Demokrasi adalah mercu tanda dan kebanggaan bagi negara-bangsa moden – ia umpama tiang sesebuah negara. Apabila berbicara soal demokrasi, tentunya ada banyak tafsiran.
Eksekutif, Legislatif dan Perundangan – tiga elemen yang selalu kita dengar apabila bercakap tentang konsep pemecahan kuasa. Ada mazhab berpegang kepada keadilan, kesaksamaan, kebebasan dan perwakilan. Perbezaan ini taklah terlalu ketara atau berlawanan. Masing-masing percaya bahawa demokrasi tertegak hasil kuasa rakyat, dari perwakilan rakyat untuk menyertai ruang legislatif. Bak mantera demokrasi, “Dari rakyat, kepada rakyat, untuk rakyat”.
Sudah tentu bila kita bercakap soal perwakilan dalam demokrasi, kita sedang menyentuh topik pilihanraya. Pilihanraya adalah mekanisme untuk mengangkat idea perwakilan sebagai tonggak demokrasi. Disebabkan demokrasi boleh wujud dalam pelbagai peringkat – negara, parti-parti politik, kesatuan-kesatuan, masyarakat madani, kampus-kampus.
Dalam artikel ini, kita akan berbicara soal pilihanraya dalam ruangan kampus universiti. Ada beberapa faktor kenapa penulis mengkhususkan skop perbincangan kepada pilihanraya kampus.
Pendidikan Awal Politik
Sebelum lulusnya UNDI 18 di Parlimen, ruang kampus merupakan platform buat belia, mahasiswa terutamanya, untuk terlibat secara terus dengan pilihanraya. Mahasiswa akan memilih perwakilan mereka, dalam bentuk Majlis Perwakilan Pelajar atau Kesatuan Mahasiswa – bagi berinteraksi, dan, bermesyuarat. Kadang-kadang sepanjang tahun perwakilan ini hanya tahu berbincangn tentang pemilihan baju korporat.
Mereka akan berkomunikasi dan berbalas hujah dengan pentadbiran universiti, dan sekali-sekali akan menekan kerajaan. Ertinya, perwakilan ini bukanlah hal kecil kerana ia melibatkan aspek sosial dan politik mahasiswa.
Sepertimana di peringkat negara, mahasiswa memiliki parti-parti politik kampus. Sama ada parti ini merupakan proksi parti politik nasional, dipengaruhi ideologi parti politik nasional, atau pilihan untuk mandiri dalam ruang politik kampus – itu perbincangan lain. Namun parti-parti ini wujud, sekalipun ia tak diiktiraf oleh pentadbiran Universiti seperti yang berlaku di kebanyakan kampus.
Dalam ruangan universiti, mahasiswa mendapat pendidikan awal politik. Mahasiswa jelas melihat bagaimana parti-parti ini berusaha memenangi hati pengundi lalu berbalah tentang bagaimana mereka mampu melakukan yang terbaik untuk mahasiswa di kampus. Bila pilihanraya tiba, calon-calon akan membentangkan manifesto mereka bersandarkan kepada idea besar parti mereka. Ya, sama saja seperti di luar sana.
Bezanya mungkin satu; adakah perwakilan hasil pilihanraya ini akhirnya membentuk satu kerajaan yang mandiri atau kumpulan pak turut. Telah disebutkan tadi bahawa perwakilan mahasiswa itu terbahagi kepada dua; Kesatuan Mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar. Perbezaannya tak hanya sekadar nama, tapi pada proses pilihanraya dan prinsip perwakilan secara asasi.
Kesatuan Mahasiswa atau Majlis Perwakilan Pelajar?
Sedari pembungkaman Kesatuan Mahasiswa pada 1970-an, perwakilan mahasiswa hanyalah dalam bentuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Dari sudut struktur, MPP diletakkan di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEPA). Ertinya, ia bertanggungjawab melaporkan kepada pentadbiran Universiti. MPP dipilih pelajar dalam pilihanraya kampus hanya untuk menjadi orang tengah kepada pentadbiran. Kewujudan MPP ini, pada pandangan penulis, menjadikan perwakilan mahasiswa itu pasif.
