KELANA JAYA: Dalam usaha memperluaskan peluang kerjaya mahasiswanya, UNITAR International University (UNITAR) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan pemilik syarikat rangkaian restoran terkenal, Revenue Valley Sdn Bhd (Revenue Valley).
Ketua Pegawai Eksekutif UNITAR Capital Sdn Bhd, Puvan Balachandran, berkata seiring dengan perubahan dunia masa ini, UNITAR menawarkan kurikulum terkini dan moden dalam industri serta mengikut kehendak pasaran pekerjaan semasa.
“Modul pengajaran kami disesuaikan dengan keperluan rakan industri, selain mengadakan pelbagai latihan, mentoring dan projek industri.
“Dengan semua kemudahan ini, kami berharap lebih ramai golongan muda mengambil kesempatan untuk mendapatkan pendidikan di UNITAR tanpa mengira status kewangan mereka,” katanya pada majlis memeterai perjanjian berkenaan, di sini, sebentar tadi.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Revenue Valley, Dickson Low manakala Puvan mewakili UNITAR, sambil disaksikan oleh Pengurus Penjenamaan Revenue Valley, Muhammad Adam Mah dan Ketua Pegawai Operasi UNITAR Capital Sdn Bhd, Iskandar Sham Abd Rasap.
MoU itu diadakan untuk menyediakan peluang latihan industri kepada mahasiswa UNITAR, merangka program baharu yang sesuai dengan kehendak industri, menawarkan pekerjaan sambilan, sekali gus membuka ruang untuk mereka memulakan kerjaya di rantaian restoran Revenue Valley selepas menamatkan pengajian.
Sehingga kini, UNITAR sudah bekerjasama dengan lebih 80 syarikat dan industri bagi menyediakan peluang pekerjaan, latihan industri dan berkongsi kemahiran.
Sementara itu, Low berkata, UNITAR berada di hadapan dalam pendidikan kulinari dan pelancongan di negara ini menjadikan universiti itu sebagai satu institusi pendidikan yang ideal untuk Revenue Valley bekerjasama dan menceburi usaha baharu.
“Dengan kepakaran dan rangkaian restoran kami, saya percaya pelajar UNITAR akan mendapat manfaat yang besar daripada kemahiran dan pendedahan yang diberikan.
“Pengalaman ini pasti akan menambah ilmu pengetahuan dan dapat membantu kerjaya mereka dalam kulinari dan pelancongan pada masa hadapan,” katanya.