Normalisasi Juga Satu Bentuk Kezaliman
Malam 1 Ramadhan 1440H kita sudah dikhabarkan dengan berita serangan rejim Zionis ke atas Gaza di Palestin yang akhirnya telah meragut nyawa lebih daripada 26 rakyat Gaza, termasuk dua bayi berusia empat dan empat belas bulan. Kita mengambil maklum bahawa ini bukanlah serangan pertama Zionis ke atas rakyat Palestin di dalam bulan Ramadhan, tetapi sejarah telah mencatatkan pada tahun 2014 telah berlaku serangan besar-besaran oleh Zionis terhadap rakyat Palestin di dalam bulan Ramadhan sehingga menyebabkan kematian lebih daripada 2,000 penduduk Gaza.
Tidak dilupakan peristiwa penyembelihan umat Islam beramai-ramai di dalam bulan Ramadhan pada tahun 1994 di Masjid Al-Ibrahimi sewaktu solat subuh berjemaah yang akhirnya telah mengorbankan seramai 29 rakyat Palestin.
Belum reda dengan seruan mendoakan dan meminta sumbangan bantuan kemanusiaan buat saudara-saudara di sana, tiba-tiba di pertengahan bulan Ramadhan kita dikejutkan pula dengan satu posting daripada CEO sebuah syarikat agensi pelancongan yang mengajak rakyat Malaysia untuk melancong di Baitulmaqdis. Beralasankan perbuatan menziarahi masjid al-Aqsa ini adalah bagi meng”imarah”kan masjid tersebut sebelum ditutup dan dirampas penuh oleh Yahudi Israel mengikut “Rules of Absence”, beliau juga menambah bahawa kedatangan pelancong di sana disambut baik oleh Yahudi Israel kerana mereka juga “cintakan keamanan” dan “menganggap kita sebagai saudara”.
Dr Syeikh Yusuf al-Qardhawi ada menyebut bahawa praktis berkelakuan normal terhadap penjajah bukanlah satu bentuk penentangan terhadap mereka tetapi merupakan satu bentuk “normalisasi”.
Menolak Normalisasi Ziarah Negara Haram Israel
Fatwa tentang pengharaman menziarahi Baitulmaqdis semasa ia masih di bawah jajahan musuh telah pun disebut oleh Dr Syeikh Yusuf al-Qardhawi selaku Pengerusi Kesatuan Ulama’ Sedunia sejak beberapa tahun dahulu, tidak ketinggalan yang menyokong fatwa muktabar ini adalah Kesatuan Ulama’ Palestin dan Ulama’-ulama’ al-Azhar seperti Syeikh Dr. Ahmad Tayyib tidak dilupakan juga Syeikh Faisal Maulawi, Naib Pengerusi Majlis Fatwa dan Kajian Eropah (European Council of Fatwa and Research). Mufti Wilayah Persekutuan di dalam fatwanya yang mengharuskan menziarahi Masjid Al-Aqsa waktu ini meletakkan tujuh syarat yang wajib diikuti dan sekiranya diteliti, ia sama sekali tidak selari dengan praktis “melancong” ke Baitulmaqdis semasa ia berada di bawah naungan kerajaan haram Israel.
Akhbar rasmi The Times of Israel melaporkan bahawa pada tahun 2018 seramai 14,000 rakyat Malaysia telah melancong ke Israel yang mana jumlah ini meningkat sebanyak 4,000 daripada tahun sebelumnya. Menyedari hakikat ini sewajarnya rakyat Malaysia memandang serius sebab kenapa fatwa pengharaman menziarahi Baitulmaqdis ini dikeluarkan.
Larangan menziarahi Masjid al-Aqsa ketika di bawah penjajahan musuh bukan lah sesuatu yang baru pada zaman ini. Penjajahan ke atas Baitulmaqdis telah berlaku sejak zaman Rasulullah S.A.W. lagi dan Baginda S.A.W sendiri tidak menggalakkan para sahabat untuk menziarahi Baitulmaqdis ketika ia masih di bawah jajahan musuh. Hatta ketika seorang sahabat meminta untuk menunaikan nazarnya dengan beribadah di Masjid al-Aqsa sewaktu peristiwa Pembukaan Kota Mekah sekalipun, Rasulullah S.A.W menjawab “solatlah di sini (Masjidil Haram)”.
Satu hal yang kita perlu tahu, perjuangan membebaskan Baitulmaqdis daripada penjajah Zionis yang dilaknat ini tidak pernah berhenti dan kekal berterusan sehingga hari ini tanpa perlu pun rakyat Malaysia datang melancong ke sana kononnya bertujuan untuk “memelihara” Masjid al-Aqsa.
Saya terimbau kembali kepada peristiwa 30 Mac yang lalu ketika menghadiri satu konferens di Universiti Malaya anjuran Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia. Di dalam konferens tersebut, salah seorang panelis telah ditanya tentang pendapat beliau akan lawatan ke Baitulmaqdis. Respon saudara Muslim Imran daripada Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) itu ringkas dan saya kira tepat dan kena sekali dengan isu yang timbul pada hari ini. Kata beliau,
“If you go to Jurusalem, yes you will get good photos. But if you don’t do anything with the struggle of Palestinians, what’s the benefit of it?
