Mahasiswa sering dikaitkan dengan sifat yang berani, dan sekali-sekala radikal. Sekiranya kita ingin bercerita tentang pergerakan aktivisme mahasiswa, maka tidak sah sekiranya kita tak menyentuh perihal demonstrasi dalam kalangan mahasiswa. Ia sering dijadikan platform untuk mahasiswa menyuarakan pandangan sekiranya mereka melihat saluran-saluran yang betul sudah tertutup.
Pasa kebisaannya hujah ‘saluran yang betul’ kerap digunakan untuk memberi gambaran aktiviti demonstrasi tidak bermanfaat atau di luar norma masyarakat.
Di Malaysia, demonstrasi mahasiswa telah memainkan peranan penting dalam membentuk dan mengubah dasar-dasar kerajaan. Salah satu demonstrasi yang pernah kami saksikan adalah Demonstrasi Tangkap Malaysian Official One yang berlangsung pada tahun 2016. Ketika itu, ada dakwaan yang mengatakan perdana menteri terlibat dengan salahguna kuasa dan rasuah.
Akhirnya, pada hari ini kita melihat Najib Razak telah berada di dalam penjara. Walaupun tekanan ketika itu tak berjaya menyebabkan perdana menteri didakwa, akan tetapi beberapa tahun selepas itu, selepas pertukaran kerajaan, keadilan berjaya ditegakkan.
Aksi protes mahasiswa biasanya melibatkan ribuan mahasiswa yang bersatu untuk menyuarakan pandangan mereka. Demonstrasi mahasiswa di Malaysia sering kali berlaku di dalam universiti, di sekitar bangunan kerajaan, dan di tempat-tempat awam yang boleh menarik perhatian orang ramai. Seperti demonstrasi-demonstrasi lain, tujuan utamanya adalah menarik perhatian orang ramai terhadap isu yang dibangkitkan.
Impak demonstrasi mahasiswa terhadap perubahan dasar kerajaan di Malaysia amat penting. Beberapa siri demonstrasi mahasiswa telah memainkan peranan penting dalam memberi kesedaran awam dan memaksa kerajaan untuk mengambil tindakan. Beberapa demonstrasi mahasiswa ini telah membantu mempercepatkan reformasi pendidikan dan membantu melindungi hak-hak mahasiswa.
Pada tahun 2019, demonstrasi mahasiswa melawan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah memaksa kerajaan untuk melakukan beberapa perubahan penting dalam dasar pendidikan tinggi. Pindaan AUKU memberikan hak kepada mahasiswa untuk bersuara dan berpartisipasi dalam aktiviti politik. Ini menunjukkan bahawa demonstrasi mahasiswa ada impaknya yang tersendiri dalam membentuk dasar-dasar penting yang mempengaruhi negara.
Pada Jun 2022, ada gerakan mahasiswa mendesak kerajaan melaksanakan lima perkara bagi menyelesaikan isu kenaikan harga barang yang berlaku ketika ini. Mereka mengesa untuk didengar sebelum gerakan itu mengambil tindakan drastik untuk turun mengadakan demonstrasi di jalan raya.
“Kami menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri kerajaan yang tidak masuk akal. Dengan jumlah Kabinet yang besar, adalah lebih baik jika para menteri menyahut tuntutan ini dan menunjukkan kebersamaan mereka bersama dengan rakyat. Kami menuntut agar bantuan yang bermaruah dapat diberikan kepada semua lapisan masyarakat. Bantuan sedia ada jelas tidak mencukupi dan tidak dapat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat akibat kenaikan harga barangan,” – Kenyataan jurucakap Gabungan Mahasiswa
Kenyataan bersama itu disokong kira-kira 20 gabungan mahasiswa yang antaranya melibatkan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KPUIAM), Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Gerakan ini menuntut agar kerajaan mengekalkan subsidi sedia ada dan tak mengurangkan sebarang bentuk subsidi yang lain. Hal ini kerana tekanan yang dahsyat bakal dirasai masyarakat jika ada lagi subsidi yang dihapuskan dan ini perlu dibendung. Antara cadangan mereka adalah untuk meletakkan harga siling yang tepat untuk menyelesaikan isu ini seperti menetapkan harga siling bagi dedak agar harga ayam terus stabil.
Cuma, kami saja nak ingatkan yang demonstrasi mahasiswa boleh memiliki impak negatif sekiranya tidak mampu dikawal dengan baik kerana boleh menyebabkan kekacauan dan kerosakan harta awam. Mahasiswa harus memiliki kebolehan untuk mengatur strategi dan sumber manusia untuk memastikan perjalanan demonstrasi lancar.
Salah satu hal yang paling penting dalam demonstrasi mahasiswa adalah ia boleh mempromosikan kesedaran awam dan memaksa kerajaan untuk mengambil tindakan. Oleh itu, mahasiswa harus mencari jalan untuk meminimakan isu yang boleh digunakan terhadap mereka ketika demonstrasi bagi mencapai objektif demonstrasi.
Kita hidup dalam zaman yang agak malang, selalunya hanya hal-hal tular yang akan mendapat perhatian dengan segera. Aksi protes yang besar dan berkesan dapat memberi tekanan kepada kerajaan untuk bertindak.
Demonstrasi adalah instrumen yang baik untuk kita, cuma kita harus akui bahawa demonstrasi mahasiswa bukanlah satu-satunya cara untuk membawa perubahan di Malaysia. Ada banyak cara lain untuk mempengaruhi dasar-dasar kerajaan, seperti melalui petisyen, lobbi, dan cara-cara lain yang bersifat lebih damai.