BEBALISME DALAM MEMAHAMI MA63
Perjanjian Malaysia 1963 atau ‘Malaysia Agreement 1963’ (MA63) merupakan satu perjanjian antarabangsa yang sah di sisi undang-undang dan satu dokumen penting yang menjadi asas dalam sejarah pembentukan Malaysia. Perjanjian ini telah ditandatangani pada 9 Julai 1963 di London oleh wakil daripada United Kingdom, Northern Ireland, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura. Terdapat 11 perkara utama dan disusuli dengan lampiran Memorandum 18/20 Perkara yang menjadi intipati yang harus dipatuhi dan ditunaikan oleh semua pihak yang menandatangani perjanjian tersebut agar hak dan kebajikan semua pihak terjamin dan terlaksana dengan adil dan saksama.
Namun sejak kebelakangan ini, intipati perjanjian tersebut sering kali disalah tafsir oleh segelintir politikus yang lantang bersuara untuk menjadi figura hero di mata masyarakat demi mendapat ‘political mileage’ atau laba politik demi kepentingan peribadi atau parti politik yang diwakilinya. Rakyat marhaen yang malas membaca dan tebal dengan setimen kenegerian pula percaya secara membuta tuli dengan apa yang dicanangkan oleh politikus-politkus tersebut tanpa usul periksa. Perjanjian itu tidak seharusnya dipolitikkan dan ditafsir mengikut hawa nafsu tetapi hendaklah diintepretasikan melalui perspektif perundangan dan sejarah sahaja. Setiap pencabulan yang berlaku ke atas MA63 harus dibuktikan dengan jelas dan diteliti secara holistik agar hak-hak yang terhakis dikembalikan semula selaras dengan intipati MA63 dan Memorandum 18/20 Perkara. Sekiranya hanya sekadar lantang menyuarakan tuntutan tanpa bukti yang kukuh maka tindakan tersebut hanyalah perbuatan yang sia-sia kerana tidak akan membuahkan hasil malahan kita akan bertindak merampas apa yang sepatutnya bukan menjadi milik kita.
Sesetengah ahli politik mendakwa bahawa pindaan perlembagaan persekutuan pada tahun 1976 telah melanggar ‘semangat asal’ MA63 iaitu menurunkan status Sabah Sarawak daripada ‘rakan sekutu’ kepada ‘anak’ setaraf dengan negeri-negeri lain. Namun ini adalah kesilapan intepretasi yang besar kerana menurut Perkara 1 Perjanjian Malaysia 1963:
“The Colonies of North Borneo and Sarawak and the State of Singapore shall be federated with the existing States of the Federation of Malaya as the States of Sabah, Sarawak and Singapore in accordance with the constitutional instruments annexed to this Agreement and the Federation shall thereafter be called “Malaysia”.
Istilah ‘federated’ dan ‘state’ jika ditafsir secara literal membawa maksud disekutukan dan negeri, ini bermakna Sabah dan Sarawak telah disekutukan bersama setaraf dengan negeri-negeri lain yang menjadi anggota Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Persekutuan Malaysia. Perkara ini juga jelas memberikan kuasa perundangan ‘negeri’ kepada Sabah dan Sarawak serta membuktikan status Sabah Sarawak adalah sebuah negeri bukan menyamai keseluruhan semenanjung sebagaimana yang didakwa oleh segelintir politikus dan aktivis. Namun dari segi autonomi Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa yang lebih berbanding negeri lain dan perbezaan pembahagian kuasa ini diterima melaului perbahasan di Parlimen dan dikenali sebagai ‘asymmetrical federalism’. Melalui Memorandum 18/20 Perkara, Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi sendiri dalam bidang imigresen, agama, bahasa dan lain-lain. Perkara 11 MA63 turut menyatakan:
“This Agreement shall be signed in the English and Malay languages except that Annexes shall be in the English language only. In case of doubt the English text of the Agreement shall prevail.”