Parti-parti politik berbalah bagai nak rak tentang bagaimana hendak mewakili mahasiswa, namun akhirnya melutut di kaki pentadbiran. Polisi-polisi yang melibatkan hal ehwal mahasiswa semuanya diputuskan oleh pentadbiran. Perwakilan dalam sistem MPP ini hanyalah representasi tempang. Sekadar menjadi cukup syarat bahawa mahasiswa sudah memilih wakil mereka, namun hanya menjadi seperti lembu yang dicucuk hidungnya.
Maka, di manakah posisi pilihanraya kampus di sini? Hanya sekadar ritual memilih pak turut. Malah wang untuk menggerakkan proses pilihanraya juga diberikan oleh pentadbiran, lalu menampakkan lebih jelas keolok-olokan proses tersebut. Di manakah demokrasi jika begini realitinya?
Apakah perwakilan dalam Kesatuan Mahasiswa itu berbeza?
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi universiti pertama yang menubuhkan semula Kesatuan Mahasiswa dalam bentuk yang sah dan holistik. Kesatuan ini berdaftar secara sah di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Malaysia. Ini bererti ia menjadi entiti mandiri di universiti. Hubungannya dengan universiti juga berbeza dengan MPP. Kesatuan Mahasiswa tak berada di bawah universiti. Hubungan antara Kesatuan Mahasiswa dan universiti dinyatakan dalam bentuk memorandum persefahaman. Kesatuan Mahasiswa kini berdiri sama tinggi dengan universiti. Justeru pastinya ia memberi kesan kepada corak representasi mahasiswa.
Universiti tak boleh membuat polisi yang bersangkut dengan hal ehwal mahasiswa tanpa melibatkan wakil Kesatuan dalam mesyuaratnya. Mahasiswa kini ada suara dalam proses pembentukan polisi. Mahasiswa kini bukan lagi pak turut, mengikut totok apa kata universiti. Sebaliknya, universiti lah yang mendengar apa yang kita perkatakan.
Laungan dan kata-kata tak semudah perbuatan. Sebagai entiti yang mandiri sudah tentu ada cabaran yang harus dihadapi. Soal kewangan misalnya, bukanlah soal kecil dalam Kesatuan Mahasiswa. Apabila mandiri dari universiti, kemandirian itu adalah secara total. Universiti tidak lagi menyalurkan sumber kewangan; dan Kesatuan juga tak patut ambil wang dari universiti. Kita tidak ingin mandiri hanya atas kertas, namun masih diikat hidung apabila bicara soal kewangan.
Pilihanraya kampus kini berjalan atas sumber kewangan mahasiswa sendiri. Pengurusan pilihanraya juga mandiri. Suruhanjaya Pilihanraya Kampus, Tribunal semuanya dikelola oleh mahasiswa.
Beginilah akhirnya membenarkan segala retorik parti mahasiswa – untuk membela hak siswa. Kesatuan Mahasiswa akhirnya memberikan pentas supaya mahasiswa sendiri membela hak dan nasib kita.
Penulis tidak menafikan wujudnya watak-watak berani dalam MPP, walaupun kedudukan mereka berada di bawah kelolaan dan pengawasan pentadbiran. Mereka bersuara sekalipun tahu akan risiko yang wujud. Ada pula wakil Kesatuan Mahasiswa yang tak faham di mana kedudukan Kesatuan lalu membawa perangai MPP masuk ke dalam Kesatuan.
Asasnya, demokrasi dan pilihanraya; dua elemen yang tidak boleh dipisahkan. Namun bagaimana demokrasi dan pilihanraya ini termanifestasi bergantung kepada sistem tempat kedua-duanya wujud. Jika sistemnya bobrok, maka pincanglah pilihanraya dan tempanglah demokrasi.
Kesatuan Mahasiswa yang kini wujud harus membawa perubahan di kampus-kampus ia bertapak. Jika sistem ini bertapak secara nasional, wujudnya Kesatuan Mahasiswa Malaysia – pastinya hak siswa akan lebih terbela dan tidak dipijak.