Semalam, ramai telah dikejutkan dengan tindakan pembunuhan amalan demokrasi oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan Majlis Pemilihan Pelajar (JPMPP). Pihak JPMPP telah mengeluarkan satu kertas cadangan untuk membatalkan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2020/2021 dan turut disertakan bersama ialah alasan-alasan untuk pembatalan tersebut.

 

Setelah diteliti alasan-alasan yang diberikan, pihak kami telah mendapati beberapa alasan yang diberikan adalah amat tidak munasabah untuk diberikan badan seperti JPMPP sebagai satu badan yang ditugaskan untuk menjulang amalan demokrasi kampus dan memastikan kelancaran proses pendemokrasian di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Adalah merupakan perkara yang menjijikkan sekiranya melihat alasan JPMPP yang berselindung dengan pengisytiharan darurat sebagai ‘perisai’ atau justifikasi untuk tidak mengadakan pemilihan. Perkara yang memalukan lagi adalah JPMPP sendiri menulis di dalam kertas cadangan tersebut bahawa JPMPP berhasrat untuk ‘menyuburkan demokrasi kampus’, namun dalam masa yang sama berselindung atas alasan darurat untuk tidak melaksanakan pemilihan ahli-ahli Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Umum mengetahui bahawa pengisytiharan darurat yang memutuskan Pilihan Raya Umum, Negeri dan juga Kecil tidak boleh diadakan hanya terpakai kepada institusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Perkara ini tidak memberikan kesan kepada pemilihan di institusi pengajian tinggi di seluruh negara. Lihat sahaja di Malaysia terdapat beberapa institusi pengajian tinggi yang telah melaksanakan pilihanraya kampus atau sedang dalam proses menjalankan pilihanraya kampus dalam masa terdekat. Antaranya adalah Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa yang sedang dalam proses untuk melaksanakan pemilihan. Jadi, adalah tiada alasan bagi JPMPP untuk tidak melaksanakan pemilihan MPP.

 

Di dalam kertas cadangan yang sama juga, pihak JPMPP dengan tidak munasabah berselindung di sebalik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai dalil untuk tidak melaksanakan pemilihan melalui pengundian atas talian. JPMPP menggunakan alasan pihak SPR tidak mengiktiraf metod pengundian atas talian sebagai justifikasi mengapa JPMPP tidak melaksanakan pilihanraya atas talian. Seperti darurat, dasar ataupun polisi SPR hanya terpakai untuk pemilihan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. SPR tidak ada kaitan dengan cara JPMPP melaksanakan pengundian. Di dalam kampus JPMPP memegang peranan seperti SPR, iaitu merangka polisi dan mengkaji cara optimum untuk melakukan pilihan raya. Tindakan JPMPP untuk meletakkan prosedur pengundian SPR sebagai alasan adalah satu perkara yang kurang tepat dan kurang bijak. Adakah ini bermaksud kampus-kampus lain yang menjalankan pilihanraya kampus secara atas talian adalah tidak sah?

 

Kertas cadangan tersebut turut menyatakan bahawa peratusan pelajar yang akan keluar mengundi melalui metod e- undian tidak akan mencapai peratusan yang memuaskan. Namun begitu, pengundian atas talian yang dijalankan di beberapa institusi seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2020 menunjukkan kadar peratusan mengundi hampir 90% warga universiti. Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 80% dalam kalangan warga universiti. Tiada alasan untuk tidak menyatakan bahawa e-pengundian tidak mampu untuk menarik warga universiti untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai warga kampus.

 

Pihak JPMPP telah dilantik sejak bulan Disember 2020. Dari bulan Disember hingga sekarang, JPMPP sepatutnya telah bersedia untuk melaksanakan pemilihan dan bukan bersedia untuk memberikan alasan untuk membatalkan pemilihan secara sepenuhnya. Perkara ini telah ditambah dengan alasan tidak munasabah dan tidak matang diberikan pihak JPMPP.

 

Oleh itu, demi kesinambungan amalan demokrasi kampus kami memohon pihak JPMPP untuk menarik balik kertas cadangan tersebut. JPMPP perlu balik semula ke meja rundingan demi memelihara demokrasi kampus. Adalah pilu hati melihat demokrasi kampus digadaikan JPMPP dengan begitu sahaja.

 

KENYATAAN BERSAMA

DEMOKRAT UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

REPUBLICAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

STUDENT UNITY FRONT UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

 

Leave a Reply