oleh; Rien Sd

“Tiada percetakan yang bisa mencetak pemimpin. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas-pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol dalam kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh keamanan” Mohammad Natsir, Pemimpin Parti Politik Masyumi, Indonesia.

Di Malaysia hari ini, ada berlambak mahasiswa. Kita ada ratusan institusi pengajian tinggi termasuk awam dan swasta. Kampus-kampus kita sentiasa meriah dan riuh rendah kerana ditandangi oleh mahasiswa-mahasiswa baru setiap tahun. Semangat ini bukan calang-calang, ianya bertiup semenjak di bangku sekolah lagi. Seorang terpelajar, yang bicaranya autoritatif kena menjadi pertapa agung di menara gading.

Namun, dogma yang membeku ini tetap perlu digugah. Kalangan mahasiswa dan masyarakat perlu menyiasatnya dengan serius. Adakah universiti hari ini misalnya, beroperasi sebagaiamana sepatutnya? Masihkah intitusi pengajian tinggi kita menjadi kubu intelektual atau hanya tinggal kamar-kamar kering yang mati dan non-kritikal serta syarahan-syarahan dalam bilik kuliah sudah tertanggal daripada peranan sosialnya?

Para akademia dan inteligensia yang mendiami kampus sedang berbuat apa? Adakah mereka hanya menjadi intelektual tukang yang bergaji dan menyusun-nyusun konsep untuk suasana teoritikal di dalam bilik kuliah? Atau mereka mula kritikal dengan kondisi masyarakatnya dan struktur sosialnya? Adakah mereka mampu mencipta sifir yang lebih praktikal untuk isu-isu problematik yang berlegar dalam ruang sosial?

Wajar juga kita mempertanyakan semua ini, sebelum kita berangkat kepada persoalan utama dalam tulisan ini; adakah mahasiswa kita masih bermasturbasi atau sudah mula menuju revolusi atau perubahan sekurang-kurangnya dalam lingkungan mereka? Di mana mereka ini dan apakah upacara yang sedang berlaku di kampus hari ini?

Mahasiswa Minda Lambak

Masih ada mahasiswa “mass-mind” di kampus hari ini, yang pasif dan adaptif. Ini semacam masturbasi yang akademik. Mereka bertarung di sekolah, menjuarai perlumbaan dan berjaya menghadam kurikulum tersusun dalam kelas kemudian berjaya mendiami institusi pengajian tinggi.

Bilangan mahasiswa begini sangat ramai, mereka pasif dan terbungkam. Mereka dibekalkan tangkal yang ajaib sebelum melangkah masuk ke kampus. Tangkal itu semacam alat kawalan yang disumbat masuk ke dalam minda mereka; agar mereka menjadi mahasiswa yang akur, patuh dan terima apa adanya (take for granted). Mereka pergi ke kuliah, kemudian balik ke kamar. Siang malam adalah persiapan yang serius untuk menghadapi hari-hari yang dahsyat mereka akan diuji, dinilai untuk mencari yang menang (winner) dan yang (kalah).

Mereka tidak melihat ini sebagai sesuatu yang karut (bullshit). Ianya diterima sebagai sesuatu yang normal dan natural. Kalau bicara pun, semuanya akan bersangkut hal teoritikal dan konsep-konsep handalan yang tidak pergi kepada praksis.

Kaum hipokrit ini misalnya, membincangkan tentang teori kemiskinan dalam dan luar bandar, statisitik dan perangkaan yang tepat, tapi mereka sedang mengukuhkan suasana elit di kampus dan gaya hidup mereka jauh sekali untuk memihak kepada kaum murbawan. Mulut mereka lebih busuk berlumut bila bercakap hal ini berbanding kaum miskin dan budak yang comot di jalanan.

Mereka ini kemudian bersikap adaptif setelah tiada pertentangan dan kontradiksi yang mereka lihat di antara peranan mahasiswa dan tanggungjawab sosial. Akhirnya, segala bentuk dan kondisi yang bedebah di kampus akan terus berlangsung dan panjang umur. Para mahasiswa ini tercabut daripada peranan mereka dan kekal bermasturbasi dengan gaya yang paling akademik. Tiada yang boleh diharap daripada kawanan mahasiswa seperti ini.

