Semasa di IDEAS, Wan Saiful dan kumpulannya antara yang tidak bersetuju dengan idea ‘gaji minima’ antara alasan yang diberikan adalah kerana tindakan meletakkan gaji minima ini akan membahayakan orang miskin. Pelbagai alasan dan ulasan dikemukakan, untuk menjaga orang miskin daripada terus tertindas dengan perlaksanaan gaji minima ini.
Namun hari ini, orang miskin pula bakal ditindas oleh Wan Saiful melalui PTPTN. Dengan hanya pendapatan dibawah gaji minima (RM1,100), RM 1,000 sebulan, graduan yang meminjam dengan PTPTN akan berhadapan dengan pemotongan gaji secara berjadual.
Dengan adanya penetapan gaji minima RM 1,100 pun Menteri Kewangan melalui PTPTN boleh meletakkan graduan berpendapatan RM 1,000 akan dipotong gaji mereka. Apatah lagi sekiranya tiada penetapan gaji minima seperti yang digesa oleh Wan Saiful kita tidak tahu apa polisi yang bakal terjadi.
Jika dilihat Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), pendapatan isi rumah yang mempunyai RM 940 sebulan itu dikira sebagai miskin bagi kawasan bandar di semenanjung dan RM 1,160 di Sabah serta RM 1,040 di Sarawak. Inilah ukuran PGK yang dilaksanakan pada September 2015.
Ini menunjukkan pendapatan RM 1,000 adalah pendapatan bagi orang miskin. Namun, PTPTN meletakkan RM 1,000 ini sebagai Pendapatan Garis Mampu untuk membayar hutang PTPTN. Bukankah ini suatu kezaliman meletakkan kemampuan pada bukan tempatnya?
Maka, adalah disarankan kepada pihak PTPTN untuk mengkaji semula dan menarik balik cadangan perlaksanaan ini. Kerana perlaksanaan ini telah melanggar semangat untuk membantu golongan miskin dengan mengenepikan gaji minima RM 1,100 dan Pendapatan Garis Kemiskinan RM 940-RM 1,160.
Wan Saiful sebagai seorang Islam harus mengamati seuntai ayat Al-Quran dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud :
“Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia lapang (mampu), dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu lebih baik bagi kalian, jika kalian mengetahui.”
Bukanlah penulis mahu Wan Saiful sedekah duit PTPTN, namun, tangguhlah ia kepada satu Garis Pendapatan yang lebih realiti dan mampu. RM 1,000 sebagai garis mampu adalah melampau.
Bahkan terdapat saranan dari Hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari menegaskan orang yang mampu tidak boleh menangguhkan hutang.
“Penangguhan bayar hutang oleh orang yang mampu adalah satu kezaliman”
Perlu dicerahkan, dengan jelas disebutkan bahawa hutang itu wajib dibayar oleh orang yang mampu, dan jika orang yang berhutang itu tidak mampu adalah sangat baik diberikan tempoh sehingga dia mampu. Persoalan disini apakah RM 1,000 itu dalam kategori mampu? Jawabnya, tidak.
PTPTN harus mengemukakan satu mekanisma yang tidak melanggar Gaji Minima dan tidak pula melanggar PGK yang dilihat mereka yang berada dibawah ini merupakan kelompok yang tidak mampu.
Apatah lagi jika dibahaskan dengan lebih panjang terdapat juga tokoh tokoh yang mahu PGK ini dikaji semula dan dinaikkan nilainya kerana nilai sekarang tidak relevan dengan perkembangan ekonomi semasa.
Maka, eloklah rasanya PTPTN turut serta dalam kajian ini, bagi memastikan polisi yang dibuat benar-benar kena pada orang yang mampu bukannya orang yang tidak mampu. Sekali lagi, angka RM 1,000 ini bukan angka orang yang mampu. Mohon mencadang kepada Wan Saiful.
Ahmad Fahmi Mokhtar
Projek Anak Muda Islam – PAMI