Perkara 11 perjanjian MA63 jelas menyatakan bahawa sekiranya timbul sebarang kekeliruan dalam mentafsir intipati kandungan perjanjian itu maka naskah versi bahasa Inggeris akan digunapakai dari segi keabsahananya. Tambahan pula, sekiranya pindaan Perkara 1(2) ini terlaksana ia akan mengubah struktur kerajaan Malaysia daripada federalisme kepada konfederasi dan ini berkontradiksi dengan kandungan MA63 yang asalnya untuk membentuk sebuah kerajaan federalisme.
Tidak dinafikan sejak daripada pembentukan Malaysia 16 September 1963 sehingga kini wujud beberapa perlanggaran terhadap MA63 yang sepatutnya dipatuhi oleh semua pihak. Namun lama-kelamaan hak-hak dan autonomi Sabah dan Sarawak mula terhakis secara perlahan sama ada melalui proses federalisme, ketegangan hubungan kerajaan pusat dan kerajaan negeri, pindaaan perlembagaan serta kandungan MA63 yang tidak diimplementasikan sepenuhnya menjadi punca timbulnya isu pencabulan MA63. Selain itu, campurtangan persekutuan dalam krisis dalaman politik negeri Sabah dan Sarawak dari tahun 1963 hingga 1994 telah mengukuhkan lagi hegemoni kerajaan persekutuan di peringkat negeri sehingga berlaku ketirisan dalam pentadbiran dan ini telah menyukarkan lagi usaha untuk memberikan sepenuhnya hak-hak dan kuasa autonomi seperti yang diperuntukkan dalam MA63. Isu pencabulan MA63 ini juga timbul disebabkan oleh rasa ketidakpuasan hati rakyat Sabah dan Sarawak terhadap jurang pembangunan yang terlalu besar antara negeri mereka dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.
Namun demikian, tuntutan ke atas hak-hak yang didakwa telah dicabuli dalam MA63 ini hendaklah diperhalusi dengan teliti agar hak-hak yang dikembalikan semula itu bersifat substantif dan komprehensif agar selaras dengan kandungan asal MA63. Sesungguhnya isu MA63 ini merupakan satu isu yang kompleks dan perlu difahami dengan hati yang terbuka tanpa melibatkan emosi dan semangat kenegerian. Masalah ini juga tidak selesai jika hanya dengan meminda Perkara 1(2) perlembagaan iaitu dengan hanya menukar status negeri Sabah dan Sarawak kepada status yang tidak jelas serta tidak memberi apa-apa impak yang signifikan terhadap pembangunan di Sabah dan Sarawak. Oleh itu langkah yang terbaik adalah menyemak semula ketirisan yang berlaku dalam urus tadbir sistem federalisme di Malaysia dan terus kepada mekanisme pelaksanaan agar setiap intipati MA63 berjaya dilaksanakan sepenuhnya dan memenuhi aspirasi sebenar rakyat Sabah dan Sarawak pada hari ini.
Fairus Al-Haj
25.12.2019
RUJUKAN
Jurnal
- Rahman Tang Abdullah, Pandikar Amin Haji Mulia. 2018. Isu Perjanjian Malaysia 1963 dan Hak Autonomi Sabah dan Sarawak Dalam Konteks Sejarah dan PRU-14, Jurnal Borneo Arkhailogia.
Nurhafilah Musa. 2019. Ulasan Perundangan Pindaan Perkara 1(2) PerlembagaaN Persekutuan, Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Artikel
Kupasan Sejarah: Perjanjian Malaysia 1963. 2018. Perdana Digital: Pejabat Perdana Menteri.
Internet
Berita Harian. Pembangkang Tolak Pindaan Jika Hanya Sentuh Status Sabah dan Sarawak. https://www.bhplus.com.my/berita/nasional/2019/04/550757/pembangkang-tolak-pindaan-jika-hanya-sentuh-status-sabah-sarawak. 9 April 2019.