Mahasiswa Anti-Masturbasi

Adakah kita masih mahu hal ini terjadi? Institusi pengajian kita masih memberi perlindungan kepada mahasiswa-mahasiswa yang tidak berguna dengan masyarakat mereka? Berapa ramai lagi mahasiswa bejana kosong (empty vessel) yang akan bergraduasi kemudian menjadi pekerja hegemoni  yang meneruskan kondisi sosial yang korup?

Para mahasiswa perlu mentafakkuri peranan mereka. Duduk dalam kampus bukan untuk menjadi manusia mulia yang dipuji puja masyarakatnya. Mereka perlu menampung banyak kelompongan, menjadi responsif perihal masyarakatnya. Kalaupun tidak bunyinya “student power” lagi, mereka tetap kena membentuk barisan alternatif yang kuat. Seperti yang pernah dikatakan oleh Frantz Fanon;

“The level of consciousness of young people must be raised; they need enlightenment”

Universiti adalah kubu penting membedah siasat perlecehan harkat kemanusiaan, tempat paling mujarab untuk melahirkan intelektual yang praksis, ruang berterori dan berbuat.

Segala bentuk pergerakan yang anti-dialog perlu dilawan. Mahasiswa yang anti dialog akan membentuk masyarakat anti-ilmu di luar sana. Suasana wacana intelektual (intellectual discourse) perlu dimeriahkan dalam kampus. Pendidilkan politik dan sosio-budaya perlu dijadikan tema besar yang dibicarakan dengan serius dan tuntas.

Mahasiswa, Politik Kepartian & Revolusi Palsu

Sekarang sudah 2017, budaya politik (politic culture) kepartian kita sudah terlalu kusut masai dan kecoh. Mereka masih berpolemik, berbincang benda remeh temeh dan mempergaduhkan tentang hal-hal celaka yang sistemik.

Masih validkah sekiranya para mahasiswa ini digelar Golongan Pertengahan Baru (new middle ground) sebagaimana yang disebut oleh Saifuddin Abdullah dalam kata pengantarnya pada buku Mahasiswa Bangkit; iaitu memikul gagasan politik baru (politik progressif dan seumpanya) ?

Pergerakan mahasiswa hari ini perlu mencermati dan membaca gerak geri mereka. Sebagai kumpulan pendesak (pressure group), para bedebah ini akan mengkuda-kudakan mahasiswa untuk melunasi keserakahan mereka. Mereka akan menggunakan jargon-jargon yang dahsyat untuk memujuk mahasiswa. Tentang perubahan sosial, korupsi, dan perlecahan kaum miskin. Bunyinya terlalu revolusioner tapi hakikatnya, mereka juga sedang mengidamkan pangkah yang banyak dalam pilihanraya.

Demokrasi yang mereka fahami adalah tentang pilihanraya, pangkah, peti undi dan menang. Ini bukan demokrasi yang sepatutnya difahami oleh mahasiswa. Universiti perlu dibebaskan daripada pengaruh kuasa. Universiti perlu neutral dan jujur dengan agendanya. Campurtangan kuasa inilah yang melahirkan mahasiswa pundek yang menyambung kerja nenek moyang mereka yang sudah pencen menjadi hegemoni.

Tidak ada revolusi bagi mahasiswa yang berkongsi agama kuasa bersama parti politik di luar sana. Mereka akan menjadi hamba yang taat, yang telah dirukunkan kepada mereka pergerakan dalam dan luar kampus. Ketika para mahasiswa ini bicara tentang masalah sosial, mereka telah diusrahkan dengan penuh tersusun dan teratur. Tiada kejujuran sekalipun mereka berdiri sehari suntuk mengepal tinju ke awan.

Revolusi palsu ini perlu ada revolusi tandingnya. Mahasiswa yang sedar peranannya, perlu menghentikan keributan dan kekecohan ini. Mahasiswa yang pasif dan adapatif perlu menamatkan upacara masturbasi mereka. Universiti bukan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, universiti adalah bilik siasatan yang paling penting bagi mahasiswa dan para akademia.

Sekurang-kurangnya, walaupun bukan revolusi besar, mahasiswa di Malaysia mampu menuju revolusi intelektual dan meninggalkan projek masturbasi yang sedikitpun tidak menguntungkan dan terlalu bernuansa individualistik.

 

By Editor

Leave a Reply