Pilihanraya Kampus bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA yang “bersih, adil dan telus” ini yang lama kita nantikan sudah sampai tamat selepas Barisan Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA Sesi 18/19 telah diumumkan oleh Prof. Dr Mohd Afandi Salleh, TNC HEPA semalam. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang melibatkan diri secara langsung atautidak langsung sepanjang masa pembubaran MPP UniSZA.
Di sini saya ingin menjelaskan sekali lagi bahawa Ikatan Mahasiswa UniSZA ini bukan satu badan mahupun parti universiti yang sah ataupun berorganisasi. Ini hanya bermula daripada satu perbincangan kosong selepas penemuan Parlimen Mahasiswa UniSZA sesama beberapa Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Fakulti dan Kelab. Objektif utama ikatan ini adalah untuk memastikan UniSZA akan ada satu pilihan raya kampus yang telus dan adil untuk semua mahasiswa.
Kita berharap kesemua kerusi akan ditandingkan oleh mahasiswa dan menang tanpa bertanding itu bukan lagi budaya politik kampus UniSZA. Sekian lama ini, kami mendapat semakin banyak sokongan dan permuafakatan daripada pemimpin mahasiswa, ahli mantan MPP, YDP persatuan dan kelab, pemimpin badan beruniform dan sekumpulan mahasiswa yang begitu cakna terhadap demokrasi kampus ini.
Kami melibatkan diri daripada setiap proses PRK ini secara langsung untuk memastikan ketelusan dan keadilan PRK ini untuk semua mahasiswa. Dari memastikan setiap Fakulti ada pertandingan sampai menjadi pemerhati untuk Jawatankuasa Induk, Pelaksana dan Audit, mengadakan kempen kesedaran PRK, menghebahkan segala maklumat penting kepada semua bakal calon, sesi penyediaan borang dan sokongan teknikal dan memantau sepanjang hari penamaan, hari pengundian dan pengiraan undi, kesemuanya adalah atas prinsip kesukalerawan dan tanggungjawab sebagai mahasiswa. Kita tidak menerima sebarang sokongan daripada pihak universiti mahupun parti luar, tiada dana disalurkan kepada kami, tiada makanan dibekalkan dan tiada campur tangan mana mana pegawai.
Kebebasan menyertai PRK itu adalah hak semua mahasiswa, mahasiswa yang dapat mencapai satu muafakat antara satu sama lain bergerak dalam kumpulan juga antara satu proses demokrasi. Walaupun ada yang menafikan bahawa selama ini MPP Unisza tidak pernah mencapai permuafakatan antara satu sama lain sebelum PRK ataupun langsung tiada gerakan secara kumpulan serta menentang gerakan calon secara kumpulan ini atas alasan bahawa UniSZA tidak sesuai/tidak perlu/ bukan budaya Unisza.
Kalau benda ini tidak berlaku khabar angin tersebut tidak akan bertiup selama ini dan memang ada yang sudah mengesahkan khabar angin tersebut. Kewujudan Gerakan secara kumpulan mahupun berparti di kampus ini bukan perkara baharu di semua universiti awam lagipun pihak universiti lain juga mengiktiraf kewujudan parti kampus tersebut.
Di samping itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memberi galakan dan sokongan kepada saya sendiri untuk mencalonkan diri dalam PRK kali ini. Antaranya pemimpin pemimpin kelab dan persatuan lain, ahli-ahli Fakulti, komuniti Cina dan Indian, anak Borneo, ahli mantan MPP, pegawai dari pejabat Hepa, Pphp, pendaftar, Jabatan keselamatan dan pensyarah. Saya ingin memohon maaf atas penolakan pencalonan ini atas alasan peribadi dan komitmen yang sedia ada.
Akhir kata, PRK kali ini bukannya 100% sempurna, tapi ini adalah pembangunan dan transformasi yang sangat baik kepada UniSZA. Terima kasih kepada Pihak Universiti atas pemulihan demokrasi kampus kepada mahasiswa, semoga UniSZA semakin MAJU! Kita banggakan UniSZA! Hidup Mahasiswa! Nadi Perjuangan Mahasiswa!
Chan Kai Sheng,
Pemerhati Jawatankuasa Pelaksana PRK PMPP UNISZA,
Ahli Ikatan Mahasiswa UniSZA,
Pemangku Yang Dipertua Persatuan Kebudayaan & Kesenian Cina,
Timbalan Presiden Asian Law Students’ Association UniSZA,
Ahli Jawatankuasa Moot Club.