana masih belum ada dapatan data dan kajian yang boleh disandarkan. Artikel ini mengajak kita semua untuk melihat dimensi yang berbeza dan tidak mudah menyalahkan mana-mana pihak. Tidak dapat tidak, kita harus kenalpasti dahulu punca utama antara moraliti masyarakat, kesempitan ekonomi atau lain-lain punca yang menjadi faktor wujudnya keterlibatan masyarakat secara umum atau mahasiswa secara khusus di dalam aktiviti pelacuran ini sebelum kita mulakan perbincangan jalan penyelesaian.
Ingat, tiada jalan penyelasaian yang tuntas selagi kita tidak kenalpasti punca utama masalah.
Mengharamkan Sugarbook akan jadi penyelesaian utama jika kita mampu membuktikan bahawa kewujudan Sugarbook ini adalah punca utama kepada wujudnya aktiviti pelacuran.
Fakhril Zaidi
Yang Dipertua,
Belia Harmoni Universiti Malaya 20/21.