Pada 27 hingga 29 julai 2018 yang lalu aku telah datang ke sekolah Teach For The Needs (TFTN) yang bertapak di Kampung Air Semporna lebih kurang tiga bulan yang lepas. TFTN telah menjalankan projek pendidikan di Syria dan kini di Semporna. Mereka terdiri daripada individu-individu yang mempunyai semangat untuk membantu anak-anak dari segi pendidikan dan mengajar 3M membaca, menulis, mengira. Mereka menyasarkan kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 7-15 tahun. Rumah kolektif Borneo Komrad Semporna telah dijadikan tempat untuk mengajar kanak-kanak tersebut.
Mukmin Nantang telah diberi kepercayaan untuk menjadi guru disekolah tersebut dan ada kalanya beliau akan mengajarkan anak didiknya untuk bercucuk tanam mengunakan bahan kitar semula seperti botol. Beliau juga telah membuat kempen kecil dengan meminta setiap muridnya membawa botol bersaiz 1.5 liter tiap hari untuk dijadikan projek mereka. Mukmin telah dibantu oleh Cikgu Anis untuk mengawal anak murid disekolah tersebut yang sedikit extrem dan bilangan pelajarnya mencecah 35 orang.
Kanak-kanak ini telah dibahagikan kepada tiga buah kelas yang diberi nama Keris Mas, Usman Awang dan A Samad Said. Hebatnya sekolah ini menjadikan tokoh sasterawan negara sebagai nama kelas kerana biasanya aku akan mendengar orang memberikan nama pada kelas mereka sama ada nama buah atau perkataan yang menarik minat kanak-kanak yang seusia dengan mereka. Mukmin diberi mandat menjaga dua kelas dan Anis satu kelas. Dapatkah anda bayangkang menajaga dua kelas dalam satu masa.
Aku dan rakan mahasiswa yang membuat jelajah aktivis serta majlis tertinggi TFTN telah dibawa kerumah anak-anak didik Mukmin dan Anis untuk bertanyakan khabar keluarga mereka. Sebelum kami dibawa pergi kerumah murid, mereka telah diberikan beg beserta alat tulis bagi meningkatkan semangat mereka untuk datang bersekolah. Selesai pembahagian kami terus bergerak ke rumah murid dan berpecah kepada beberapa kumpulan.
Untuk pergi dari rumah ke rumah mereka, kami kena melalui titian jambatan yang agak daif buat mereka yang biasa tinggal dibandar tetapi tidak pada anak-anak dan komuniti disana. Kami menerima perkembangan positif daripada ibubapa pelajar kerana anak mereka begitu bersemangat untuk pergi ke sekolah dan ada sebilangan anak mereka sudah keluar seawal pukul 6.30 pagi sedangkan sekolah beroprasi pada pukul 9-12.00 tengah hari.
Bertapa semangatnya anak-anak ini untuk ke sekolah tetapi tidak berkesempatan menerima pendidikan formal disebabkan permasalahan dokumentasi. Pada petang sabtu kami telah disajikan pementasan teater pendek oleh anak-anak ini bertajuk Planet Pulau yang telah dipimpin oleh Mukmin memandangkan beliau mempunyai bakat dalam bidang lakonan dan mengambil meajor teater ketika belajar di IPTA dulu. Sebelum kami pulang pada hari ahad, kami telah menghasilkan seni meural buat tatapan anak-anak sekolah tersebut.
Pada 31 julai aku menerima perkhabaran yang mengatakan bahawa Kampung Air Semporna telah ditimpa kebakaran dan api semakin menghampiri rumah kolektif Borneo Komrad dan sekolah TFTN. Aku telah membatalkan urusan ku pada hari rabu 1 ogos 2018 untuk pergi ke Kampung Air Semporna. Sesampainya aku di pekan Semporna dan menuju ke rumah kolektif Borneo Komrad, aku terdengar pangilan “Cikgu Wak”. Aku toleh ke kiri beberapa orang murid TFTN berpimpin tangan menyeberangi jalan daripada simpang Kampung Bangau-bangau Semporna. Seorang pelajar berkata kepada ku “Cikgu Wak, hampir sekolah kita tebakar”.
