Dari Meja Presiden,
MELETAKKAN DIRI DI DALAM PETA ASPIRASI MENTERI PENDIDIKAN

Pada hari Isnin yang lepas, saya telah menghadiri ke majlis amanat YBM Dr. Maszlee Malik dan ikuti rapat bait-bait ucapan beliau dari awal ucapan hinggalah ke hujung. YBM telah menyampaikan satu mesej yang penting dan besar iaitu beliau mahu kita percaya dengan cita-cita, impian dan idea.

Beliau mengajak kita untuk mula laksanakan mengikut posisi dan kapasiti kita dan bukannya menanti dan menunggu masa yang sesuai dan strategik untuk memulakan langkah pertama yang terkadang kita sendiri tak pasti bilakah waktunya. Akhirnya terkuburlah semuanya kerana sikap penangguhan kita sendiri.

Mimpi adalah hal yang besar. Begitu juga idea dan cita-cita, ia adalah perkara yang sungguh mahal kerana terbina daripada kesedaran, tanggungjawab, kepercayaan dan harapan. Maka, bagi setiap gagasan idea, cita-cita mahupun impian, mulakanlah perjalanan dengan membumikan.

Pastinya, sepanjang perjalanan kita, pasti sekali banyak hal yang akan berlaku malah tak terduga hadirnya daripada Tuhan. Dugaan bukan sebagai penghalang. Bahkan untuk membesarkan jiwa kita dan mengukuhkan kesetiaan kita kepada jalan yang kita ambil.

Aspirasi YBM yang dikongsi itu adalah aspirasi bersama rakyat Malaysia. Getus saya, jika sememangnya baik dan benar, kenapa tidak dijayakan bersama? Jika ia menyimpang dari semangat membina Malaysia Baharu, maka angkatlah idea alternatif untuk menambah baik usaha yang sedang dan sudah dimulakan.

Kita semua setuju bahawa, kerja mencemuh, memerli dan merendah-rendahkan bukanlah sikap yang baik. Bahkan merenggangkan lagi jarak untuk duduk bersama berbincang, berdialog, diskusi bagi menambah baikkan lagi negara tercinta.

Saya adalah manusia yang percaya kepada perlunya ‘pencorakan’ pada sistem dan suasana. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada sistem sahaja untuk menambah baik nilai kehidupan masyarakat. Kita sangat memerlukan kepada pencorakkan suasana masyarakat.

Justeru, kedua-dua ruang ini penting bahkan setiap individu perlu ada rasa terpanggil untuk memposisikan diri kita mengikut gerak daya, tenaga dan kemampuan agar impaknya dilihat berkesan sekaligus berlakunya perubahan secara seimbang.

MENGARUSPERDANAKAN KEMPEN #UNIVERSITIBAHARU

Perlu kita akui, era sebelum ini memang wujud kerancuan dalam memahami martabat dan wibawa sebuah universiti yang terkesan daripada pelbagai faktor. Maka, melihatkan kepada perubahan kerajaan pada PRU-14 yang lalu, Belia Harmoni memulakan inisiatif melalui kempen #UniversitiBaharu sebagai usaha menyambut impian dan hasrat rakyat Malaysia yang inginkan perubahan berlaku; inginkan Malaysia yang lebih baik. #UniversitiBaharu adalah kesinambungan impian rakyat Malaysia yang secara terus memberi fokus kepada Institut Pengajian Tinggi.

Universiti Baharu adalah kempen mengajak semua pemegang taruh kampus ke arah membina:

  1. Suasana kampus yang menegakkan nilai-nilai yang mengangkat martabat institusi pengajian tinggi
  2. Suasana di mana mahasiswa memimpin, mentadbir urus hal ehwal mahasiswa, dan terlibat secara langsung dalam penggubalan polisi di Universiti.
  3. Suasana di mana institusi pengajian tinggi dihormati oleh masyarakat dan pihak autoriti.
  4. Suasana di mana Universiti menjadi pusat pengembangan budaya dan peradaban.

Empat komponen ini adalah satu bentuk suasana dan kondisi yang saya percaya mampu mengangkat wibawa sebuah universiti sebagaimana yang dihasratkan oleh YBM.

Idea #UniversitiBaharu masih lagi terbuka untuk terus diwacanakan dan dibincangkan di pelbagai peringkat dan pemegang taruh kampus. Belia Harmoni mengambil posisi secara langsung dalam usaha membina #MalaysiaBaharu.