Tambah beliau lagi, tanah suci ini tidak akan menjadikan sesiapa pun suci, tetapi yang menjadikan diri kita suci adalah amal baik kita ketika hidup di atas muka bumi ini. Sampai bila-bila kita tidak akan pernah mengiktiraf negara haram Israel dalam bentuk apa sekalipun, kebodohan dan kebinatangan Zionis tidak wajar dipandang enteng dan remeh setelah apa yang telah mereka lakukan terhadap rakyat Palestin sejak tahun 1948 hingga kini.
Bertindaklah dengan bijak dan dengan cara yang menguntungkan umat Islam. Sesungguhnya maslahah umum itu lebih diutamakan daripada maslahah peribadi.
Di Mana Peranan OIC dan Peranan Negara Timur Tengah?
Bila saatnya Palestin dipijak oleh rejim Zionis Israel, saya sering terfikir di manakah rakan-rakan sejiran Palestin yang majoritinya Islam, yang beramal ibadat sama seperti mereka, mengamalkan budaya dan hidup beragama sama seperti saudara kita di Palestin tetapi akhirnya mereka sendiri bersifat takut dan bacul untuk mempertahankan rakyat Palestin dek ditekan dan gian mengejar peluang dan harta untuk kepentingan perut sendiri. Arab Saudi pernah menggelarkan diri mereka sebagai ‘pemimpin bagi dunia islam’ atau ‘leader of the muslim world’ namun apabila sampai pada isu pembunuhan umat islam beramai ramai di Palestin mereka diam seribu bahasa seakan-akan tidak tahu apa yang terjadi.
Begitu juga dengan OIC, nama pun sudah cukup gah ‘Organisation of Islamic Cooperation’ tetapi setelah berpuluh tahun diwujudkan mengapa negara muslim seperti Palestin masih ditindas, apakah peranan negara-negara di dalam ini sejak 1969? Adakah objektif yang mereka bina seperti mewujudkan keamanan dan perlindungan kepada umat islam hanyalah pada tulisan semata mata? 56 negara daripada 57 yang bernaung di bawah United Nation, jikalau difikirkan suara-suara mereka apabila bersatu sudah pasti menggencarkan negara-negara yang mengimani kezaliman ini dan menimbulkan rasa tidak selesa dan gentar terhadap negara-negara muslim yang bersatu. Tetapi sayang, yang berlaku adalah sebaliknya.
Deklarasi Makkah yang telah berlangsung 1 Jun baru-baru ini telah menjanjikan untuk terus berusaha menamatkan pendudukan Yahudi Israel di Palestin. Namun kita lihat apa mungkin semua ini bakal membawa hasil ataupun sekadar tin kosong yang akhirnya tidak memberi apa-apa manfaat kepada umat Islam yang tertindas hingga ke hari ini khususnya di Palestin. Mereka seharusnya tidak melupakan tujuan pembentukan OIC yang sejatinya ditubuhkan adalah untuk memperjuangkan nasib Palestin dan rakyatnya.
Malaysia Yang Tetap Teguh Menyokong Perjuangan Palestin
Saya menyambut baik dan memuji ketegasan kerajaan Malaysia yang sehingga kini komited dalam mengangkat perjuangan ke arah pembebasan Palestin. Dr Mahathir Mohamed dalam ucapan beliau sewaktu majlis berbuka puasa bersama komuniti Palestin di Malaysia tempoh hari ada menegaskan bahawa Malaysia tidak akan sekali-kali berdiam diri menyaksikan keganasan rejim Israel. Walaupun kebanyakan usaha belum membuahkan hasil yang memadai, perjuangan ini memberitahu kepada Israel dan negara-negara yang menyokongnya bahawa Malaysia sama sekali tidak akan bersama-sama dengan ketidakadilan yang berlaku.
Baru-baru ini juga kita diberitakan tentang 137 tempat biasiswa yang akan diberikan oleh 12 universiti terpilih kepada pelajar Palestin di Malaysia. Kita melihat bahawa negara Malaysia begitu serius dalam membantu perjuangan rakyat Palestin dalam usaha membebaskan negara mereka daripada cengkaman rejim Israel.
Peranan Kita?
Selagi nyawa dikandung badan teruskanlah menjadi sebahagian daripada jiwa-jiwa yang memperjuangkan pembebasan Palestin. Kita membantu dengan kemampuan yang ada termasuk memboikot produk-produk dan syarikat teknologi yang menyumbang secara terus di dalam kezaliman Zionis terhadap rakyat Palestin. Baitulmaqdis akan dibuka apabila ia sudah dibebaskan dan pada waktu itu, ia menantikan kehadiran kita sebagai pembebas dan bukannya sebagai pelancong pada hari ini.
Salahudin Al Ayyubi, Panglima Islam yang membuka Baitul Maqdis pernah menyebut “Sesiapa yang dapat menguasai Jurusalem (Palestin) nescaya dia akan dapat menguasai dunia.”
Tepuk dada tanya diri “apa usaha aku untuk mereka?”
Siti Dayana Zawani
Jawatankuasa Khidmat Masyarakat
HARMONI UIAM