Dengan senyuman aku meminta mereka untuk membawa aku ke sekolah kerana aku kurang mahir dengan selok belok lorong dikawasan tersebut. Sesampainya aku dilorong menghala ke rumah kolektif dan sekolah TFTN, aku melihat Mukmin dan anak-anak murid yang lain berada dikawasan kebakaran. Mukmin mengarahkan anak-anak muridnya untuk pulang dam membatalkan sesi persekolahan pada hari tersebut. Mukmin yang juga baru tiba dari Kota Kinabalu (KK) awal pagi subuh kelihatan sayu dan bersyukur rumahnya tidak terkena dalam kebakaran tersebut. Akan tetapi dia memikirkan nasib mangsa yang lain kerana dia sering melibatkan diri secara sukarela membantu mangsa-mangsa kebakaran di sekitar negeri Sabah.
Aku dimaklumkan oleh Mukmin yang dia baru sahaja berbincang dengan beberapa NGO di sekitar KK untuk membantu mangsa kebakaran Kampung Likas yang juga baru-baru ini terlibat dalam kebakaran dan kini dia pula yang hampir terlibat kebarakan di Kampung Air Semporna.
Aku, Mukmin, Anis dan Uda yang baru sahaja tiba dari KK pergi ke Dewan Belia yang menempatkan mangsa kebakaran. Aku tidak dapat bayangkan bagaimana jika aku yang berada ditempat mereka tinggal sehelai sepinggang.
Aku dan Mukmin seterusnya pergi berjumpa dengan pegawai yang menguruskan mangsa kebakaran dan kami memperkenalkan diri sebagai wakil gerakan Suara Mahasiswa UMS untuk bertanyakan keperluan apa yang mangsa perlukan setakat ini. Sebelah petang Aku, Mukmin dan Noik membantu NGO PERKALAS membahagikan bantuan berupa keperluan mandian dan makanan buat mangsa kebakaran.
Sebelum aku melelapkan mata, aku mencapai telefon puntar ku yang batrinya hanya tinggal 2% dan menghubungi Majlis Perwakilan Pelajar UMS (MPPUMS) untuk bertanyakan sekiranya ada mahasiswa universiti kami terlibat dalam kebakaran. Malam itu aku dan Mukmin tidur di rumah kolektif Borneo Komrad tanpa bekalan elektrik dan bekalan air yang telah terputus.
Ditambah lagi telefon pintar kami telah kehabisan batri dan kami tidak punya powerbank ketika itu. Hujan mulai turun dengan lebatnya membasahi bumi. Aku terbayang akan keadaan mangsa di dewan tersebut dengan tangisan bayi dan anak kecil yang sudah pasti tidak selesa dengan keadaan di sana yang sempit.
Keesokan harinya, hari khamis 2 ogos 2018 seawal pukul 7.10 pagi aku telah keluar pergi ke pekan Semporna untuk bersarapan sambil aku cas telefon pintar milik ku dan milik Mukmin. Sementara itu Mukmin bersiap untuk memulakan rutin hariannya mengajar anak-anak sekolah. Sebelum aku pulang kerumah kolektif Borneo Komrad, aku singah sebentar ke pasar raya di pekan untuk membeli sedikit keperluan buat di sumbangkan kepada mahasiswa UMS yang terlibat dalam kebakaran.
Walau tidak banyak tetapi cukup buat dia dan keluarganya gunakan untuk meneruskan kehidupan mereka. Aku juga sempat bertanya kepada mahasiswa tersebut sama ada mereka ingin berpindah kerumah lain. Dia menjawab yang dia ingin terus tinggal di situ dan membina rumah mereka semula kerana rumah disitu tempat kelahiran beliau dan dia ingin mengekalkan tradisi dan rumah atas air.
Sebelum pulang ke Tawau Mukmin mempertemukan aku dengan Che Man. Aku dan Mukmin meminta kebenaran untuk kami cas telefon pintar di kedai roti milik beliau. Aku pulang sebentar ke rumah kolektif Borneo Komrad untuk mengambil barang ku dan pulang menaiki bas sekitar pukul 4.30 petang. Semoga kita berjumpa lagi.
Dari Mahasiswa Kepada Mahasiswa, Dari Mahasiswa Untuk Rakyat Malaysia.
Wan Zawawi Bin Bakri
Jurucakap Suara Mahasiswa UMS