Semangat #UniversitiBaharu perlu diarusperdanakan melalui galakkan berpartisipasi oleh para mahasiswa secara keseluruhan tanpa melihat kempen ini sebagai usaha yang ekslusif, sebaliknya usaha yang inklusif. Kita sedar bahawa kerja membina wibawa sebuah universiti ini tidak mampu dilaksanakan secara bersendirian. Muafakat dan jalinan perhubungan secara strategik perlu terus diusahakan dan diraikan.

PEMANSUHAN AUKU, REVIFIKASI STUDENT UNION DAN MASYARAKAT

Saya juga menyambut baik janji dan komitmen YBM terhadap usaha pemansuhan AUKU dan revifikasi atau menghidupkan semula Student Union kepada mahasiswa yang berulang kali ditekankan YBM dalam ucapannya. Bersama ruang ini adalah nilai kebertanggungjawaban.

Ada tiga relung yang disebut oleh YBM yang mesti mahasiswa rebut ruangnya bagi mengisi dan membentuknya mengikut acuan yang meraikan semua pemegang taruh; acuan yang memberi impak dan kesan yang baik kepada masyarakat secara keseluruhan iaitu (1) pemansuhan AUKU menjelang 2020, (2) pembentukan Student Union dan (3) menjadi mahasiswa yang berfungsi kepada masyarakat.

Perjuangan melawan AUKU sudah berlaku semenjak ia mula diwujudkan pada tahun 1970. Berganti generasi demi generasi mahasiswa sehingga kini masih terus diperjuangkan. Kesan akta AUKU telah membentuk lambakan mahasiswa yang ’captive mind’, ’pandirisme’, lesu terhadap aktivisme dan partisipasi secara efektif.

Ya, AUKU tanpa sedar telah memandulkan keupayaan mahasiswa dalam membentuk nuansa masyarakat dan ini sungguh merugikan kepada pembinaan modal insan, masyarakat dan negara. Munurut Meredith L. Weiss, ‘Culture of Fear’ dan ’Culture of Silence’ telah sebati dalam diri mahasiswa untuk vokal, bersorak, berdiri teguh atas kepercayaan mereka.

Meskipun begitu, saya juga berpandangan, meskipun jika suatu hari nanti kerajaan telah memansuhkan AUKU sepenuhnya, tetap akan wujud juga satu kelompongan yang besar jika mulai dari hari ini lambakan mahasiswa ini tidak diurus, tidak diberdayakan dan tidak diberi kefahaman berkaitan peranan, tugas hakiki dan tanggungjawab seorang mahasiswa.

Apalah guna AUKU ini jika dimansuhkan, tetapi mahasiswa masih lagi bermentaliti takuk lama, diperdagangkan merit bagi setiap penyertaan program, wacana kritikal bersifat elitis, mahasiswa pengecut dan tiada semangat bertanya soalan apatahlagi untuk kemukakan pandangan atau solusi, sikap 3K (kafe, kuliah dan katil) masih lagi jadi tabiat amalan mahasiswa dan lain-lain acara yang mengisolasikan mahasiswa daripada berani beridealisme, berintelektualisme dan beraktivisme mengikut acuan kepercayaan dan kesedaran mereka.

Soal Student Union juga perlu terus diwacanakan dan dibahaskan. Saya percaya konteks zaman ini sudah berbeza dengan awal penubuhan Student Union era 60-an. Maka, meniru bulat-bulat model dahulu untuk dilaksanakan pada waktu ini bukan satu tindakan yang bijak.

Jika kita telusuri sejarah era-60 an, bagaimana Student Union berjaya memberi impak kepada masyarakat bukanlah datang semata dengan kewujudan kesatuan berkenaan semata-mata. Tetapi terhasil daripada kerja akar umbi membentuk kesedaran dan pencerahan kepada mahasiswa yang memakan masa kurang lebih 10 tahun sebelum mahasiswa benar-benar mencapai keemasan zaman.

Cuma, satu perkara yang saya fikir penting dalam semangat Student Union ini adalah meletakkan mahasiswa sebagai satu kumpulan pemegang taruh penting dalam pemutus keputusan. Mahasiswa perlu diberi kepercayaan untuk memimpin mengikut acuan dan kepercayaan mereka. Mahasiswa perlu diberi autonomi dan ruang kebebasan mencorakkan kampus. Maka usaha awal memberi ruang kepada mahasiswa untuk menjalankan Pilihanraya Kampus adalah satu usaha yang wajar diraikan dan mahasiswa perlu menyambut baik melalui penyertaan secara langsung gerak kerja Pilihanraya Kampus ini.

Manifestasi ilmu itu adalah ilmu itu kembali memberi manfaat kepada masyarakat. Apalah guna jika segala ilmu dalam universiti ini terkepung didalam pagar universiti sahaja. Penglibatan mahasiswa di tengah-tengah masyarakat atau komuniti perlu terus dibudayakan dan diperkasakan.

Mahasiswa perlu merasakan bahawa masyarakat ini memerlukan mereka. Hiduplah bersama masyarakat. Memahami denyut nadi dan nafas kerja mereka. Menyelami segala permasalahan dan keperluan mereka. Dan perjuangkan apa yang mahasiswa fikirkan perlu. Angkatlah solusi untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

Bagi memastikan keberkesanan dan impak kepada masyarakat, sebaiknya pergerakan perlu bersifat lokaliti dan kemampuan capaian mahasiswa sendiri. Budaya ‘touch and go’ harus ditukar dan digantikan dengan ‘touch and grow’. Barulah proses pembangunan sebuah masyarakat itu berlaku dengan baik dan tidak hanya suam-suam kuku usahanya.

TIGA TAMBAH SATU – BUDAYA YANG MENCORAK #UNIVERSITIBAHARU

Tiga perkara yang boleh mula dibudayakan dan diperkasakan oleh mahasiswa.

Pertama, jadikan membaca sebagai kebiasaan. Tidak perlu terus ke bacaan yang berat. Tapi mulakan dengan apa yang kita minat dan suka. Perlahan-lahan tambah baik bacaan kepada yang lebih berat mengikut kapasiti kita. Saya percaya ia akan memberi kesan langsung kepada corak fikir dan perasaan kita.

Kedua, wujudkan perbincangan yang berkait dengan pelbagai tema sebagai medium untuk membiasakan diri mengekspresikan apa yang kita yakini dengan penuh tanggungjawab juga keberanian untuk bertemu dengan idea yang berbeza dan menghormatinya. Saya tidaklah membayangkan untuk melaksanakan forum atau wacana yang formal. Pertemuan di tepi tasik, atau di kafe pun sudah cukup memadai bagi memulakan suatu budaya interaksi sebegini.

Ketiga, mahasiswa perlu menulis. Tulislah idea, pandangan mahupun kritikan. Penulisan akan membentuk cara mahasiswa menyusun idea dan membina peribadi yang berani dan bertanggungjawab.

Daripada tiga ini, buahnya adalah aksi kerana daripada tiga ini melahirkan kesedaran, keberanian, kepercayaan dan kebertanggujawabn. Aksi yang bermaksud memberi manfaat kepada masyarakat kampus dan di luar kampus. Aksi boleh berlaku sama ada di peringkat suasana atau terjun ke dalam sistem. Pilihlah yang mana kalian selesa untuk bergerak. Yang penting, penglibatan langsung semua mahasiswa.

Bagi memastikan kita tidak syok sendiri, maka tambahan satu lagi adalah interaksi. Menjadi mahasiswa interaksi perlu luas agar suatu isu itu dapat dilihat dalam sudut pandang yang pelbagai disamping membaiki mana-mana kekurangan pada idea dan gerak kerja kita.

KESIMPULAN

Meletakkan diri dalam peta amanat Menteri Pendidikan bukanlah bermaksud kita ini pendokong kerajaan. Jika tidak meletakkan diri dalam peta ini juga bukanlah bermakna kita ini pembangkang tegar kepada kerajaan.

Kiblat kita bukanlah pada sosok individu atau kumpulan. Tetapi adalah pada kebaikan dan kebenaran. Jika sememangnya idea itu mampu mengangkat wibawa universiti, jadi mengapa tidak bersama mendukungnya? Jika jelas hanya memburukkan keadaan, maka angkatlah nasihat dan teguran, bawa lah idea alternatif dan bukalah dialog dan wacana.

Kita semua impikan Malaysia yang lebih baik daripada sebelum ini. Soalnya, kita di mana?

Usaid Muhamad Asmadi
Presiden
Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI)
20 Januari 2019, Kuala Lumpur

Leave a Reply